PADA 17 Oktober yang lalu, setelah 70 orang Ahli Dewan mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung dengan Kewarganegaraan (RUU Kewarganegaraan), satu sejarah telah tercipta buat negara apabila ia diluluskan dengan 206 undi menyokong berbanding 1 undi membangkang.
Sukacita dimaklumkan bahawa pindaan yang dibentangkan adalah bertujuan untuk memperkukuh hak rakyat serta memastikan ketelusan dalam proses pemberian kewarganegaraan, selain memelihara kedaulatan negara serta menegakkan prinsip keadilan dan kesamarataan.
RUU Kewarganegaraan ini telah melalui proses yang agak panjang, mencabar serta penuh berliku. Segenap perihal dasar dan tatacara ke arah perbahasan oleh Ahli Parlimen juga sudah pun dipenuhi. Ratusan siri libat urus dengan pihak berkepentingan (stakeholders) telah dibuat yang melibatkan organisasi bukan kerajaan, pakar akademik, pakar perundangan, organisasi antarabangsa dan sebagainya.
RUU Kewarganegaraan ini telah dibawa untuk diteliti oleh tiga Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan .
RUU Kewarganegaraan ini juga telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja berdasarkan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan dan juga persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak menurut Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat kebimbangan mengenai isu status anak-anak kepada pemastautin tetap, isu penurunan had umur dari 21 tahun ke 18 tahun dan isu pelucutan kewarganegaraan yang telah diperjelaskan dengan baik dan meyakinkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengenai isu status anak-anak kepada pemastautin tetap, ada yang tidak sedar bahawa ada dua kategori pemastautin tetap di Malaysia. Satu, mereka yang diberikan MyPR, mempunyai permit masuk dan memiliki dokumen perjalanan negara asing iaitu merujuk kepada warga asing sepenuhnya.
Manakala kategori kedua ialah pemegang status pemastautin tetap atau MyPR yang tidak mempunyai permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing. Kategori kedua ini merujuk kepada dasar pada masa tersebut pemberian kad pengenalan merah kepada anak-anak angkat, individu yang lahir sebelum merdeka dan individu yang berada di sini sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.
Rasionalisasi menggugurkan perkataan pemastautin tetap (warga asing) adalah bertujuan supaya anak-anak PR ini tidak lagi mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang. Prinsip yang utama adalah, semua anak pemegang status pemastautin tetap kategori pertama iaitu warga asing sepenuhnya, boleh menuntut taraf kewarganegaraan asal ibu bapa mereka.
Pindaan pemberian taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang adalah bertujuan bagi mengelak anak-anak pemastautin tetap memiliki dwi kewarganegaraan. Walau bagaimanapun, sekiranya pemegang MyPR berminat untuk memperolehi kewarganegaraan Malaysia, mereka boleh membuat permohonan secara pendaftaran ataupun naturalisasi.
Bagi kategori kedua, kerajaan perpaduan memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan individu di bawah kategori ini yang berjumlah sekitar 39,305 orang di mana hanya 10,000 sahaja yang pernah membuat permohonan kewarganegaraan akan diselesaikan permohonan kewarganegaraan mereka dalam tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan diterima di JPN.
Mengenai kegusaran dalam kalangan Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan pribumi Sarawak apabila frasa pemastautin tetap digugurkan sehingga menyebabkan golongan ini tidak akan mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang pula, mereka ditafsirkan dengan jelas adalah seorang warganegara Malaysia secara kuat kuasa undang-undang tertakluk kepada syarat-syarat yang melayakkan seperti ikatan perkahwinan dan bukti kemastautinan. Jaminan ini jelas dinyatakan dalam Perkara 160(2) Orang Asli, Perkara 161A(6)(a) Pribumi Sarawak dan Perkara 161A(6)(b) Anak Negeri Sabah Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai isu penurunan had umur dari 21 tahun ke 18 tahun, ia tidak berkait dengan tempoh pemprosesan kewarganegaraan dan tidak akan menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan untuk memohon kewarganegaraan kerana sudah melebihi umur. Selagi mana keputusan bagi satu-satu permohonan itu belum dikeluarkan dan permohonan itu masih di dalam proses, walaupun umur individu berkenaan sudah melebihi umur kelayakan yang ditetapkan, ia tidak menjejaskan permohonan sedia ada individu berkenaan.
Pada masa yang sama, bagi memastikan proses kewarganegaraan dapat dilaksanakan dengan lebih baik, teratur dan efisien, kerajaan telah meneliti dan menambahbaik prosedur-prosedur yang berkaitan dengan memproses permohonan kewarganegaraan. Prosedur yang telah ditambahbaik adalah Prosedur Pengendalian Standard Permohonan Kewarganegaran di bawah Perkara 15A iaitu permohonan kewarganegaraan dalam keadaan khas bagi individu bawah 21 tahun yang melibatkan kes anak angkat, anak jagaan dan anak tidak sah taraf yang mana tempoh masa proses permohonan di bawah Perkara 15A ini adalah selama satu tahun.
Mengenai isu pelucutan kewarganegaraan pula, pindaan ini dibuat untuk memastikan peruntukan Perlembagaan ini boleh dilaksanakan mengikut keadaan semasa. Pada masa ini, proses untuk mendapat taraf kewarganegaraan melalui perkahwinan memerlukan pasangan (wanita) mendapat dokumen kebenaran tinggal di Persekutuan daripada Jabatan Imigresen terlebih dahulu melalui pas-pas jangka masa panjang dan kemudiannya memohon permit masuk. Jika diluluskan permit masuk, barulah wanita berkenaan boleh memohon kad pengenalan MyPR. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya lapan tahun dari tarikh perkahwinan.
Proses pelucutan memerlukan pembuktian dan melalui Jawatan Kuasa Siasatan (JKS) dan bukannya secara automatik. Kerajaan juga tidak akan melucutkan warganegara seseorang individu jika disebabkan daripada pelucutan itu dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.
Pindaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyesuaikan dasar kewarganegaraan dengan keperluan semasa. Pada masa yang sama, kerajaan kekal komited untuk memastikan bahawa kewarganegaraan Malaysia adalah satu anugerah yang dipegang dengan tanggungjawab, dan proses pemberian kewarganegaraan berjalan dengan telus, adil, dan bebas daripada sebarang diskriminasi.
Terima kasih kepada semua 206 Ahli Dewan yang mengamalkan semangat Reaching Across the Aisle dalam memanifestasikan amanah rakyat dan meluluskan RUU Kewarganegaraan ini. – UTUSAN
DR. Norliza Dolhan adalah Ketua Tim Kajian Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung dengan kewarganegaraan.










