DENGAN tekanan inflasi, cabaran globalisasi, dan perkembangan pesat teknologi, Malaysia perlu merangka strategi reformasi ekonomi yang berkesan melalui Belanjawan 2025 untuk memacu daya saing negara, menarik pelaburan berkualiti tinggi, dan memperkukuh kedudukan negara di pentas antarabangsa.
Berdasarkan Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024, Malaysia berada di tangga 34 daripada 67 negara dan keempat dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia. Belanjawan 2025 perlu melihat strategi-strategi jangka panjang yang boleh merangsang ekonomi negara.
Reformasi Ekonomi
Penting untuk Malaysia mengurangkan kebergantungan sektor tradisional seperti pembuatan, minyak, dan gas perlu kepada pemerkasaan sektor-sektor baharu seperti teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan ekonomi hijau. Inisiatif ini perlu diterjemahkan dalam bentuk peruntukan kewangan yang berfokus kepada pembangunan sektor-sektor ini.
Industri Teknologi dan Digital
Negara-negara maju banyak melabur dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet kebendaan (IoT), dan teknologi 5G. Peruntukan dalam Belanjawan 2025 perlu merangkumi insentif dan bantuan kewangan untuk syarikat-syarikat tempatan yang ingin meneroka dan membangunkan teknologi-teknologi baharu ini. Pada masa sama, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada pekerja tempatan untuk meningkatkan kemahiran digital, terutamanya dalam bidang-bidang seperti data sains, pembangunan perisian, dan kejuruteraan AI.
Pembangunan Modal Insan
Belanjawan 2025 perlu memberikan tumpuan yang lebih besar terhadap sektor pendidikan dan latihan vokasional. Pembangunan kurikulum yang berasaskan kemahiran abad ke-21, yang menekankan kepentingan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan kreativiti adalah penting untuk melahirkan graduan yang mampu bersaing di peringkat global.
Di samping itu, kerajaan perlu mengukuhkan program-program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi menyediakan tenaga kerja yang mahir dalam sektor-sektor teknologi tinggi seperti pembuatan berteknologi tinggi dan robotik.
Pelaburan R&D
Negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, dan Jerman telah membuktikan pelaburan yang konsisten dalam R&D boleh membawa kepada penciptaan teknologi dan produk baharu dalam pasaran global.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan perlu memberikan insentif kepada syarikat- syarikat tempatan dan universiti untuk menjalankan penyelidikan yang boleh memberi impak besar kepada ekonomi. Ini termasuk penyelidikan dalam bidang teknologi hijau, kesihatan, dan sektor pembuatan yang berteknologi tinggi.
Pengkomersialan hasil penyelidikan juga perlu ditingkatkan melalui kerjasama dengan sektor swasta.
Amalan ESG
Banyak syarikat multinasional kini meletakkan syarat kepada pembekal mereka untuk mematuhi standard ESG, yang melibatkan tanggungjawab terhadap alam sekitar, sumbangan sosial, dan tadbir urus yang baik.
Bagi Malaysia, Belanjawan 2025 perlu menitikberatkan insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka dapat mengintegrasikan prinsip ESG dalam operasi perniagaan mereka. Ini termasuk menyediakan bantuan kewangan, pengecualian cukai, dan insentif lain bagi syarikat-syarikat yang mematuhi amalan ESG. Dengan berbuat demikian, syarikat-syarikat Malaysia akan lebih mudah untuk menjadi rantaian bekalan global dan menjamin pasaran yang lebih luas.
Infrastruktur
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan perlu memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur yang sedia ada, terutama di kawasan-kawasan yang menjadi hab industri dan perdagangan.
Infrastruktur digital juga perlu diberikan perhatian. Pembangunan rangkaian internet yang pantas dan stabil adalah kritikal untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital. Oleh itu, Belanjawan 2025 harus menyokong inisiatif untuk memperluas capaian internet berkelajuan tinggi ke seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar.
Sektor PKS
Belanjawan 2025 perlu menyokong sektor PKS, yang merupakan tonggak utama ekonomi Malaysia. Antara langkah yang boleh diambil termasuk menyediakan insentif kewangan seperti geran, pinjaman mudah, dan pengecualian cukai bagi PKS yang mengaplikasikan teknologi digital dan IR 4.0 bagi meningkatkan produktiviti dan inovasi.
Selain itu, kerajaan perlu mewujudkan ekosistem pembiayaan yang inklusif, seperti modal teroka dan pelaburan ekuiti swasta, untuk memudahkan PKS berkembang dan bersaing di peringkat global.
Cukai dan Tadbir Urus Ekonomi
Belanjawan 2025 perlu mempertimbangkan penstrukturan semula sistem cukai untuk mengurangkan beban kepada syarikat-syarikat tempatan dan pelabur asing. Langkah-langkah seperti pengecualian cukai untuk syarikat teknologi dan syarikat pemula, serta pengurangan cukai korporat bagi syarikat-syarikat yang melabur dalam R&D, boleh membantu meningkatkan daya saing negara.
Selain itu, reformasi tadbir urus ekonomi yang lebih telus dan cekap juga diperlukan untuk mengurangkan ketirisan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan negara. Usaha ini boleh memberikan keyakinan kepada pelabur dan mewujudkan suasana perniagaan yang lebih kondusif.
Pekerjaan Berkualiti Tinggi
Belanjawan 2025 perlu memberikan insentif kepada syarikat-syarikat yang mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor-sektor seperti teknologi, automasi, dan tenaga boleh diperbaharui. Dengan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti, Malaysia dapat mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Penstrukturan semula subsidi
Subsidi yang lebih terarah, seperti kepada sektor-sektor yang menyokong ekonomi hijau, teknologi, dan inovasi, dapat membantu mempercepat transformasi industri. Subsidi yang menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan amalan mesra alam perlu dipertingkatkan.
Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional, tetapi juga memperkukuh daya tahan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara.
Belanjawan 2025 adalah peluang bagi Malaysia untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing negara. Melalui penekanan kepada pembangunan teknologi, modal insan, inovasi, amalan ESG, infrastruktur, dan reformasi cukai, Malaysia dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan terus relevan di pentas global. Reformasi ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada sektor perniagaan, tetapi juga kepada rakyat secara keseluruhan, dengan meningkatkan kualiti hidup dan peluang pekerjaan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










