DALAM sebarang aspek, baik sikap, pendekatan mahupun tindakan, bersifat ‘bersederhana’ itu menghasilkan natijah yang selesa dan mendamaikan hati. Diibaratkan kata:“melompat tidak terlalu tinggi, kalau pun jatuh tidaklah terlalu terasa sakitnya…”. Kesederhanaan memberi ruang untuk berfikir lebih jauh dan mendalam atas makna atau sesuatu hal dalam kehidupan.
Panjang jika mahu dihurai dan diterjemah secara lebih jauh tentang kalimah atau istilah bersederhana. Banyak pentafsiran disebut oleh para tokoh dan cendekiawan sejak dahulu kala peri mustahaknya perkara mengenai bersederhana ini diberi perhatian dan diambil pengajaran.
Misalnya, bersederhana dikaitkan dengan soal syukur, lambang akhlak terpuji, keberkatan serta hubungannya dengan memupuk semangat persefahaman, harmoni, dalam konteks hidup bermasyarakat dan bernegara.
Apa yang ingin diperkatakan mengenai bersederhana lebih dijuruskan kepada hal-hal yang boleh membina perpaduan rakyat dan kestabilan negara. Proses menuju kemajuan dan kesejahteraan akan terhalang dan terganggu tanpa perpaduan dan suasana kehidupan yang damai harmoni.
Sejarah membuktikan bahawa di Malaysia, sejak berpuluh dekad yang lalu, elemen bersederhana merupakan salah satu daripada empat paksi utama dalam menentukan pembentukan sebuah negara bangsa yang maju, stabil dan makmur.
Tiga pendekatan lagi ialah konsensus yakni berbincang mencari kata sepakat dalam sebarang penentuan dasar dan perancangan ehwal kenegaraan.
Juga menentukan pendekatan yang inklusif supaya semua pihak tidak tersisih atau terkecuali dari menikmati hasil pembangunan negara. Manakala, satu aspek lagi ialah adil saksama untuk semua.
Perlu diingat bahawa sandaran utama bagi sistem kehidupan sebuah negara Malaysia ialah berasaskan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Diikat pula dengan lima prinsip dalam Rukun Negara. Justeru, apa pun tindakan, permintaan mestilah sesuai dengan menelusuri semangat yang sedia terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Sebarang tuntutan dan permintaan baik untuk mana-mana kaum atau negeri elak supaya tidak melebihi batas ketentuan yang sedia ada. Harus juga diingat, bahawa kata lawan bagi aspek bersederhana adalah berketerlaluan atau disebut juga sebagai ekstrim. Pendekatan keterlaluan sering mengundang kecelaruan, kekeliruan, gangguan emosi malah boleh membangkit perbalahan dan persengketaan.
Sering disebut…. “berpada-padalah dalam meminta, terlebih minta terguris pula hatinya…”. Namun, lain halnya dengan soal ‘ketegasan’. Makna bagi ketegasan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. Terdapat kes-kes tertentu yang menuntut ketegasan. Misalnya dalam hal-hal yang menyentuh tentang ‘pencerobohan’ terhadap kesucian agama Islam, mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu atau mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu (3R). Tindakan tegas diharap dapat ‘mematikan’ sesuatu isu yang sama ada dibangkit atau diungkitkan secara sengaja atau tidak sengaja oleh pihak-pihak tertentu dalam kadar segera dan berkesan.
Mengambil beberapa contoh terkini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik kenyataannya semasa berucap merasmikan Majls Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Ipoh Ahad lalu, menegur kelompok elit yang taasub dengan bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara. Ertinya, adalah tidak wajar bersikap keterlaluan mengagungkan bahasa asing sehingga mengesampingkan kedaulatan bahasa sendiri.
Dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri dipetik pula menyeru umat Islam supaya memahami makna perpaduan, elak kecelaruan dan perpecahan. Mesej mudah dari kenyataan itu ialah betapa pentingnya umat Islam di negara ini khususnya, sedia berlapang dada, memupuk semangat perpaduan sambil mengenepikan sebarang sentimen yang hanya boleh merugikan ummah.
Teguran Perdana Menteri dilihat relevan memandangkan di akhir-akhir ini, kecenderungan sesama umat Islam di negara ini lebih menjurus kepada percanggahan pendapat dan pandangan terutama dalam dunia politik secara keterlaluan dan berlarutan. Kata Perdana Menteri, tanpa penyelesaian dalam menghimpunkan perpaduan sesama ummah hanya seumpama membuka gelanggang untuk musuh menyerang, menghina dan menjajah. Beliau mengajak rakyat khususnya umat Islam di negara ini melihat apa yang terjadi di Gaza dan kini di Lubnan.
Kesan dari aspek bersederhana yang boleh membawa kepada ‘kemenangan’ dapat dilihat pada pertarungan politik atau Pilihan Raya Kecil (PRK) di dua kawasan baru-baru ini. Diterima kenyataan secara umumnya, bahawa antara faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRK Nenggiri, Kelantan dan Mahkota, Johor adalah disebabkan pendekatan yang dibawa oleh BN bercorak bersederhana, bukan gelojoh dan keterlaluan. Ini baik dari aspek membawa hujahberkempen, penampilan dan tutur kata yang ‘selesa diterima’ oleh rakyat atau pengundi.
Ternyata, pendekatan membawa cerita-cerita cemuhan peribadi, bercorak kecaman yang keterlaluan kepada pihak lawan tidak menarik sokongan umum. Rakyat lebih berminat terhadap pendekatan yang bersahaja dan bersederhana, logik dan bersalut bukti untuk meyakinkan mereka.
Pendek kata, dalam apa juga aspek dan lapangan, termasuk juga hiburan, pengkuliahan ilmu, penceramahan motivasi, semuanya dapat dilaksanakan dengan menarik dan berkesan jika dibawa melalui pendekatan bersederhana.
Malah, ada situasi di mana sebaik mana subjek atau mesej yang ingin diutarakan, namun, jika tidak disampaikan dengan cermat dan bersederhana boleh memungkinkan kegagalan menemui objektif yang diharapkan. Ada orang berpesan, jangan sampai “mengharap wangi menjadi masam, mengharap manis menjadi kelat”. Bersederhanalah!….
Pilih pada keutamaan, jurus pada keperluan…. bahawa dalam mengejar kejayaan, hidup tetap perlukan damai dan keselesaan. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










