PADA tanggal 27 Ogos 2024 yang lalu, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff yang juga merupakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menerima anugerah Tokoh Wira Merdeka Negara dari Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu (Peradaban) Pulau Pinang.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Pelancaran Kemerdekaan kali ke-67 anjuran Peradaban Pulau Pinang yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, di George Town, Pulau Pinang.
Anugerah tersebut merupakan salah satu daripada deretan anugerah yang telah diberikan kepada Mohd. Yussof, 94, yang juga merupakan anak jati Pulau Pinang.
Pada usia yang menghampiri satu abad, fizikal dan mental Mohd. Yussof sebenarnya masih kuat dan cerdas. Malah, beliau masih mampu untuk menceritakan pelbagai peristiwa bersejarah yang disaksikannya bermula dari zaman sebelum merdeka hingga sekarang.
Justeru, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Mohd. Yussof adalah saksi hidup dan ‘kamus bergerak’ bagi setiap sejarah khususnya yang dirakamkan di Pulau Pinang, terutama ketika zaman sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah British.
Mohd. Yussof, yang berpengalaman luas dalam dunia politik serta perniagaan sebenarnya telah melalui pelbagai fasa pemerintahan pentadbiran negara, bermula daripada zaman pemerintahan British, Jepun, British Malaya, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu dan fasa pasca kemerdekaan negara.
Beliau juga pernah merasai kehidupan pada era pentadbiran sepuluh orang Perdana Menteri Malaysia, bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menceritakan pengalaman hidupnya dari zaman sebelum merdeka sehingga kini, Mohd. Yussof berkata, sehingga kini, beberapa peristiwa bersejarah berkaitan dengan kemerdekaan negara masih kekal dalam ingatannya.
“Saya sendiri ketika itu berusia 27 tahun, terlibat secara langsung menyaksikan di depan mata saya bagaimana bendera Union Jack diturunkan.
“Tepat 6 petang, pada 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di Padang Kota Lama bagi menandakan berakhirnya penjajahan kolonial di Pulau Pinang.
“Bendera Union Jack yang diturunkan itu kemudiannya dibawa ke pangkalan tentera laut British yang terletak di kawasan pantai berhampiran Padang Kota dan kemudiannya bendera itu dibawa pergi ke kapal British yang menunggu di tengah laut Pulau Pinang.
“Perasaan saya ketika itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, saya sungguh gembira kerana segala perjuangan menentang penjajahan British telah berakhir dan negara kita sudah merdeka selepas bendera Union Jack diturunkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurutnya, selain peristiwa penurunan bendera Union Jack, beliau yang pada ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Pemuda UMNO Pulau Pinang ketika itu turut berperanan untuk menjayakan majlis sambutan ambang merdeka anjuran UMNO negeri.
“Sambutan ambang merdeka anjuran UMNO Pulau Pinang ini kami lancarkan pada pukul 10 pagi, 30 Ogos 1957 di Padang Kota Lama.
“Selepas pelancaran, kami membawa bendera Malaysia untuk berarak mengelilingi Pulau Pinang. Kemudian, tepat pukul 12.01 tengah malam pada 31 Ogos 1957, kami menaikkan bendera Malaysia di bangunan UMNO Pulau Pinang di George Town,” katanya.
Tambah Mohd. Yussof lagi, masih segar dalam ingatannya ketika itu bangunan UMNO Pulau Pinang dipenuhi orang ramai selepas waktu Isyak pada 30 Ogos 1957 untuk menghadiri majlis bacaan tahlil dan doa kesyukuran yang dianjurkan oleh UMNO.
“Kami mulakan majlis selepas Isyak dengan adakan bacaan tahlil serta doa selamat. Para tetamu sesak di Bangunan UMNO yang dihiasi lampu pelbagai warna. Memang cukup hebat dan meriah ketika itu.
“Menjelang 12 tengah malam pula, lampu dipadam sebentar dan pada pukul 12.01 tengah malam 31 Ogos 1957, lampu dibuka semula serta gendang raya mula dipalu diikuti laungan azan, lalu dinaikkan bendera Malaysia yang merdeka.
“Keesokan harinya selepas sambutan ambang merdeka di Pulau Pinang, pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman membuat pengisytiharan kemerdekaan yang penuh bersejarah di Stadium Merdeka,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau turut menyaksikan satu upacara yang penuh bersejarah juga diadakan di Padang Kota Lama, pada 1 September 1957, iaitu sehari selepas Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.
“Pada masa itu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama, Wong Pow Nee, membacakan pengisytiharan kemerdekaan negara kita.
“Memang meriah ketika itu, rakyat Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai kaum melaungkan merdeka, merdeka di Padang Kota, itu adalah antara upacara yang paling saya ingati ketika merdeka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yussof berkata, beliau bimbang dengan sikap generasi muda pada masa ini yang kurang menghayati semangat kemerdekaan negara.
“Boleh dikatakan semangat orang muda untuk menyambut merdeka kian suram dan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Ini kerana kemerdekaan adalah sesuatu yang mahal nilainya kepada negara. Ia melibatkan perjuangan wira negara yang terdahulu, yang sanggup berkorban demi memerdekakan Tanah Melayu.
“Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terutama yang melibatkan belia, perlu memainkan peranan agar orang muda menghargai kemerdekaan negara,” katanya. – UTUSAN










