Usah guna sijil halal cetus polemik

Usah guna sijil halal cetus polemik

halal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi cadangan kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal adalah membebankan, menambah kos pentadbiran serta akan mengehadkan fleksibiliti perniagaan dan mempengaruhi kebebasan pilihan pengguna.

“Lebih penting lagi, campur tangan ini bertentangan dengan semangat kebebasan ekonomi dan autonomi perniagaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan dan akan memberi kesan negatif kepada kerajaan perpaduan. Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif pada negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ini adalah susulan pengumuman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menjelaskan, beberapa akta ataupun undang-undang perlu dipinda kerana ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.
Kenyataan Teresa ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat. Kenyataan beliau bukan sahaja menyentuh isu sensitif 3R (agama, bangsa, dan raja) tetapi juga boleh dilihat sebagai satu provokasi yang boleh menggugat keamanan negara.

Tindakan Teresa membantah cadangan pensijilan halal mandatori menggambarkan ketidakpekaan beliau terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia. Sebagai sebuah negara majoriti Muslim, isu halal adalah sangat penting dalam memastikan makanan dan perkhidmatan yang disediakan mematuhi kehendak agama Islam.

Kenyataan Teresa yang menolak pensijilan halal mandatori bukan sahaja meremehkan kepentingan pensijilan ini tetapi juga berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam yang mungkin merasa tidak dihormati dan diambil ringan oleh wakil rakyat seperti beliau.

Kritikan terhadap cadangan pensijilan halal secara mandatori ini juga boleh dilihat sebagai campur tangan yang tidak wajar dalam urusan umat Islam. Hal ini kerana pensijilan halal adalah berkait rapat dengan aspek keagamaan dan ibadah umat Islam.

Oleh itu, kenyataan Teresa ini boleh dianggap sebagai satu bentuk provokasi yang mengundang kecaman daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada kalangan masyarakat Muslim. Campur tangan seperti ini hanya akan memburukkan lagi perasaan tidak puas hati dan menambah jurang perpecahan dalam masyarakat.

Kenyataan ini juga berpotensi menimbulkan isu 3R yang sensitif di Malaysia. Halal bukan sekadar isu ekonomi atau pilihan perniagaan, ia melibatkan nilai-nilai agama yang dipegang teguh oleh majoriti rakyat Malaysia.

Teresa seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu ini, kerana ia boleh disalah tafsir sebagai tindakan yang tidak menghormati kepercayaan agama Islam, sekali gus mencetuskan perasaan marah dan huru-hara dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kenyataan seperti ini juga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama kerana ia dilihat sebagai cubaan mencampuri urusan umat Islam dan hak mereka untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal dan suci.

Kenyataan Teresa yang menyebut bahawa mewajibkan sijil halal akan memalukan negara di peringkat antarabangsa juga boleh ditafsirkan sebagai tidak menghargai nilai dan prinsip yang dipegang oleh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam yang merupakan majoriti di negara ini.

Dari sudut politik, kenyataan Teresa ini mendatangkan masalah kepada imej kerajaan perpaduan. Teresa bukan Ahli Parlimen pembangkang tetapi beliau adalah Ahli Parlimen kerajaan yang sepatutnya mendokong agenda kerajaan Madani.

Mempersoalkan secara terbuka dalam media massa kenyataan jabatan kerajaan adalah satu perkara yang tidak beretika. Sebagai bekas Menteri, beliau wajib tahu ada saluran perlu diguna untuk Ahli Parlimen kerajaan menyuarakan ketidaksetujuan ke atas cadangan kerajaan.

Atas dasar keselamatan dan ketenteraman awam, kenyataan Teresa Kok ini wajar disiasat dan beliau perlu didakwa di mahkamah kerana mencetuskan huru-hara dengan menyentuh perkara sensitif agama. Tindakan beliau ini tidak selaras dengan semangat perpaduan yang cuba dibina oleh kerajaan perpaduan.

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian budaya, tidak memerlukan wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan rakyat. Teresa perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Kenyataan Teresa yang menyatakan pensijilan halal secara mandatori akan menjadi bahan ejekan di peringkat antarabangsa adalah satu penghinaan kepada sistem pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia.

Pensijilan halal bukan sahaja penting bagi umat Islam di Malaysia, tetapi juga menjadi satu piawaian yang dihormati dan diterima oleh negara-negara lain. Kenyataan beliau ini jelas menunjukkan ketidakfahaman beliau terhadap kepentingan pensijilan halal dan implikasinya terhadap keyakinan pengguna Muslim.

Sebagai seorang wakil rakyat veteran, Teresa perlu lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu agama dan bangsa. Isu pensijilan halal bukanlah sekadar soal ekonomi tetapi menyentuh asas kepercayaan dan amalan umat Islam.

Oleh itu, kenyataan beliau bukan sahaja tidak wajar tetapi berbahaya kepada keharmonian dan keamanan negara. Tindakan yang lebih tegas perlu diambil bagi memastikan kenyataan-kenyataan seperti ini tidak berulang dan mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Teresa perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana kenyataan yang mencetuskan huru-hara dan mengancam perpaduan negara. – UTUSAN

RASHIDI Haris ialah Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×