Perlunya kurikulum untuk penghayatan Rukun Negara

Perlunya kurikulum untuk penghayatan Rukun Negara

PERENCANAAN rapi dalam bentuk pendidikan formal dapat memastikan Rukun Negara mampu mempengaruhi tingkah laku anak bangsa, khususnya dalam kehidupan nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUKUN Negara tidak dapat dinafikan adalah antara dua paksi utama negara. Bersekali Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara bukan sahaja disebut-sebut sebagai rujukan, malah diguna pakai dalam semua, kalau tidak pun untuk banyak urusan di negara ini, khususnya yang rasmi.

Perlembagaan Persekutuan sebagai perundangan tertinggi negara wujud dalam dokumen lengkap untuk dirujuk dan diterap. Ini berbeza sekali dengan Rukun Negara yang sehingga hari ini tidak pernah wujud dalam apa-apa bentuk lengkap yang boleh dianggap rasmi.

Ini kerana Rukun Negra tidak pernah ada dokumen yang lebih sempurna sifatnya daripada pelbagai bentuk eceran ringkas sahaja.

Sesungguhnya Rukun Negara yang dijolokkan sebagai ideologi dan falsafah negara harus memiliki dokumen sempurna untuk difahami dan seterusnya diterapkan oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya dalam kehidupan nasional. Sehubungan ini, Rukun Negara setakat ini hanya berjaya pada tahap pertama, yakni ingat sahaja mengikut Taksonomi Bloom, iaitu tatatingkat proses pembelajaran. Ia sepatutnya diikuti oleh tahap kedua faham dan diakhiri dengan tahap ketiga terap.

Hal ini bukan sahaja amat diperlukan, juga sangat penting. Ini kerana pelbagai modul, yakni unit pembejalaran tertentu untuk sesuatu kursus, seperti patriotisme cuba dibangunkan berdasarkan Rukun Negara. Ini cukup ironi sedangkan Rukun Negara itu sendiri tidak pun lengkap. Dengan ini, modul yang dibangunkan itu didapati kurang, malah tidak berjaya pun kerana ia bermasalah dari segi kemajuan tahap kerumitan dan kekhususan pembelajaran untuk tujuan penghayatan.

Oleh itu, Rukun Negara hendaklah diberikan kefahaman untuk diikuti penerapannya setelah kita rata-ratanya berjaya mengingati lima prinsip dan kini lima cita-cita negara padanya. Untuk ini, kita memerlukan kurikulum dan sukatan pelajaran khusus untuk diajar secara formal, baik pada kurikulum, kokurikulum atau ekstra kurikulum dalam sistem pendidikan negara.

Rukun Negara tidak boleh lagi dibiarkan difahami dan diterapkan sendiri-sendiri oleh masyarakat tanpa adanya pendidikan formal tentangnya daripada pemerintah.

Inilah yang berlaku pada Pancasila di Indonesia yang kita ambil sebagai Rukun Negara di Malaysia. Dalam pada ini, Pancasila bukan sahaja berjaya, malah berjaya sekali kerana ia memiliki kurikulum dan sukatan pelajarannya mengikut kekhususan umur dan kerumitan pemikiran masyarakat.

Sebaliknya Rukun Negara kurang, malah tidak berjaya langsung kalau diukur dari segi kefahaman, apatah lagi penerapannya. Antara sebab utamanya ialah kerana tiada pendidikan Rukun Negara seperti yang ada pada Pancasila yang mengikuti Taksonomi Bloom itu sebagai terdiri daripada tiga tahap, iaitu ingat, faham dan terap.

TIDAK DIHAYATI
Sehubungan ini, kita hendaklah balik ke pangkal jalan setelah sesat di tengah atau penghujung jalan. Kita harus berjiwa besar untuk mengakui kesilapan ini. Selama ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Rukun Negara yang kita bangga-banggakan penghayatannya pada generasi dahulu sebenarnya adalah indah khabar dari rupa. Ini kerana ia tidak pernah pun berjaya dihayati semenjak dilancarkan pada 1970. Justeru, tidak boleh timbul pun isu bahawa generasi kini tidak menghayati Rukun Negara berbanding yang lampau.

Dalam hal ini, Rukun Negara hanya diingati setelah dihafal dan tidak pernah pun difahami lebih daripada judul pada lima prinsipnya itu. Oleh itu, untuk Rukun Negara dihayati, ia wajib melalui tiga tahap pada Taksonomi Bloom. Dengan ini, marilah kita mula memberi pengisian yang sewajarnya dengan kefahaman dan diikuti penerapan, setelah berjaya mengingatinya.

Untuk kefahaman Rukun Negara dalam konteks pendidikan formal, ia perlu ada kurikukum dan sukatan pelajaran. Sebagai contoh untuk Prinsip 1, Kepercayaan kepada Tuhan, kita boleh mengangkat dua perkara iaitu kesyukuran dan fungsi sosial agama sebagai kurikulumnya untuk diisi pula oleh sukatan pelajarannya.

Untuk sukatan pelajaran bagi kurikulum kesyukuran itu, topiknya boleh antaranya berupa nikmat yang dikecapi oleh rakyat di negara bertuah ini ekoran kurniaan Tuhan. Bagi kurikulum fungsi sosial agama, antara topik afdalnya ialah ciptaan manusia yang berpuak-puak oleh Tuhan untuk tujuan kenal-mengenali antara satu sama lain.

Kurikulum dan sukatan pelajaran begini hendaklah ikut digubal pada prinsip lain dan juga kelima-lima cita-cita negara pada Rukun Negara itu. Ia hendaklah disusun dengan tahap kerumitan mengikut peringkat pendidikan di tadika, sekolah rendah dan akhirnya sekolah menengah.

Rukun Negara tidak boleh lagi diteruskan dengan cara ingat sahaja. Sehubungan ini, walaupun ada usaha untuk menutupi lompong faham dan terap itu, ia harus diakui hanya berupa tindak balas spontan yang tidak mampu pun dirancang dengan baik. Ini kerana ia hanya bersifat taklimat, ceramah, kursus sehari atau pendek pada hujung minggu.

Untuk keberkesanan Rukun Negara seperti Pancasila, kita sangat memerlukan prakarsa dan tiwikarma yang berstruktur, iaitu harus sistematik pada sistem tertentu negara, khususnya pendidikan. Ia hendaklah dilakukan dengan perencanaan rapi dalam bentuk pendidikan Rukun Negara yang formal. Lebih penting lagi ialah ia harus mengambil kira filsafat melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Dengan ini, Rukun Negara adalah satu set gagasan sebagai kepercayaan nasional yang diperoleh daripada pencarian ilmu pada kurikulum dan sukatan pelajarannya.

Dalam pada ini, ia pasti akan mempengaruhi tingkah laku anak bangsa kita sebagai panduan selain pedoman hidup, khususnya dalam kehidupan nasional.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN