SATU demi satu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) mula menguji daya tahan Pakatan Harapan (PH), dengan tiga kekalahan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Kini meletakkan gabungan itu berdepan ujian lebih besar menjelang PRN Melaka.
Jika tiga keputusan berkenaan dilihat sebagai siri amaran, maka ada kemungkinan Melaka juga bakal menjadi medan untuk melihat sejauh mana PH mampu bertahan sebelum negara memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Lebih menarik, Melaka bukan negeri yang perlu dirampas PH kerana negeri itu kini berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), sekali gus menjadikan PRN kali ini ujian langsung terhadap keupayaan PH mencabar kerajaan negeri yang sedang berkuasa.
Persoalannya, berapa banyak lagi kekalahan dalam PRN yang sanggup ditanggung PH sebelum prestasi di peringkat negeri mula menjadi persoalan lebih besar menjelang PRU?
Di Sabah, PH berdepan antara keputusan paling sukar apabila hanya memenangi satu daripada 73 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Sabah ke-17.
PH yang bertanding di 22 kerusi hanya berjaya memenangi satu kerusi, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi, Parti Warisan (Warisan) (25) dan BN (6).
Keputusan itu memperlihatkan kekuatan parti tempatan serta isu politik negeri memainkan peranan besar dalam menentukan sokongan pengundi.
Bagi PH, keputusan Sabah menjadi ukuran awal terhadap sejauh mana kekuatan gabungan itu di peringkat Persekutuan dapat diterjemahkan kepada sokongan di negeri yang mempunyai dinamik politik tersendiri. Malah DAP ditolak sepenuhnya di negeri itu.
Sementara PRN Johor ke-16 menyaksikan BN menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga, manakala PH hanya memenangi lapan kerusi.
Berbanding PRN 2022, PH mengekalkan tujuh kerusi, kehilangan lima kerusi kepada BN dan merampas satu kerusi daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), menjadikan jumlah keseluruhannya lapan kerusi.
Secara dasar, Johor mempunyai nilai politik tersendiri kerana negeri itu mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang besar, sekali gus menjadikannya antara medan penting dalam percaturan politik nasional.
Selepas Sabah dan Johor, Negeri Sembilan pula memberikan satu lagi gambaran.
Namun dalam PRN Negeri Sembilan 2026, komposisi itu berubah apabila BN muncul dengan 18 kerusi, PH 11 dan PN (7). Ini bermakna PH kehilangan enam kerusi berbanding pencapaian pada 2023, manakala BN menambah empat kerusi.
Perubahan tersebut penting kerana Negeri Sembilan sebelum ini menjadi antara negeri yang menunjukkan kedudukan kukuh bagi gabungan PH-BN, yang menguasai 31 daripada 36 kerusi pada PRN 2023.
Namun, keputusan pilihan raya menunjukkan jumlah kerusi boleh berubah dengan ketara bergantung kepada corak pertandingan di setiap kawasan.
UJIAN SEBENAR
Kini perhatian beralih ke Melaka.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan negeri itu sejak PRN 2021 berada di bawah pentadbiran BN.
Dalam PRN tersebut, BN memenangi 21 kerusi, PH (5) dan PN (2), sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Dengan DUN Melaka dibubarkan kelmarin, pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh ditetapkan undang-undang, menjadikan negeri itu satu lagi medan penting untuk mengukur kedudukan PH sebelum PRU.
Bezanya kali ini, PH bukan sekadar perlu mempertahankan kerusi sedia ada, malah gabungan itu perlu melihat sejauh mana mampu menambah kerusi dalam sebuah negeri yang sejak 2021 ditadbir BN.
BN pula berdepan tugas mempertahankan penguasaan sedia ada, termasuk 21 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu.
Pertembungan itu menjadikan Melaka menarik kerana kedua-dua gabungan mempunyai sasaran berbeza.
BN perlu mempertahankan kerajaan negeri, manakala PH perlu menunjukkan keupayaan memperluaskan pengaruh selepas beberapa keputusan PRN yang tidak memihak kepadanya.
Meskipun keputusan Melaka tidak wajar dianggap sebagai gambaran mutlak kedudukan PH di seluruh negara, namun tetap menjelaskan sejauh mana penolakan rakyat terhadap PH pada ketika ini.
Secara amnya, setiap PRN mempunyai konteks tersendiri, termasuk kekuatan calon, isu tempatan, pembahagian kerusi, bentuk pertandingan serta tahap penerimaan terhadap kerajaan negeri.
Begitu juga keputusan Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh secara automatik diterjemahkan sebagai gambaran keputusan PRU akan datang.
Apa yang boleh dinilai ialah perubahan sokongan dari satu negeri ke negeri lain serta keupayaan PH mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya.
Dalam konteks itu, Melaka membawa persoalan lebih besar daripada sekadar siapa menang dan siapa kalah.
Melaka menjadi satu lagi ujian terhadap keupayaan PH menukar sokongan kepada kerusi, mempertahankan kawasan sedia ada dan menembusi kawasan yang kini dikuasai BN.
Jika Sabah, Johor dan Negeri Sembilan memberikan gambaran tentang cabaran berbeza yang dihadapi PH, Melaka pula bakal menambah satu lagi rekod pilihan raya sebelum PRU.
Persoalannya bukan sekadar berapa kerusi PH boleh menang di Melaka tetapi apakah pola keputusan beberapa PRN ini akan menjadi antara faktor yang dinilai pengundi, parti dan pimpinan politik ketika menentukan strategi menghadapi PRU akan datang.
Dengan PRU belum bermula dan banyak perkara masih boleh berubah, keputusan setiap PRN akan terus menjadi ukuran politik yang diperhatikan, bukan sebagai ramalan keputusan nasional, tetapi sebagai rekod sebenar tentang bagaimana pengundi di setiap negeri membuat pilihan. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











