BERMULA dengan sebuah peristiwa pahit politik negara, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan merosot secara serius sejak lebih 20 tahun lalu. Ia sekali gus mencetuskan kepentingan dan kesegeraan untuk membuat perubahan serius kepada sistem politik negara.
Agenda untuk memperbaharui sistem demokrasi termasuk dengan melihatnya sebagai cabaran pembaharuan yang utama tercetus sama seperti pembaharuan agenda ekonomi yang berjalan sejak 1970-an.
Walau bagaimanapun, sentimen yang dizahirkan pengulas politik, ahli akademik dan badan pemikir pada era tersebut sebahagian besarnya terhad terhadap pembaharuan tunggal seperti mempastikan rakyat mendapatkan lebih banyak input awam dalam pelaksanaan dasar kerajaan atau menetapkan tempoh penggal bagi ahli parlimen memilih seorang Perdana Menteri.
Ini tidak dapat dipadankan dengan skop cabaran yang memerlukan perubahan dari pelbagai peringkat dan berbilang langkah dalam menangani isu yang saling berkaitan. Keperluan panduan yang komprehensif untuk reformasi politik amatlah diperlukan.
Terdapat dua krisis yang menyumbang penurunan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Yang pertama, krisis perwakilan. Ini terhasil daripada pengundi yang berpecah-belah serta sangat pelbagai semakin gagal untuk berhubung dengan parti-parti politik utama. Parti-parti utama ditinggalkan dengan keahlian yang semakin berkurangan dan kurang kepelbagaian.
Kedua, krisis kefungsian. Sistem demokrasi kita semakin tidak dapat menyampaikan dasar awam yang baik dengan cara yang konsisten atau koheren dan untuk meyakinkan rakyat menyokongnya.
Krisis kefungsian ini sebahagiannya disebabkan oleh kemerosotan perkhidmatan awam dan keupayaannya untuk menyampaikan nasihat dasar yang bebas dan berkualiti kepada menteri.
Turut menyumbang kepada krisis ini ialah pendekatan yang semakin rabun terhadap penggubalan dasar oleh pihak yang taksub dengan pengundian jangka pendek tanpa memikirkan seluruh aspek keperluan pemegang taruh.
Tetapi ia juga dikaitkan dengan krisis perwakilan. Apabila rakyat semakin menjarak atau terputus akses informasi pasti akan membelakangi ahli politik, ia juga akan mewujudkan hilang kepercayaan terhadap keupayaan mereka untuk menyampaikan program dan keputusan dasar yang baik.
PENDEKATAN YANG INKLUSIF
Sifat krisis ini perlu digariskan agar selari dengan inisiatif dalam mendepani isu-isu yang kritikal. Pelan hala tuju bukan sahaja perlu menghubungkan pembaharuan yang berasingan, ia juga perlu dilaksanakan secara berperingkat untuk meyakinkan rakyat yang masih atau tidak percaya bahawa pembaharuan demokratik adalah demi kepentingan semua pihak dan bukan hanya untuk mereka yang berkuasa.
Matlamat tadbir urus kreatif adalah untuk mula memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dengan membuat penambahbaikan segera dan ketara kepada sistem politik dan ekonomi.
Pembaharuan ini akan mempunyai objektif yang jelas atau tahap sokongan awam yang kuat. Contohnya, had pembiayaan dan perbelanjaan kempen akan mengurangkan politik wang. Ini seterusnya akan meletakkan tanggungjawab kepada ahli politik untuk menerangkan dasar dengan lebih terperinci berdasarkan fakta dan bukannya kempen yang berasaskan slogan mahal.
Pembaharuan lain yang menjadi keperluan termasuk penggubalan Akta Dana Politik yang akan menjamin ketelusan semua derma politik dan penghapusan ekosistem rasuah.
Pemerkasaan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar mahupun Ketua Menteri menjadi antara inisiatif yang menjamin ketelusan sistem serta persaingan politik sihat.
PEMBAHARUAN
Tahap kedua reformasi politik yang lebih sukar ialah pembaharuan sistemik. Ia untuk menyelaraskan semula demokrasi dengan lebih dinamik dan jangkaan yang berubah secara asas tentang cara ia berfungsi pada abad ini.
Sebagai contoh, rombakan besar perlembagaan negeri dan persekutuan diperlukan untuk mengemas kini rangka kerja yang asalnya ditulis pada 1950-an dan 1960-an. Ia penuh dengan peraturan, proses dan tanggungjawab yang lapuk.
Walau bagaimanapun, sebahagian besarnya akan menemui kegagalan sekiranya persepsi dan sentimen rakyat gagal difahami seiring dengan permasalahan dan potensi penyelesaian.
Merangka semula undang-undang sebagai sebahagian daripada pembaharuan demokrasi yang lebih luas untuk melancarkan sistem politik lebih progresif dan perwakilan yang terangkum akan lebih mudah difahami rakyat.
Pembaharuan besar juga diperlukan untuk menjadikan Parlimen berfungsi dengan lebih berkesan. Ini mungkin termasuk mewajibkan kod etika yang ketat untuk ahli Parlimen bertujuan menangani tingkah laku yang tidak sopan dan toksik. Pembaharuan seperti ini akan meningkatkan tahap kesopanan selain menetapkan standard baharu untuk tingkah laku Parlimen. Ini pasti akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa ahli politik mencerminkan dan bertanggungjawab terhadap nilai moden.
Akhir sekali, selain penubuhan jawatankuasa khas Parlimen, jawatankuasa khas rakyat boleh dibentuk daripada rakyat yang dipilih secara rawak untuk bertindak sebagai semak dan imbang serta tidak memihak kepada Parlimen. Jawatankuasa sedemikian boleh dicontohi mengikut juri warganegara yang telah diuji dengan jayanya di seluruh dunia.
Jawatankuasa itu akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan jangka panjang dasar negara dalam bidang kesihatan, pendidikan dan isu-isu kritikal seperti kos sara hidup dan perubahan iklim.
Dengan wakil suara langsung seperti ini di peringkat nasional, keterlibatan rakyat akan lebih menyerlah dalam penggubalan dasar dan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
REFORMIS TULEN
Apa yang jelas ialah rakyat mesti menerapkan pemikiran reformis yang strategik jika serius untuk membawa perubahan dalam sistem politik negara.
Seperti setiap perancangan yang baik untuk memperbaharui elemen institusi utama negara, kita memerlukan lebih daripada satu idea pembaharuan. Suatu ikhtiar yang lebih bersepadu dan holistik dalam menjadikan pelaksanaan segala dasar yang lebih manusiawi diketengahkan oleh konsep Malaysia Madani.
Akhirnya, kita juga perlu menguji idea-idea nilai teras ini terhadap punca kelemahan institusi selain menuju beberapa proses yang akan mematangkan. Kita perlu menyusunnya ke dalam urutan yang lebih strategik dan praktikal agar sistem demokrasi Malaysia lebih terpelihara. –UTUSAN
PENULIS ialah Pengurus Operasi Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merupakan alumni Fakulti Sains Pentadbiran Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sepang, Selangor.










