MIC pilih kekal bersama BN?

MIC pilih kekal bersama BN?

PERUBAHAN dalam pemikiran politik pengundi Melayu mendorong kepimpinan Barisan Nasional (BN), terutamanya parti-parti komponen MIC dan MCA, untuk memikir terhadap jajaran baharu bagi memastikan kemenangan dan kelangsungan parti masing-masing pada masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN politik dalam kalangan kaum India di Malaysia semakin menarik perhatian penganalisis politik dalam negara malah luar negara. Media sosial saban hari menularkan siaran-siaran terhadap kemungkinan besar nakhoda kapal MIC akan menukar haluannya dalam laut politik yang bergelora dan tidak stabil.

Meskipun MIC mencapai prestasi yang cemerlang atau calon-calon MIC menang 100 peratus dalam pilihan raya sejak PRU7, gelombang Hindraf yang tercetus pada tahun 2007 bukan sahaja mengubah kerangka politik Malaysia malah mempengaruhi minda pengundi India mengalih sokongan mereka daripada BN sekaligus MIC kepada parti-parti alternatif. Prestasi MIC turut merosot beransur-ansur dalam pilihan raya sejak tahun 2008 (PRU12).

Namun, sejak Tan Sri SA. Vigneswaran mengambil alih kepimpinan MIC pada tahun 2018, sokongan kaum India dikesan kembali menyokong MIC. Meskipun hampir semua calon MIC yang bertanding bagi merebut sembilan kerusi Parlimen dalam PRU15, kecuali calon yang bertanding bagi kawasan parlimen Tapah, kalah kepada calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Bahkan Presiden MIC yang bertanding di Parlimen Sungai Siput, satu-satunya kawasan yang merupakan kawasan tradisi MIC, yang umumnya ditandingi oleh Presiden MIC, juga turut terjatuh ke tangan bukan calon MIC. Presiden MIC, SA.Vigneswaran memperoleh 19,791 undi manakala S.Kesavan, calon PH memperoleh 21,637 undi. Calon daripada parti PN pula memperoleh 8,190. Calon PH menang hanya dengan 1,846 undi majoriti.

Memandangkan calon MIC yang bertanding di Parlimen Sungai Siput pada PRU14 memperoleh 15,210 undi, Vigneswaran berjaya memperoleh 4,581 undi lebih pada PRU15. Perbezaan undi ini jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja pengundi India, terutamanya pengundi muda (Undi 18), kembali menyokong calon MIC yang juga merupakan pemimpin utama MIC.

Meskipun pelbagai sebab diutarakan untuk kegagalan calon-calon MIC dalam PRU15, termasuk faktor calon MIC, sebab utama calon MIC tertewas di kawasan Parlimen Sungai Siput pada PRU15 adalah disebabkan oleh faktor sebahagian signifikan pengundi Melayu, yang umumnya mengundi calon BN, telah mengalih sokongan mereka kepada calon bukan BN. Faktor peralihan sebahagian besar pengundi Melayu, yang merupakan teras kepada kekuatan BN di Parlimen Sungai Siput, kepada calon PN dikesan menyebabkan calon MIC kalah dalam PRU15 di Sungai Siput dan bukan kerana kemerosotan sokongan pengundi India kepada calon MIC seperti omong-omong.

Perubahan dalam pemikiran atau psyche politik pengundi Melayu bukan sahaja mengubah corak keputusan pilihan raya malah turut mendorong kepimpinan Barisan Nasional (BN), terutamanya parti-parti komponen MIC dan MCA, untuk memikir terhadap jajaran baharu bagi memastikan kemenangan dan kelangsungan parti masing-masing pada masa depan.

Sekiranya meneliti liku-liku perjalanan MIC, dapat lihat kepimpinan MIC pernah menghadapi dilema penjajaran baharu hala tuju MIC demi menjamin kemenangan calon-calonnya. MIC yang bersama Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dalam pilihan raya Bandaran Kuala Lumpur 1952, pilihan raya yang julung kali diadakan bagi memilh ahli majlis bandaran Kuala Lumpur, terpaksa menimbang semula sokonganya terhadap IMP kerana IMP kurang diterima oleh pengundi Melayu. Keputusan pilihan raya tersebut menyedarkan kepimpinan India terhadap pentingnya undi Melayu dalam menjamin kemenangan. Kegagalan IMP juga menyedarkan kepimpinan MIC terhadap dinamika politik dan fabrik sosio-politik negara ini.

Menyedari kepentingan elemen sokongan pengundi Melayu bagi menjamin kemenangan, maka kepimpinan MIC pada ketika itu tampil ke hadapan untuk membentuk jajaran baharu bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya berikutnya.

Hasilnya, Perhimpunan Agung MIC kelapan yang berlangsung pada 15 April 1954 di Prai, Seberang Perai, Pulau Pinang membincang dan mengambil keputusan terhadap jajaran baharu MIC melibatkan keluar daripada pakatan politik dengan IMP dan menyertai pakatan yang sedia wujud antara UMNO dan MCA.

Meskipun para perwakilan menzahirkan pandangan campur-campur terhadap cadangan menyertai gagasan UMNO dan MCA, kepimpinan MIC dengan berani mengambil keputusan yang bijak terhadap masa depan MIC.

Memandangkan kebanyakan kawasan pilihan raya adalah didominasi oleh pengundi Melayu, maka calon MIC memerlukan sokongan pengundi Melayu dalam menjamin kemenangan. Maka, kepimpinan MIC pada tahun 1954 telah membuat ketetapan yang bijak dan strategik untuk bersama UMNO dan MCA yang melahirkan gagasan Perikatan iaitu kerjasama politik antara UMNO, MCA dan MIC.

Seterusnya Perikatan menjelma sebagai BN pada 1974 untuk mengelakkan perpecahan antara kaum kesan mainan politik semata- mata. BN berjaya menguasai politik negara sejak tahun 1974 hingga 2018.

Namun, akhir-akhir ini prestasi BN bukan sahaja merosot dalam pilihan raya malah sebahagian besar pengundi Melayu mengalih sokongan mereka kepada parti bukan BN. Kawasan-kawasan majoriti Melayu di luar bandar juga ditembusi oleh parti-parti bukan UMNO atau BN dengan jayanya.

Sehubungan ini, keputusan PRU15 jelas menunjukkan pengaruh BN terutamanya UMNO semakin merosot. Disebaliknya, kumpulan-kumpulan yang menentang MIC pada satu ketika seperti bekas-bekas penyokong kuat Hindraf serta pemimpin-pemimpin muda yang keluar parti MIC kini kembali ke pangkuan MIC atas ketrampilan kepimpinan Vigneswaran. Antaranya adalah Senator Dato C. Sivaraajh, seorang pemimpin muda yang berkaliber dan berpengaruh, yang juga bekas ahli Parlimen Cameron Highlands kini mendahului ramai lagi bekas ahli MIC bercadang untuk kembali menyokong kepimpinan MIC.

Justeru, perubahan paradigma dalam medan politik negara akhir-akhir ini mendesak kepimpinan MIC untuk mengambil langkah-langkah dinamik serta tindakan bijak dalam merangka jajaran baharu demi kepentingan kelangsungan MIC. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial-politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN