APABILA membincangkan sistem pelajaran, jelas terdapat beberapa elemen yang membina sistem pendidikan.
Antaranya seperti elemen kurikulum, kokurikulum, pemimpin pendidikan, guru, sekolah, sistem persekolahan, sistem pentaksiran, sistem peperiksaan dan sebagainya.
Semua elemen yang membina sistem pendidikan saling berkaitan dalam menjadikannya berkualiti.
Bagi menghadapi dinamika pendidikan dan dunia yang berubah dengan pantas, elemen kurikulum dan guru amat signifikan terhadap proses pengajaran mahupun pembelajaran murid.
Kurikulum yang dibina dengan standard tinggi dapat menjitukan proses pendidikan. Kualiti guru yang tinggi pula membolehkan pelbagai kreativiti terhasil dalam mendepani cabaran pendidikan.
Kurikulum mengandungi ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kurikulum yang dibina juga melalui diskusi dalam sidang meja bulat bersama pelbagai kumpulan akademik dan profesional selain proses perbandingan dengan kurikulum negara luar bagi memastikan seiring dengan standard antarabangsa.
Selain itu, ia perlu melalui proses rintis untuk dilihat kesesuaian dan kebolehlaksanaan. Akhirnya, perlu diperaku sebagai dokumen rasmi yang menjadi asas untuk membangun dan membina generasi bagi kehidupan 10 atau 20 tahun akan datang.
Kurikulum dibina untuk rujukan guru dan bukan untuk dibaca atau ditelaah oleh murid. Guru hendaklah dapat menghadamkan unsur-unsur yang tersurat dan tersirat dalam kurikulum seperti ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai diri, kehidupan dan kemasyarakatan.
Kemudian perlu bentuk pedagogi menurut daya kreativiti dan inovasi masing-masing tetapi perlu mengambil kira aras keupayaan serta kecerdasan pelbagai yang ada pada murid dalam menyampaikan unsur-unsur kandungan dalam kurikulum tersebut.
Menerusi autonomi dalam mereka bentuk pedagogi, guru boleh menjajarkan ilmu pengetahuan, tema, topik dan kemahiran beberapa kandungan kurikulum dalam mata pelajaran yang sama mahupun yang berlainan.
Proses pengajaran dan pembelajaran demikian juga bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu pendidikan merupakan usaha ke arah melahirkan insan yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Tempoh sembilan tahun memberikan peluang dan ruang yang secukupnya kepada guru untuk membangunkan potensi diri murid-murid menerusi pedagogi yang menarik.
Dalam tempoh ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan berlaku bersama-sama pentaksiran formatif serta peperiksaan sumatif.
Data pentaksiran formatif sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran selain peperiksaan sumatif pada hujung tahun atau dalam sesuatu tempoh pembelajaran amat penting kepada guru serta ibu bapa.
Ia memberi maklumat kepada guru dan ibu bapa bagi melihat ruang dan inisiatif dalam memberikan sokongan berterusan kepada murid dalam usaha membangunkan potensi diri sama ada pada aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Inilah konsep peperiksaan untuk pembelajaran.
Sehubungan dengan ini, petunjuk seperti Tahap Pencapaian (TP) atau Gred tidak wajar dijadikan alat bagi menghukum seseorang murid.
Dalam membicarakan pembangunan potensi, mungkin seseorang murid itu mendapat TP 3 atau Gred C dalam mata pelajaran pendidikan Islam tetapi merupakan tukang azan di surau sekolah atau di kampung. Bukankah potensi sebagai tukang azan merupakan pencapaian yang baik bagi potensi dirinya?
Untuk itu, murid tahun satu perlu melalui proses pentaksiran selepas tiga bulan sesi persekolahan yang juga merupakan proses diagnosis.
Data yang terkumpul membantu guru mengenal pasti sama ada berlaku keciciran pembelajaran atau seseorang murid itu merupakan murid berkeperluan khas (MBK).
Sekiranya berlaku keciciran pembelajaran, guru boleh melaksanakan intervensi bagi meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi murid, di samping menggunakan inisiatif intervensi oleh Kementerian Pendidikan.
Malah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga mempunyai inisiatif bagi menangani isu literasi dan numerasi seperti Program BaNgKit, SASUBA dan ILQA yang dibawa oleh pensyarah IPGM ke sekolah menerusi Program Sekolah Pengajar.
NEGARA MENUA
Dalam Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), antara faktor yang membentuk masa hadapan pada aspek perubahan demografi dan kualiti adalah cabaran negara menua.
Di samping itu, disebutkan juga cabaran masa hadapan adalah untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat. Dua elemen ini memerlukan singgungan oleh pendidikan dalam membina generasi masa hadapan tersebut.
Kurikulum amat siginifikan dan menjadi asas untuk mendidik murid sebagai generasi masa hadapan negara yang akan berhadapan dengan dua cabaran tersebut.
Kurikulum tidak boleh hanya berfokus pada aspek ilmu pengetahuan tetapi elemen seperti pembinaan karakter menerusi kemahiran insaniah dilihat perlu menjadi elemen yang lebih jelas.
Hal ini perlu diteliti dengan analitik kerana kehidupan masa hadapan amat dipengaruhi teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI).
Teknologi ini memperlihatkan kemampuan robot dan komputer meniru tingkah laku manusia.
Oleh itu, persediaan awal yang diperlukan adalah membina kurikulum yang menjadi asas kepada pendidikan manusiawi menerusi kemahiran intrapersonal dan interpersonal, di samping penerapan kandungan nilai diri, nilai kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan.
Elemen kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritis hendaklah turut diperkukuh dalam kurikulum bagi memperkukuh asas dalam membangunkan dan mendidik generasi masa hadapan.
Elemen-elemen ini dilihat penting sebagai unsur kandungan kurikulum bagi menjelmakan natijah positif dalam pendidikan.
Seseorang guru juga hendaklah sedar bahawa masa hadapan itu bermula pada hari ini. Cabaran yang didiskusikan dalam Persidangan Permulaan RMK13 perlu ditekuni dengan penuh keinsafan.
Guru perlu sedar bahawa gaya pedagogi yang sekadar menyuap atau latih tubi untuk menghafal formula, isi kandungan bukan pendekatan mahupun kaedah pedagogi yang sesuai dalam membina generasi masa hadapan.
Guru hendaklah lebih kreatif untuk membawa murid mengalami proses pengalaman pembelajaran yang dapat menjitukan ilmu pengetahuan berasaskan teknologi bersama-sama dengan kemahiran intrapersonal dan interpersonal serta pemupukan nilai-nilai dalam membina karakter.
Pendekatan demikian menjadikan murid yang terdiri daripada generasi alfa dan beta berasa seronok belajar menerusi penerokaan pelbagai sumber berasaskan teknologi digital serta internet.
Mereka juga akan seronok belajar dengan menghayati nilai-nilai manusiawi serta kemahiran insaniah menerusi pelbagai aktiviti seperti kesukarelawan, pembelajaran berasaskan projek, lawatan, kumpulan perbincangan dan sebagainya.
Inisiatif ini merupakan satu daripada pendekatan dan strategi pendidikan yang dapat memberikan natijah positif, iaitu melahirkan generasi yang memiliki hemah untuk menyantuni cabaran generasi menua dan berupaya hidup dengan saling menghormati bagi mengekalkan keharmonian mahupun perpaduan bangsa Malaysia.-UTUSAN
DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).










