Kawal belanja lawatan ke luar negara

Kawal belanja lawatan ke luar negara

INI penting untuk mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan dana awam bagi tujuan perjalanan luar negara yang tidak memberi manfaat kepada negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 20 September lalu berhubung pembatalan permohonan melibatkan 68 kakitangan kementerian dan agensi kerajaan untuk menghadiri satu pameran kecil di Paris, Perancis adalah bukti nyata komitmen kerajaan terhadap penjimatan dan pengurusan kewangan berhemah dalam perkhidmatan awam.

Tindakan ini selari dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan konsep Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada prinsip tatakelola yang baik serta kepimpinan melalui teladan. Langkah tegas ini menunjukkan betapa telitinya Anwar dalam mengawal perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan dengan wajar. 

Anwar jelas menegaskan bahawa menteri yang ingin melakukan lawatan ke mana-mana negara juga perlu mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri untuk dinilai keperluannya atau perlu disekalikan dengan lawatan beliau di mana MoU (Memorandum Persefahaman) boleh turut ditandatangani dalam majlis yang sama yang akan menjimatkan perbelanjaan. 

Arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada hari yang sama bertajuk “Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan Mengenai Perjalanan Ke Luar Negara” mengukuhkan lagi komitmen ini.

Arahan ini menjelaskan bahawa Jemaah Menteri pada 18 September 2024 telah membuat keputusan mengenai urusan perjalanan ke luar negara bagi Badan Berkanun Persekutuan (BBP), syarikat milikan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), serta syarikat berstatus Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) perlu mendapatkan kelulusan pegawai pengawal di peringkat kementerian berkaitan.

Ia mengingatkan semua pegawai pengawal mengenai Peraturan Perjalanan Rasmi Bertugas Ke Luar Negara yang antara lainnya merangkumi enam perkara utama yang berfungsi sebagai panduan dalam mengelakkan pembaziran:

(i) Perjalanan yang benar-benar perlu: Setiap perjalanan luar negara hanya boleh dibuat jika ia sangat diperlukan, dengan bilangan pegawai yang paling minimum dan menggunakan kaedah perjalanan yang menjimatkan.

Ini penting untuk mengelakkan pembaziran dana kerajaan yang tidak perlu, memaksimumkan keberkesanan sumber manusia, dan memastikan kakitangan awam memberi tumpuan kepada tugas-tugas yang benar-benar memberi impak kepada negara. Penjimatan dalam aspek perjalanan ini membolehkan lebih banyak dana diperuntukkan kepada perkara yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

(ii) Mesyuarat dan rundingan berimpak: Hanya mesyuarat atau persidangan yang telah diluluskan di dalam belanjawan tahunan dan yang benar-benar penting serta memberi impak signifikan kepada kepentingan negara yang dibenarkan.

Mesyuarat berkala atau rundingan yang memberikan impak positif kepada diplomasi, ekonomi, atau politik negara perlu dikekalkan, tetapi yang tidak penting harus dielakkan. Menghadiri mesyuarat atau persidangan antarabangsa yang berimpak besar dapat meningkatkan hubungan diplomatik, mempromosikan kepentingan negara di peringkat global, dan merapatkan kerjasama antarabangsa. Ini membantu negara dalam perancangan strategik di sektor yang penting seperti perdagangan, keselamatan, dan pelaburan.

(iii) Kursus teknikal khusus: Hanya kursus yang memberi kemahiran teknikal atau kepakaran yang tidak boleh diperolehi di dalam negara dibenarkan, terutamanya jika ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada konsultan.

Meningkatkan kemahiran teknikal kakitangan kerajaan penting untuk membina keupayaan dalaman yang lebih baik. Dengan ini, kerajaan dapat menjimatkan kos jangka panjang kerana tidak lagi perlu mengupah perunding luar untuk melaksanakan tugas atau projek yang boleh dilakukan oleh kakitangan kerajaan sendiri. Ini juga membantu dalam pemindahan pengetahuan dan pembinaan kepakaran dalam negara.

(iv) Mesyuarat yang diluluskan Jemaah Menteri: Setiap mesyuarat dan persidangan perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk memastikan ia benar-benar berbaloi.

Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan keputusan sepihak daripada sesetengah agensi atau kementerian yang mungkin tidak melihat gambaran keseluruhan keperluan negara. Dengan adanya kelulusan Jemaah Menteri, ia memastikan bahawa setiap perjalanan luar negara adalah selaras dengan keutamaan dan objektif strategik negara.

(v) Penajaan perjalanan terhad: Penajaan perjalanan luar negara yang melibatkan pegawai selain daripada Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai BBP, MKD dan CLBG perlu menggunakan peruntukan dalaman dan kelulusan pegawai pengawal.

Ini penting untuk mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan dana awam bagi tujuan perjalanan luar negara yang tidak memberi manfaat kepada negara. Ia memastikan bahawa hanya pegawai yang benar-benar berhak dan mempunyai peranan signifikan dalam sesebuah program atau mesyuarat dibenarkan untuk turut serta.

(vi) Penglibatan diplomat tempatan dan penyertaan secara dalam talian: Pegawai dari Malaysia digalakkan untuk mewakilkan kehadiran mesyuarat atau persidangan kepada Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan atau negara yang berhampiran ataupun penyertaan secara dalam talian bagi menjimatkan kos.

Langkah ini amat menjimatkan kerana ia mengelakkan kos perjalanan yang tinggi bagi menghantar pegawai dari Malaysia. Pada masa yang sama, ia memanfaatkan kehadiran diplomat Malaysia yang sudah berada di negara tersebut untuk mewakili negara dengan lebih cekap dan menjimatkan. Penyertaan secara dalam talian pula adalah sejajar dengan amalan kerja moden dan lebih lestari.

Turut diingatkan ialah mengenai penguatkuasaan peraturan di bawah Seksyen 18 dalam Akta Tatacara Kewangan 1957 yang memperuntukkan bahawa mana-mana pegawai awam yang melanggar mana-mana peruntukan dalam akta ini boleh dikenakan penalti. Tindakan ini bukan sahaja akan mengukuhkan integriti pengurusan kewangan sektor awam, tetapi juga membentuk budaya akauntabiliti yang akan memanfaatkan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang.

Tindakan Anwar membatalkan permohonan perjalanan yang tidak berpatutan serta arahan penguatkuasaan dari Shamsul Azri jelas mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan dalam menegakkan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah, konsisten dengan konsep Malaysia Madani dan kepimpinan melalui teladan. Dengan perbelanjaan awam yang lebih berdisiplin, kerajaan dapat memfokuskan sumber kepada pembangunan negara yang lebih mampan dan memastikan dana awam digunakan untuk kepentingan rakyat.

Semua ini adalah manifestasi kepimpinan bertanggungjawab yang meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×