KANAK-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun.
Mereka adalah golongan yang memerlukan penjagaan dan perlindungan yang baik dan sempurna. Komponen-komponen diri yang ada pada mereka, iaitu fizikal, mental dan rohani (emosi) perlu dibangunkan ke tahap yang optimum supaya menjadi insan yang sihat sejahtera serta berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, kanak-kanak memerlukan persekitaran yang selamat dan kondusif serta dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi yang boleh memberi kesan buruk kepada kelangsungan hidup mereka. Setiap keluarga dan anggota masyarakat, termasuk organisasi kemasyarakatan wajar mengambil tanggungjawab bersama dalam memberikan penjagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak.
Negara-negara kita adalah antara negara-negara yang komited dalam memenuhi hak asasi kanak-kanak. Kerajaan telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada 29 Disember 1994 dan diguna pakai pada 17 Februari 1995. CRC menekankan kebajikan dan kehidupan kanak- kanak dengan penumpuan kepada emapat aspek, iaitu kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).
Selari dengan tujuan dan falsafah CRC yang memberi penekanan kepada penjagaan dan perlindungan serta hak asasi kanak-kanak maka kerajaan telah menggubal beberapa dasar berkaitan kanak-kanak, iaitu Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Akta kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selari dengan maksud- maksud dan kehendak CRC. Matlamat dasar ini ialah untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
Oleh itu, dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan serta penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.
Antara objektifnya ialah untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama; mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak; melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. meningkatkan khidmat sokongan terhadap kanak-kanak yang diabai, didera dan dieksploitasi; dan beberapa objektif lainnya.
Dasar Kanak-Kanak Negara pula digubal sebagai keprihatinan kerajaan kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak negara kita yang jumlahnya lebih 40 peratus penduduk negara kita. Dasar ini bertujuan melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.
Antara objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberikan jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial. Ini termasuk kanak-kanak kurang upaya juga mempunyai hak yang sama serta hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
Akta Kanak-kanak 2001 pula digubal bagi menggantikan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991. Ia diwujud dan dikuatkuasakan untuk mencegah dan bertindak balas terhadap sebarang bentuk atau unsur-unsur pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Pengabaian merujuk kepada kegagalan penjaga kanak-kanak untuk menyediakan keperluan asas fizikal, mental dan emosi kanak-kanak. Ini termasuklah pengabaian dari segi pendidikan, kesihatan, pemakanan (nutrisi), tempat perlindungan (kediaman), keselamatan yang diabaikan secara berterusan dan serius. Pengabaian tersebut biasanya akan memberikan kesan buruk terhadap perkembangan fizikal, emosi dan mental kanak-kanak, selain mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya yang dapat mengancam nyawa mereka.
Penderaan pula merangkumi semua bentuk penderaan, iaitu penderaan fizikal, mental, emosi dan seksual. Penderaan kanak-kanak biasanya membawa kepada kecederaan, penderitaan, kesengsaraan dan kesan psikologikal yang berpanjangan ke atas kanak-kanak. Ia mempunyai makna perlakuan jenayah terhadap kanak-kanak dan juga satu pencabulan atau pelanggaran terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah.
Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, penderaan fizikal berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecederaan dan ia dapat dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu.
Penderaan emosi pula adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang boleh menyebabkan gangguan pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, kemurungan, keresahan, suka menyendiri dan boleh menyebabkan pertumbuhan dan perkembangannya terjejas.
Satu lagi penderaan yang tidak sepatutnya berlaku ke atas kanak-kanak ialah penderaan seksual. Secara umumnya penderaan seksual berlaku dalam bentuk pengekploitasian terhadap kanak-kanak oleh orang dewasa untuk memuaskan hawa nafsu seksnya. Menurut Akta Kanak-Kanak 2001 penderaan seksual berlaku apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. Eksploitasi terhadap kanak-kanak adalah merujuk kepada penggunaan kanak- kanak dalam apa-apa aktiviti bertujuan untuk mendapat faedah dari segi kewangan, seksual serta kepentingan lain yang boleh menjejaskan atau mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal serta kelangsungan hidup kanak-kanak.
Bentuk-bentuk penderaan yang dinya0takan itu boleh berlaku secara ganas dan sadis. Tindakan keganasan dan sadis itu boleh menyebabkan kanak- kanak itu mengalami sebarang bentuk kecederaan sama ada dari segi fizikal, mental dan emosi dan juga boleh mengancam nyawanya. Akta tersebut juga ada menyentuh tentang pemerdagangan dan pemelarian kanak-kanak yang disebutkan sebagai pemindahan pemilikan, jagaan atau kawalan kanak-kanak dengan menyalahi undang-undang.
Masyarakat haruslah memahami bahawa kanak-kanak mempunyai hak asasi yang mesti dipenuhi. Mereka mesti dipelihara, dijaga, dididik dan dilindungi dengan baik dan sempurna. Justeru, semua pihak mesti mempunyai kesedaran yang tinggi tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak dari sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan kezaliman.
Sayugia difahami bahawa selain ibu bapa dan pendidik, banyak pihak lain yang turut terlibat dalam melindungi kanak-kanak, terutamanya ketika kanak-kanak itu diabai dan didera. Ini termasuklah pekerja sosial, pegawai polis, doktor, pengamal undang-undang dan juga pegawai imigresen.
Bagi pihak kerajaan pula mestilah terus meningkatkan aspek-aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan berkaitan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak supaya kanak-kanak terbela secara tuntas kerana mereka adalah pewaris dan penentu masa depan negara. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










