RANCANGAN popular kerajaan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian perlu dikaji pencapaiannya dan dilakukan pembetulan segera.
Perancangan yang dilakukan dalam Rancangan Malaysia Keenam pada 28 Februari 1991 itu menjadualkan kejayaannya pada tahun 2020.
Perancangan 30 tahun ini menjadikan lonjakan baharu Malaysia dalam bidang pendidikan sains, politik, ekonomi dan sosial.
Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang pelbagai suku kaum, budaya, agama dan status ekonomi, mementingkan kestabilan politik, keadilan sosial, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa serta keyakinan.
Untuk menjadi sebuah negara yang maju, Malaysia memerlukan masyarakat yang saintifik dan progresif, berpandangan jauh di peringkat lokal dan global, serta menjuarai teknologi dan tamadun sains masa hadapan.
Sekarang dunia menghadapi cabaran baharu kecerdasan buatan (AI, Artificial Intelligence), yang kompleks dan mencabar semua bidang kejuruteraan, sosial, ekonomi dan politik.
Pembangunan sosial, sains dan teknologi dan politik mesti terangkum dan terus berkembang secara sistematik.
Kepentingan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi mesti selari dan bukan setakat menggunakan teknologi untuk sosial tetapi membangunkan idea, kreativiti dan inovasi baharu dalam kehidupan.
Dengan teknologi AI sekarang, manusia akan menghadapi banyak cabaran baharu yang mesti ditangani dengan bijak.
Rancangan lima tahun pembangunan kerajaan merupakan satu perancangan penting negara yang sistematik. Rancangan peninggalan pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1956 itu bermula dengan Rancangan Malaya pertama 1956-1960 dan Rancangan Malaya Kedua 1961-1965.
Rancangan Malaysia Pertama bermula pada tahun 1966-1970 menumpukan kepada pembangunan ekonomi negara yang mencakupi semua bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan infrastruktur.
Sekarang Malaysia berada dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021-2025, yang mana sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu berikutan dengan pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi, perdagangan dunia dan politik antarabangsa.
Lanjutan itu juga boleh berlaku kecamukan politik yang mungkin menggugat kestabilan negara dan kegawatan ekonomi yang lebih teruk serta memberikan kesan buruk kepada kesejahteraan rakyat. Kitaran ini akan menjadi lebih parah sekiranya negara tidak diuruskan dengan betul.
Cabaran semakin hebat apabila teknologi komunikasi yang canggih tidak mampu disaingi Malaysia. Rancangan Malaysia tidak dapat dipenuhi semuanya secara teratur walaupun secara amnya rakyat Malaysia masih bertahan menandingi negara serantau.
Sejak mula lagi, Rancangan Malaysia telah menyentuh semua perkara berkaitan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, bermula daripada perancangan ekonomi rakyat dalam pertanian, perindustrian, kewangan, pembelajaran dan latihan, sains dan teknologi, pelancongan, pengangkutan dan komunikasi, alam sekitar, malah semua aspek yang melibatkan sosio-ekonomi, politik, perpaduan dan keharmonian.
Harapan Malaysia sangat tinggi bukan sahaja untuk negara tetapi juga persaingan serantau dan hab global dalam banyak hal termasuk pendidikan.
Jiwa besar Rancangan Malaysia penting untuk memandu pembangunan negara untuk masa hadapan. Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2025-2030 dijangka akan lebih mencabar.
Malaysia mesti lebih agresif lagi bersedia mencapai harapan dunia dalam banyak hal yang bersasar kepada 2030 terutamanya agenda transformasi dunia seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG, Sustainable Development Goal) 2030.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, tema Jiwa Merdeka dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. Kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan negara yang ingin dicapai seluruh rakyat Malaysia mesti dipegang dengan jiwa besar berpandukan perlembagaan negara dan ikrar keharmonian rakyat Malaysia melalui Rukun Negara. Jiwa Merdeka mesti melalui elemen semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara, integrasi dan keharmonian sosial yang kukuh dan pembangunan ilmu dan teknologi tinggi dalam kalangan rakyat. Negara ini negara rakyat Malaysia. Dengan semangat Jiwa Merdeka, semua rakyat Malaysia mesti faham hala tuju negara dan bersama melaksanakannya. Rancangan Malaysia kerajaan sejak merdeka mesti dihayati dan dijayakan.
Bagi memastikan kestabilan negara dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyahut dan menjayakan rancangan kerajaan sejak dahulu, pendidikan adalah faktor penting.
Melalui pendidikan, isu ekonomi, sosial dan politik akan dapat diharmonikan untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya. Pendidikan adalah berkaitan menguasai ilmu pengetahuan dan penjanaan ilmu baharu.
Misalnya melalui pendidikan dan penyelidikan sains dan teknologi, generasi muda dapat mendalami ilmu sains untuk kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar, pembangunan teknologi baharu dan kreatif dalam inovasi dan penggunaan teknologi semasa.
Pendekatan pendidikan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), membuka era baharu dalam persaingan ekonomi semasa dan masa hadapan.
Perniagaan atas talian misalnya, menjimatkan dan menguntungkan. Sistem ini memerlukan ramai ahli sepanjang rantaian perniagaan daripada sumber hinggalah pemasaran dan proses penghantaran kepada pelanggan.
Sistem yang kompleks ini memerlukan kepakaran dan penggiat inovasi teknologi di pelbagai peringkat. Di sini peranan ahli akademik di universiti sangat penting.
Dalam siri Rancangan Malaysia dapat dilihat penekanan kerajaan kepada isu pendidikan sains dan teknologi dalam meningkatkan ekonomi masyarakat dan negara melalui pertanian, perindustrian, pelancongan dan lain-lain.
Integrasi ilmu, teknologi, kreativiti dan inovasi akan dapat merancang kehidupan masyarakat umumnya agar hidup harmoni dan lestari sesama manusia dan alam sekeliling.
Jiwa Merdeka yang disemai dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diharapkan dapat menunjukkan rakyat Malaysia yang merdeka sebenarnya dan mengurangkan kebergatungan kepada orang lain serta hidup dalam persekitaran yang bersih. – UTUSAN
AHMAD Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










