Artis pun mampu berkhidmat

Artis pun mampu berkhidmat

SYED AHMAD ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

ARTIS kedua memegang gelaran Yang Berhormat (YB) selepas Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Dira), menyebabkan ALTIMET atau nama sebenarnya, SYED AHMAD SYED ABDUL RAHMAN ALHADAD percaya pemikiran rakyat Malaysia kini lebih terbuka dan mahukan perubahan terhadap negara.

Walaupun pada mulanya persepsi sesetengah penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya agak sinikal tetapi sejak dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Ogos 2023, penerimaan mula dilihat dan mereka semakin selasa dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, LAUPA JUNUS dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta dibantu jurufoto MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI, beliau begitu seronok berkhidmat kepada rakyat. Katanya, lagi orang kata tidak boleh berjaya, lagi dirinya akan bersemangat.

 


PERUBAHAN FASA

Dari segi rutin sebenarnya tidak banyak berubah, sama ada industri muzik dan politik, sifat kerjanya bebas. Ada hari sibuk dari pagi sampai malam, ada hari yang tidak berapa sibuk. Terlibat dalam industri hiburan merupakan latihan.

Persamaan kedua, kita berhadapan dengan orang ramai walaupun apa yang disampaikan berbeza.

Yang berbeza pula, tanggungjawab ini lebih besar dan berat. Tidak boleh dinafikan. Kita mahu membawa impak yang sangat positif, cuma sifat berlainan tetapi niat tetap sama.

Impak positif sebagai artis mahu hiburkan orang sementara sebagai ahli politik mahu ubah taraf hidup masyarakat setempat, ingin bawa suara mereka.

Wakil rakyat ini ‘media’ sebab bila ke Dewan kita mewakilkan suara rakyat tetapi apabila turun ke lapangan kita wakilkan suara kerajaan negeri. Kita ini pengantara.

 

RAKYAT ADALAH BOS

Kerana rakyat akan beritahu kepada majikan (kerajaan negeri), melalui undi, mahukan dia sebagai pekerja. Bagi saya YB ialah Yang Berkhidmat, jika ikutkan ia bermakna khadam atau bahasa Inggerisnya, servant server.

Orang sanjung wakil rakyat sebab merekalah yang berkhidmat. Sanjungan itu datang atau dipandang tinggi selepas berkhidmat.

LAWAN PERSEPSI

Selain santuni rakyat, saya juga perlu melawan persepsi yang orang seni ini malas bekerja sebab mereka tidak pernah ada wakil rakyat dari orang seni. Saya faham, kalau berbual dengan Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Hans Isaac, kita mahu menyumbang kepada negara tetapi akan tetap ada persepsi itu. Jadi kita sebagai pelopor perlu buat baik-baik.

Kalau ikutkan satu masa dulu, wakil rakyat kita Tok Siak, nelayan, petani. Bahkan dulu doktor jika mahu jadi wakil rakyat pun orang bercakap tetapi lupa perdana menteri kita yang paling lama seorang doktor. Disebabkan cara beliau berkhidmat, bila doktor ingin jadi wakil rakyat, tiada yang pertikaikan.

Samalah macam saya, mula-mula dipertikaikan tetapi kita pun rakyat Malaysia yang juga menyumbang kepada ekonomi. Jadi, apa salahnya menjadi wakil rakyat.

MAHU ANAK KEKAL DI MALAYSIA

Anak-anaklah yang mendorong saya masuk dunia politik kerana secara asasnya mereka akan hidup lebih lama di Malaysia berbanding saya. Sebab itu kita perlu pastikan Malaysia paling kurang pun sama baik macam zaman kita, kalau boleh lagi baik. Saya tidak mahu menjadi seorang ayah yang menasihati anaknya untuk tinggal di luar Malaysia.

Ini kerana sejak 2010, ramai ibu bapa menasihati anak mereka untuk keluar dari Malaysia kerana risau rezeki anak dan hala tuju negara. Jadi, sebelum saya jadi orang seperti itu, baik saya usahakan sesuatu.

REFORMASI YANG PERLAHAN

Sebab orang tengok filem banyak sangat. Mereka ingatkan hari ini menang pilihan raya, esok semua reformasi jalan, semua reformasi terungkai. Perkara-perkara yang ingin direformasi perdana menteri perlu ambil masa 40, 50, 60 tahun untuk terjadi benda itu.

Jangkaan orang terhadap gerakan reformasi terlalu melangit. Kita perlu bersabar. Jajarannya sudah nampak, baru-baru ini anggota Imigresen memiliki RM800, 000 ditangkap, itu bukan reformasi?

Kalau pertukaran atau perubahan berlaku secara laju orang akan takut. Kita perlu perlahan-lahan, sama macam kita latih anak sembahyang.

JANJI BOLEH TETAPI PERLU BERUSAHA

Terpulang kepada calon masing-masing. Anda mahu janji, janjilah. Saya tiada masalah. Saya tidak pernah menjanjikan keputusan, saya hanya janjikan usaha sebab usaha di tangan saya.

Janji itu mestilah relevan. Contohnya saya janji, kalau menang akan bina surau, tetapi apa relevannya sebab di kawasan ini ada 28 rumah ibadat untuk orang Islam. Kita ada lima masjid, tiga surau solat Jumaat dan 20 surau biasa. Jadi, apa impak saya janji bina surau, mahu letak di mana? Surau sudah banyak.

Lainlah kalau saya bertanding di negara Eropah, janji mahu bina masjid. Yang ini boleh memberi impak.

Apa yang saya janjikan akan memberi sokongan pada surau. Bagitahu sahaja apa yang diperlukan, kita akan lihat. Apa pun keputusan adalah daripada Yang Maha Esa. Kun Fayakun.

MASYARAKAT LEBIH KENAL ALTIMET SEBAGAI ARTIS, BUKAN YB

Luar Lembah jaya saya tidak tahulah. Perubahan itu sudah nampak di sini walaupun baru berkhidmat setahun berbanding mahu lawan usaha 20 tahun dalam dunia hiburan. Mestilah orang lebih nampak saya sebagai artis.

BUANG ‘JAKET’ ARTIS

Kali terakhir saya buat persembahan ialah The Altimet Show, kemudian saya buka ‘jaket’ artis. Saya tiada perancangan untuk kembali atas pentas sebab sudah hilang minat.

Bagi saya membuat persembahan adalah satu pekerjaan , tulis lagu pula minat. Minat kalau tidak berbayar pun kita akan buat, pekerjaan kita boleh tukar. Saya sudah katakan pada diri hanya akan menjadi penghibur sehingga berumur 40 tahun sahaja. Sekarang, sudah 46 tahun.

KELAINAN GENERASI BAHARU

Pemikiran mereka lain, tidak lagi memegang ‘ketidakadilan’ datuk nenek mereka. Kita faham kenapa benda itu terjadi. Satu masa dahulu, jika ada sedikit kelainan pada seseorang, mereka dianggap mahu menjajah tetapi sekarang ini lain, pola pengundi pun berbeza.

Dulu mengundi mengikut parti, tidak tengak calon langsung. Sekarang, tengok parti dan calon tetapi generasi anak saya akan lebih tengok calon berbanding parti.

Golongan muda terutama pengundi 18 tahun ini tidak boleh kempen kutuk-mengutuk. Mereka juga tidak suka calon atau YB yang turun kawasan memakai baju parti. Saya kalau jumpa orang atau turun kawasan akan pakai jersi Selangor walaupun pernah ditegur kenapa tidak pakai baju lambang parti.

PEJUANG ROYALTI PELAKON, KRU PRODUKSI

Betul, saya selalu berbincang dengan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), untuk membantu kawan-kawan. Kita perlu dapatkan kerangka daripada luar negara sebab mereka ini kalau ada filem atau cerita di televisyen 100 episode, mereka akan dapat royalti.

Sini tiada. Kita main muzik, bukan pencipta lagu tetapi masih dapat royalti. Saya sebagai vokalis dapat royalti. Saya sebagai penulis lagu dapat royalti, sebagai syarikat rakaman juga dapat royalti tetapi kawan-kawan pelakon tidak dapat.

Saya rasa itu perlu tukar sebab ia merupakan hasil kerja, titik peluh mereka. Penulis skrip itu harta intelek mereka walaupun idea daripada orang lain. Begitu juga pelakon, jurukamera yang menghidupkan sesebuah cerita.

Artis ini kerja secara bebas, pengurusan kewangan itu perlukan penelitian yang berlainan. Lagipun mereka ini memperkasa budaya sebab menentukan hala tuju budaya dan perkara itu akan memberi kesan kepada cara orang kita berfikir.

Sebab itu jangan marahlah apabila orang kata hiburan zaman sekarang sampah. Dulu boleh cari makan tetapi tidak sekarang, jadi bagaimana kita mahu mereka kekal menyumbang dalam industri?-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN