SAUDARA PENGARANG,
SAYA percaya Nenggiri akan berubah wajah dalam tempoh kurang dari dua tahun jika pengundi dalam kalangan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memberi mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya kecil (PRK) pada 17 Ogos ini.
Kita melihat kehidupan ramai peneroka berubah jauh lebih baik setelah menyertai Felda. Inilah simbol kejayaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengukuh dan menjayakan Felda. Buktinya kini terhasil 317 rancangan yang tersusun dan terancang dan diiktiraf di dunia sebagai program pembasmian kemiskinan yang paling berjaya.
Sejak ditubuhkan pada 1956, peneroka Felda yang dahulunya diberi sekeping tanah setiap seorang untuk diteroka dan diusahakan, bukan sahaja mengubah hidup mereka lebih selesa, tetapi ada yang dapat hidup mewah.
Calon yang diketengahkan BN pada PRK ini juga merupakan Pengerusi Majlis Belia Jajahan Gua Musang, adalah individu terbaik dan menjadi harapan untuk diangkat sebagai ‘jambatan’ penghubung antara Nenggiri dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Jika dibuka lembaran sejarah Gua Musang ini, jasa dan bakti Tengku Razaleigh Hamzah punca kepada kejayaan pembangunan kemajuan di Kelantan termasuklah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan juga Felda. Perkara ini menunjukkan Felda ialah pasaran politik Melayu terbesar di luar bandar. Mana-mana parti politik berteras Melayu ditentukan oleh hayat politik daripada pengundi Felda.
Kita bersyukur kerana terdapat pelarasan dan koordinasi yang baik antara kerajaan dalam masa setahun dua ini, kita juga berjaya memberi perhatian lebih baik dan terbaik yang pernah kita lakukan. Permintaan kami berhubung lampu jalan dan isu rumah generasi baharu yang terbengkalai antara yang diberi perhatian dan projek ini memberikan manfaat dan impak yang besar.
Maka tidaklah hairan apabila tiba waktu pilihan raya maka, akan keluar pelbagai isu berkaitan Felda dan akan timbul juga para penyelamat yang sebelum ini tidak pernah susah atau senang bersama peneroka Felda.
Kita percaya hanya kerajaan yang kukuh dan stabil dapat menjamin hak peneroka Felda, generasi kedua dan ketiga mereka terus diperjuangkan.
Politik tidak akan pernah selesai dan perbezaan politik akan menyebabkan segala usaha memajukan Felda akan terumbang-ambing.
Saya percaya warga Felda menghargai dan menyokong segala usaha yang dibuat oleh kerajaan yang peka pada keperluan warganya.
Warga peneroka perlu cakna dan sentiasa bermuafakat agar tiada pihak dapat mengambil kesempatan sehingga memungkinkan kesilapan memilih mereka yang sebenarnya tidak mempunyai keupayaan dan minat untuk membawa suara warga Felda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kelak.-UTUSAN
M. SYAHIRAN ANNUAR
Setiausaha Agung,
Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM)











