HAKIKAT penciptaan manusia adalah sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi. Lantaran itu, setiap individu itu adalah ketua atau pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan atau mempunyai akauntabiliti terhadap apa-apa yang berada di bawah tanggungjawab masing-masing.
Sementara seseorang guru besar atau pengetua merupakan ketua atau pemimpin bagi sesebuah sekolah. Seorang guru itu pula ialah seorang ketua atau pemimpin dalam bilik darjah.
Oleh itu, mereka mempunyai amanah besar terhadap murid-murid yang berada di bawah tanggungjawab masing-masing.
Amanah besar kepada pemimpin pada hierarki pendidikan di sekolah dan bilik darjah adalah mengemudi sekolah, mendidik, membimbing dan membina generasi masa hadapan negara.
Oleh hal demikian, golongan ini perlu merancang dengan strategik pendekatan, strategi, kaedah dan teknik bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, di samping menanam nilai-nilai manusiawi dalam diri murid.
Hal ini merupakan amanah besar, iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Amanah besar ini juga mencakupi tanggungjawab mendidik dan membina murid-murid bagi memperoleh pengetahuan, memiliki kemahiran memimpin dan kemahiran berfikir, menguasai dwibahasa, kukuh etika dan kerohanian serta berbangga dengan identiti nasional.
Untuk menyerlahkan karisma, mereka perlu menjadi seorang ketua atau pemimpin futuristik.
Ketua atau pemimpin ini mampu melihat kehidupan di hadapan menerusi data dan maklumat.
Data dan maklumat tersebut bukan sekadar untuk melihat turun dan naik prestasi tetapi dicerakin dengan jelas bagi melihat tindakan yang perlu diambil.
Dengan demikian, mereka mempunyai kuasa autonomi yang besar untuk menubuhkan kumpulan penyelesaian masalah bagi merencana dan melaksanakan inisiatif dan program pendidikan yang berkualiti untuk murid-murid tanpa menunggu arahan.
Autonomi kepada golongan ini dalam proses pembelajaran murid membolehkan mereka mengelakkan pelbagai ‘red tape’ (karenah birokrasi) yang menghalang kreativiti.
Oleh itu, mereka berupaya menghasilkan inisiatif atau program bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun bilik darjah dengan berimpak tinggi.
Autonomi kepada guru besar, pengetua dan guru sebagai ketua atau pemimpin menderaskan pelbagai inisiatif program yang menyokong Kementerian Pendidikan (KPM) dalam meningkatkan kualiti pendidikan murid berteraskan kreativiti serta inovasi warga pendidikan.
Hal ini penting untuk difahami, amanah golongan pendidik adalah untuk membangunkan dan mendidik anak bangsa yang bukan sahaja dari aspek ilmu pengetahuan tetapi merangkumi pelbagai kemahiran untuk kehidupan baharu yang tidak dijangka selain pemupukan nilai-nilai manusiawi yang jitu dalam diri murid.
Autonomi ini merupakan manifestasi kepercayaan KPM kepada warga guru dalam mengetuai serta memimpin proses pembelajaran di sekolah atau bilik darjah, di samping mematuhi dasar-dasar yang dikeluarkan oleh kementerian seperti dasar kurikulum, pentaksiran dan lain-lain.
Amanah bersama-sama autonomi dalam memimpin proses pengajaran dan pembelajaran menjadi keutamaan guru besar, pengetua serta guru kerana ia untuk membina generasi madani yang mampan, berkeyakinan, berdaya cita, sejahtera, memiliki ihsan mahupun saling menghormati dalam kehidupan era digital.
SELARI PERKEMBANGAN TEKNOLOGI
Tugas guru besar, pengetua dan guru adalah mendidik, membimbing dan membangunkan potensi murid-murid. Tugas itu menjadi tanggungjawab dan merupakan amanah yang mesti ditunaikan.
Oleh hal demikian, amanah tersebut mesti menjadi keutamaan dalam kamus tugas golongan berkenaan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta bilik darjah.
Dengan ini, inisiatif atau program yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran dirancang serta dilaksanakan dengan strategik supaya bersinergi membina anak bangsa yang berdaya tahan untuk kelangsungan hidup selain mampu pula membela agama, bangsa mahupun negara pada masa hadapan.
Mereka perlu sedar kehidupan pada masa hadapan bukan bergantung kepada kecemerlangan akademik tetapi kebijaksanaan mengaplikasi ilmu pengetahuan, di samping keupayaan menguasai pelbagai kemahiran baharu dan kekuatan nilai diri atau manusiawi.
Hal ini kerana kehidupan masa hadapan adalah antara kehidupan manusia dengan manusiawinya bersama-sama dengan teknologi pengatucaraan, robotik dan kecerdasan buatan (AI). Ini cabaran besar di sebalik amanah tersebut.
Kehidupan masa hadapan dapat diteliti menerusi kehidupan pada hari ini. Hari ini, masyarakat mempunyai media sendiri bagi menyampaikan komen, kritikan dan pendapat dengan bebas.
Masyarakat juga mempunyai sumber maklumat yang luas dan membolehkan mereka membuat pertimbangan sendiri serta mencabar sesuatu pegangan yang sudah menjadi kelaziman.
Semua ini menukar bentuk pemikiran dan mempengaruhi bentuk kerja, ekonomi serta sistem nilai masyarakat.
Oleh itu, guru besar, pengetua dan guru sebagai ketua atau pemimpin mesti tangkas mengemudi pendidikan dalam dunia yang berkembang dengan pantas.
Kegagalan menguruskan pendidikan dalam dunia yang berubah dengan pantas bermakna musuh akan mengambil tempat untuk mendidik, membimbing dan membangunkan anak bangsa.
Sudah tentu didikan yang diberikan itu jauh tersasar daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan atau prinsip pendidikan manusiawi mahupun prinsip karamah insaniah yang sejajar dengan reformasi pendidikan pada hari ini.
Kerana ini, amanah seorang ketua atau pemimpin bagi guru besar, pengetua dan guru menjadikan mereka tiada masa untuk perkara remah-temeh seperti mengejar pujian atau pangkat.
Menginsafi bahawa kealpaan pada amanah itu pasti akan dipertanggungjawabkan.
Kegagalan melunaskan amanah bermakna menggugat hidup murid pada masa hadapan.
Demikianlah seorang ketua atau pemimpin itu yang banyak risau, kurang gembiranya.-UTUSAN
DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).










