Selusuri jiwa merdeka tanpa padam cahaya harmoni

Selusuri jiwa merdeka tanpa padam cahaya harmoni

KEHARMONIAN yang diperoleh hari ini demi masa depan anak cucu yang bakal mewarisi Malaysia. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARMONI idaman semua. Nilainya tinggi bagi maksud menikmati indahnya kehidupan. Harmoni hadir bersama sikap sedia mengenali fakta perjalanan kehidupan secara jujur serta memahami asas dan ketentuan yang sedia tercatat. Ini kerana bertindak melampaui batas persefahaman hanya mengundang resah, mengganggu perasaan dan menggugat kestabilan.

Begitulah juga hakikat menghargai kemerdekaan tanah air. Sebuah kemerdekaan bukan tercapai melalui jalan yang mudah. Ada perbincangan, perjuangan, pengorbanan, persetujuan dan kalau tidak pun melalui peperangan sebelum sesebuah negara itu bebas.

Syukurlah Malaysia sudah merentasi episod memperjuangkan kemerdekaan tanah air dengan melewati segala ‘kepayahan’ tersendiri. Dan, kini adalah masa untuk terus memperkasakan pengisian kemerdekaan dengan sebaik-baiknya.

Malang, jika pohon yang menghasilkan buah, sedang masak ranum, enak dimakan, lalu timbul pula isu ‘menjadi rebutan’ sehingga hilang pertimbangan mengakuri hakikat asas kedudukan.

Berbicara dengan mudah, kenapa perlu timbul sesetengah tindakan kononnya untuk memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum sehingga sanggup mengenepikan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara?

Sepatutnya dengan segala asas yang sudah dipersetujui, fokus kini perlu dijurus atau ditumpukan untuk membina negara bangsa yang maju membangun, stabil dan makmur. Tidak perlu dibangkit soal ketidakpuasan hati. Tidak payah diungkit perbezaan layanan di antara kaum atau wilayah dan negeri. Segala pendekatan berjalan sejak sekian lama, berkonsep perbincangan mencari kata sepakat, bersederhana, memenuhi setiap keperluan serta adil untuk semua.

Orang-orang Melayu tidak perlu meracik-racikkan diri mereka sehingga ‘tercalar luka’ semata-mata untuk meraih untung yang tidak seberapa. Pulanglah ke pangkal penyatuan demi agama dan bangsa.

Tanah air ini menghampar sepenuh peluang dan kemudahan untuk menggapaikan kejayaan. Berusahalah tanpa terbantut hasrat, terencat cita-cita kerana segala perancangan kerajaan yang ada, sedia membantu, menampung dan mendorong ke arah mencapai kejayaan yang dicari serta dihajati.

Berpolitik itu perlu, tetapi jangan sampai berpecah, tanpa penamat tanpa penyudah. Jangan hanya pada kata-kata, kononnya kami berjuang demi kepentingan bangsa namun apabila memperoleh kuasa, segala janji diketepikan sahaja. Ingatlah, rakyat tetap mengharap. Aspirasi rakyat ialah demi kebajikan hidup mereka terbela, bukan untuk semudah dipersia atau dipersenda.

KUASA POLITIK
Gunakan kuasa politik untuk memajukan bangsa. Hentikan kecenderungan meraih kemenangan politik bersandarkan kelemahan lawan. Buktikan kemampuan sejati, bukan berslogan retorik, berhujah hambar mengguna agama. Jujur dengan janji dan berpijaklah pada kesanggupan ikhlas untuk memajukan rakyat, negeri atau negara.

Berpolitik demi kepentingan bangsa tidak perlu dilahirkan dengan pelbagai jenama. Memadai dengan mana-mana jenama yang sudah terbukti mampu dan berupaya mentadbir negeri atau negara dengan berkesan. Berpandulah pada sejarah prestasi (track record) sebenar.

Untuk apa jika dijelmakan pelbagai jenama baharu kalau hanya berasaskan untuk melepas dendam peribadi, membina kelompok untuk merebut kekayaan negara, menampilkan sikap kedaerahan (minority) yang sempit atau berpaksi pada kepentingan kaum yang keterlaluan.

Apa pun semua pihak tidak dinafikan hak. Setiap rakyat Malaysia berpeluang mencipta kejayaan, membina kesejahteraan hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Tidak perlu ada sangsi, bimbang atau prejudis. Sebaliknya, hidup saling sedia menerima, menghormati dan menghargai segala keistimewaan yang ada, menjamin sejahtera serta harmoni.

Jadi, tidak perlu diungkit atau dikeluarkan sebarang saranan misalnya mengajak untuk ‘mengkaji semula’ kontrak sosial yang sememangnya sudah diterima oleh semua pihak.

Rakyat Malaysia sudah berada pada suasana yang maju. Meliputi kemajuan dalam menimba ilmu dan kepakaran, membina taraf sosial berkualiti serta maju dalam daya pemikiran bagi kehidupan bersifat majmuk di bumi tercinta. Justeru, elak dari menafi dan mengenepikan ciri-ciri keunikan yang dimiliki selain sedia dinikmati demi kelangsungan hidup yang makmur sentosa.

Tapak utama yang boleh dijadikan landasan pembinaan kehidupan harmoni, sesuai dengan menelusuri jiwa yang merdeka ialah dengan menghayati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Dalam konteks agama, Islam menyeru umatnya sentiasa memperkukuhkan iman dan takwa kepada Allah. Mematuhi segala hukum dan peraturan, nescaya selamat sejahtera di dunia mahupun akhirat. Islam juga menganjurkan pembinaan ukhuwah dan bersama memelihara kedaulatan agama.

Kedaulatan raja dan negara juga perlu dipelihara. Sentiasa suburkan semangat sayangkan negara di bawah naungan kedaulatan raja-raja terutama dalam meraikan semangat patriotisme, kesukanan dan dalam sebarang unsur berbentuk pencapaian serta kecemerlangan yang menjadi kebanggaan bersama. Ini juga termasuk aspek kejayaan ekonomi dan sosial.

Satu lagi asas utama yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia melalui penggunaan bahasa. Jangan ketepikan atau remehkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan harian. Ini sama ada dalam pertuturan atau komunikasi biasa, mahupun dalam bentuk formal atau rasmi. Sedia maklum, bahasa adalah jiwa bangsa.

Perkukuhkan sikap saling tahu menjaga dan menghormati privasi agama masing-masing. Sebagai agama rasmi negara, kesucian Islam tidak wajar diusik dan dipertikai dalam apa jua bentuk atau cara oleh mana-mana pihak. Misalnya, tidak perlu ada sebarang saranan untuk membawa anak-anak muda Islam melawat kuil atau gereja atas apa jua alasan. Niat tidak menghalalkan cara.

Manakala, suatu lagi aspek universal yang boleh diterima dan dihargai semua ialah sikap menjaga nilai peradaban, santun beradat, susila dan budaya dalam kehidupan harian. Ini baik dalam tingkah laku, berinteraksi atau bertutur kata, menjaga kebersihan dan sama-sama mengapresiasi seni budaya antara kelainan kaum dan etnik bangsa.

Betapa indahnya hidup harmoni, sama rasa seiring sekata. Sayangkan Malaysia, hargai kemerdekaan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN