PRK Nenggiri: Pilih untuk senang atau sekadar menang?

PRK Nenggiri: Pilih untuk senang atau sekadar menang?

SIAPA pun antara calon Kerajaan Perpaduan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) dan Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang berjaya memikat hati pengundi harus memperjuangkan isu kemusnahan hutan di kawasan berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN sering mengajak kepada pertimbangan sama ada berdasarkan sekadar memenuhi apa yang ‘dimahu’ atau yang ‘diperlu’. Dua kalimah ini membezakan antara sentimen menilai faedah, kesan jangka pendek atau panjang.

Dalam konteks pilihan raya, mungkin dikaitkan dengan pengaruh kempen atas isu-isu semasa yang ‘pandai dimainkan’ atau berpijak pada keperluan sebenar demi kelangsungan kehidupan untuk senang dan maju.

Terperangkap dengan kempen murahan dan remeh hanya akan mengembalikan kepada suasana seperti yang dialami sebelumnya. Sedangkan, peluang pada setiap pilihan raya adalah untuk mencari calon dan parti yang mempunyai latar belakang kukuh bagi membawa perubahan dan kemajuan. Pada masa yang sama, ia adalah berpeluang menghantar mesej jelas kepada pihak yang gagal menunaikan janji atau beretorik tanpa berkesan.

Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang semakin hangat dengan gerakan kempen menjelang tarikh mengundi pada 17 Ogos, ramai yang berpendapat, lebih 20,000 pengundi di kawasan berkenaan sudah bersedia dengan pilihan tepat dan tersendiri berdasarkan pertimbangan yang munasabah.

Pengalaman mengajar pengundi di kawasan itu mengenali calon yang sesuai atau parti yang benar-benar berupaya membawa perubahan. Rakyat sebenarnya bukan mahu alasan, tetapi mahukan tindakan berkesan bagi membela nasib mereka. Rakyat yang meliputi majoriti masyarakat Melayu, Orang Asli dan sebilangan kecil Cina, dapat menilai dan mengenali dengan mudah calon dan parti yang perlu dipilih.

Ada di antara calon yang bertanding sudah tidak asing lagi dengan penduduk tempatan. Malah, sudah berbelas tahun membantu memberi perkhidmatan kepada penduduk bersama-sama bekas wakil rakyat yang memenangi kawasan berkenaan. Malah, calon yang dimaksudkan itu meluahkan pula janji kepada penduduk tempatan dengan akan meningkatkan peratusan kadar kecaknaan terhadap keperluan rakyat sekiranya diberi peluang memenangi PRK Sabtu ini.

Kata calon itu, dia tidak mahu menabur janji ‘berlebih-lebihan’, namun cukup untuk menyatakan, akan berusaha melakukan terbaik, selain akan membawa suara rakyat kepada kepemimpinan kerajaan Pusat demi kebaikan penduduk di sana. Katanya, perjuangannya pada PRK ini adalah sebagai medan perubahan untuk rakyat dan kawasan Nenggiri.

Tidak kurang juga kedengaran suara-suara yang memperakukan jasa-jasa besar yang dicurahkan oleh seorang ‘tokoh veteran’ yang pernah menjadi wakil Parlimen mereka di kawasan berkenaan dalam tempoh begitu lama. Sejarah tidak membohongi kenyataan. Mana yang baik diterima, ‘yang palsu’ diketepikan. Elemen ini dikatakan akan turut mempengaruhi pertimbangan rakyat tempatan pilihan pada PRK nanti.

Apatah lagi, ada sedikit ciri ‘yang membosankan’ penduduk tempatan sepanjang gerakan kempen PRK dijalankan. Munculnya pihak yang tanpa bertunjang jenama parti turut berlegar sehingga menimbul pertanyaan: “Untuk apa mereka ke mari? Kalau setakat untuk mencemuh dan memburuk-burukkan pihak-pihak tertentu, mungkin tidak membawa makna apa-apa…”. Malah ada yang menambah: “Kita fokus untuk kemajuan masa depan yang berkesan, bukan sekadar biskut atau mi segera”.

Ada kenyataan sesetengah pemimpin yang ‘menjelajah’ kawasan Nenggiri khususnya sepanjang kempen PRK sedang berjalan, maklum balas diterima daripada kalangan rakyat menjurus kepada kecenderungan mengharapkan bantuan agensi Pusat dan kerajaan Persekutuan. Malah, ada kalangan masyarakat tempatan melahirkan kata-kata: “Kalau tanpa bantuan agensi dan peranan kerajaan Persekutuan, kemajuan Gua Musang tentu tidak seperti yang ada sekarang”.

ISU ALAM SEKITAR
Memetik pesanan dan peringatan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) minggu lalu, calon yang menang pada PRK itu nanti, perlu memperjuangkan isu kemusnahan hutan di kawasan berkenaan. Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin dipetik sebagai berkata, sekiranya isu berkenaan tidak diperjuangkan dan tidak diberi keutamaan, lebih banyak tanah akan dibuka yang akhirnya menjejaskan kehidupan penduduk terutama masyarakat Orang Asli.

Sebelum itu, lebih 1,000 penduduk Orang Asli Pos Pasik mendakwa, Sungai Temer yang menjadi sumber pendapatan mereka mencari hasil sungai dan sumber minuman tercemar akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin, sejak Jun lalu, penduduk di kawasan itu terpaksa berhadapan dengan masalah sungai yang keruh dan kotor apabila hujan.

Apa yang kedengaran, rakyat Nenggiri sudah bersedia dengan pegangan mudah (simple) dalam membuat pilihan pada hari mengundi nanti. Dengan menoleh prestasi dan keberkesanan pelaksanaan usaha membela rakyat di masa lalu, mereka bakal mencari wadah yang ‘boleh dipercayai’, mahu menumpang senang, bukan sekadar untuk meraih kemenangan.

Sementara itu, laporan pihak keselamatan memberitahu, tiada hal membabitkan keselamatan berlaku sepanjang kempen dijalankan. Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki berkata, setakat ini kempen PRK Nenggiri berjalan dengan aman dan tiada kes provokasi yang berlaku. Syukurlah!

Melihat jauh ke hadapan, menelusuri impian dan harapan. Tanpa tapak kukuh menjadi landasan, bimbang segalanya tidak kesampaian.-UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN