SEJAK akhir-akhir ini, melihat kepada perkembangan yang berlaku antara Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dan Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan.
Pada amnya Gerakan perlu lebih efektif sebagai satu blok pembangkang dalam mendapatkan sokongan kumpulan sasaran iaitu bukan Melayu. Bukan satu hal mudah apabila dilihat corak pasaran politik antara Pas dan Gerakan dalam satu gabungan pembangkang.
Mutakhir ini pula, beberapa isu melibatkan golongan bukan Melayu kurang dititik beratkan oleh DAP yang merupakan pemegang majoriti terbesar kerusi bagi golongan ini. Sebaliknya MCA lebih kelihatan efektif dalam memperjuangkan sebahagian isu kemajmukan masyarakat melibatkan golongan bukan Melayu.
Kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Pulau Pinang yang merupakan kubu kuat DAP sejak 2008 merupakan satu tamparan hebat. Selama ini, DAP mendominasi pasaran politik bukan Melayu terutama di Pulau Pinang sejak kekalahan Gerakan dalam mempertahankan penguasaannya.
Kini Gerakan seolah kehilangan tokoh pemimpin dan perjuangan dalam isu melibatkan golongan bukan Melayu yang merupakan kumpulan sasaran pasaran politiknya. MCA pula kini mula mendapat sokongan daripada golongan bukan Melayu walaupun kekalahan pertama parti itu di Pulau Pinang pada 1990 dan kekalahan teruk pada 2018.
Dalam mana-mana gabungan politik yang melibatkan kumpulan pasaran politik bukan Melayu selalunya terbuka kepada persaingan antara hak dan isu yang melibatkan tolak ansur serta pendekatan sederhana politik. Pun begitu, sukar untuk melihat kondisi menang-menang antara dua kelompok pasaran politik Melayu dan bukan Melayu melainkan ada konsesi permuafakatan politik.
Konsesi permuafakatan politik adakalanya mengundang pelbagai pendekatan yang berlainan bagi setiap kelompok pasaran politik. Ini boleh dilihat dari segi keadilan sosial hak minoriti dalam mendapatkan persamaan pendidikan dan pekerjaan. Ini amat penting dalam mengurangkan jurang pendapatan antara golongan B40 dan T20, keciciran dalam pendidikan, penempatan pendidikan tinggi untuk pelajar cemerlang mahupun bantuan perekonomian perusahaan kecil sederhana.
Isu-isu yang sentiasa menjadi perdebatan apabila melibatkan golongan bukan Melayu sebenarnya bukan hanya berkisar kepada isu bahasa atau sekolah vernakular tetapi melibatkan penolakan ke atas Barisan Nasional (BN) yang sudah kelihatan sejak 1990 apabila Gerakan menjadi parti kedua yang mempunyai kerusi terbanyak bagi bukan Melayu berbanding MCA dan MIC. Tetapi pada masa itu, golongan bukan Melayu masih menaruh harapan akan adanya perubahan dalam kepimpinan BN.
Bermula 2007, penolakan golongan bukan Melayu mula kelihatan apabila munculnya satu pasaran politik yang dilihat mampu menawarkan penyelesaian kepada beberapa isu yang yang diperjuangkan oleh kumpulan massa ini.
Tetapi kelihatan kini medium pasaran politik baharu tersebut gagal memenuhi sebahagian isu yang dituntut oleh beberapa kumpulan massa bukan Melayu. Ia kelihatan seolah-olah terdapat satu jurang selimut dalam blok politik bukan Melayu. Impak jurang selimut ini boleh mengubah landskap politik Malaysia andai kata berjaya ditangani oleh mana-mana gabungan parti politik yang sedia ada atau yang akan muncul nanti.
Setiap gabungan politik kini terdapat kekuatan dan kelemahan dalam pasaran politik masing-masing. Boleh dikatakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti kekuatan dan hala tuju politik Melayu masih lagi bergantung kepada sokongan pasaran politik bukan Melayu.
Melainkan berlakunya beberapa perubahan dalam blok kerajaan mahupun pembangkang andai kata ingin membentuk kerajaan nanti.
Isu ekonomi dan kos sara hidup tidak dapat dinafikan memainkan peranan penting dalam mood pengundi sama ada pasaran politik Melayu atau bukan Melayu. Tetapi setiap gabungan parti politik negara ini sudah sedia ada pengundi tegar dan pengundi yang akan beralih sokongan dalam PRU16. Ini bergantung kepada sejauh manakah setiap gabungan parti politik mengekalkan segmen pengundi yang menyokongnya dalam PRU15 lalu.
Perubahan kawasan landskap politik sudah banyak berubah sama ada di kerusi majoriti Melayu mahupun bukan Melayu. Tiada gabungan parti politik boleh memberi jaminan mana-mana kerusi adalah milik partinya kecuali di Kelantan dan Terengganu. Itu pun bergantung kepada sejauh mana kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam menembusi kerusi gabungan PN. Ini disebabkan pertandingan sengit antara BN-PH dan PN sudah pasti akan berlaku dalam PRU16.
BLOK GABUNGAN BAHARU?
Pun begitu, berkemungkinan akan adanya satu lagi blok gabungan parti baharu wujud nanti. Kewujudan blok gabungan parti ini disebabkan terdapat beberapa segmen antara bukan Melayu dan Melayu yang kurang sesuai untuk menyokong pendekatan BN-PH dan PN.
Kumpulan segmen ini sudah kelihatan sejak PRK Kuala Kubu Baharu. Walaupun begitu kekuatan blok gabungan ini diragui untuk menang dalam PRU16, sebaliknya kelihatan akan memecahkan undi sedia ada antara pertandingan BN-PH dengan PN.
Kemunculan segmen blok gabungan parti baharu ini akan didominasi oleh pasaran politik bukan Melayu yang kurang sehaluan dengan gabungan BN-PH mahupun PN. Kekuatan segmen pasaran politik bukan Melayu yang selama ini difokuskan kepada Pakatan Rakyat (PR) kemudian PH kini jelas retak sedikit demi sedikit. Tetapi perpecahan pasaran politik Melayu dan Islam masih sukar disatukan sehingga PRU16 nanti.
Gabungan BN-PH mungkin menghadapi dilema untuk menarik sokongan pasaran politik Melayu dengan beberapa isu yang masih belum diselesaikan melibatkan 3R (kaum, agama, raja).
Tetapi dengan andaian berlakunya kemunculan blok pasaran politik bukan Melayu dan gabungan parti politik dalam masa terdekat nanti bererti sokongan segmen pasaran politik bukan Melayu ke atas gabungan BN-PH sudah pasti akan menghadapi saingan sengit.
Andaian ini hanya benar jika parti politik masih gagal menangani permasalahan isu yang melibatkan pasaran politik bukan Melayu.-UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










