TANYALAH mana-mana pemandu kenderaan atau penunggang motosikal, siapa di antara mereka tidak pernah melanggar lubang di jalan raya? Saya percaya tiada siapa mengakuinya. Sebaliknya mereka pula yang akan mendedahkan berapa jumlah kos yang terpaksa ditanggung akibat kerosakan pada kenderaan.
Mana tidaknya, akibat jalan berlubang, pengguna berisiko untuk memperbaiki atau menukar ekzos, roda, tayar, suspense, control arm dan badan kereta.
Saya juga pernah melalui pengalaman sama. Saya perlu menukar tayar baharu dan pembaikan ketuk rim selain membuat pengimbangan tayar. Tidak pasal-pasal perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk memperbaiki kerosakan kenderaan.
Saya juga pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) ekoran beberapa jalan berlubang berdekatan kawasan perumahan saya. Jalan berlubang itu ketika itu tidak diselenggara melebihi tempoh dua minggu. Mungkin kerana tiada aduan daripada penduduk setempat. Kelakarnya, mereka hanya menurap satu daripada dua jalan berlubang yang jaraknya tidak sampai 50 meter, selepas saya membuat aduan mengenainya.
Walaupun kita boleh dianggap bersyukur kerana sejak beberapa tahun ini ada pihak membantu menyelesaikan masalah pengguna dengan menurap jalan berlubang secara sukarela tetapi sampai bila kita harus bergantung kepadanya sedangkan negara ini mempunyai pihak berwajib yang ditugaskan untuk menyelesaikan masalah berkaitan jalan yang tidak diselenggara ini. Bahkan, peruntukkan yang besar disediakan untuk kerja-kerja pembaikan itu.
Kita juga perlu sedar, kematian jalan raya membabitkan penunggang motosikal akibat keadaan jalan yang tidak sempurna bukanlah perkara baharu. Menurut statistik yang didedahkan pada 2018, sebanyak 840 orang maut dalam kemalangan jalan raya akibat insiden yang berkaitan dengan jalan berlubang dari 2000 hingga 2011.
Sementara, sebanyak 285 kes kematian dicatat antara 2014 hingga 2018 juga berpunca dari jalan berlubang.
Lubang pada jalan berlaku akibat daripada ketidaksempurnaan pada permukaan jalan apabila tanah mampat di bawah turapan menjadi lemah. Ia biasanya disebabkan oleh air dalam struktur tanah di bawahnya dan lalu lintas yang melalui kawasan yang terjejas.
Ia bermula dengan rekahan kecil tetapi menjadi lebih besar dari semasa ke semasa jika ia tidak diperbaiki segera.
Pengguna jalan raya seolah meletakkan nyawa di hujung tanduk terutama ketika waktu malam dan awal pagi.
Masalah jalan berlubang ini sudah acap kali disuarakan tetapi sukar diselesaikan secara total memandangkan punca utamanya adalah kenderaan lebih muatan.
Ada juga kerosakan akibat penggunaan asphalt tidak mengikut spesifikasi seperti kurang kandungan bitumen, kawalan kualiti kurang sempurna ketika proses turapan seperti suhu rendah dan proses pemadatan tidak mengikuti spesifikasi.
Selain itu, saluran longkang tepi jalan tidak dapat menampung kapasiti air dan bertakung menyebabkan pavemen menjadi lemah, terutama ketika musim hujan.
Berhubung isu ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu perbincangan bagi penyelesaian jangka panjang sudah dibuat khususnya dengan Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan kerana melibatkan kenderaan.
Bahkan aplikasi MyJalan KKR yang dilancarkan pada 24 Ogos tahun lalu merupakan salah satu inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya melaksanakan aduan berkaitan kerosakan jalan. Aplikasi ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh kerosakan jalan.
Namun, saya percaya juga ramai yang masih tidak mengetahui tentang aplikasi ini walaupun ia sudah hampir setahun ‘menemani’ kita. Masih ramai memilih untuk butakan mata sekiranya berdepan jalan rosak atau berlubang. Natijahnya, orang lain terutama mereka yang tidak biasa dengan jalan itu menjadi mangsa kemalangan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) melaporkan sebanyak 17,157 jumlah aduan diterima sejak permulaan kempen MyJalan pada 1 Ogos sehingga 29 Julai lalu. Berdasarkan statistik itu, sebanyak 5,178 aduan atau 30.18 peratus dari jumlah keseluruhan aduan diterima membabitkan jalan di bawah seliaan agensi kementerian berkenaan.
Sebanyak 11,979 aduan atau 69.82 peratus pula adalah milik PBT, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). KKDW, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta lain-lain. Aduan-aduan diterima disalurkan kepada jabatan berkenaan untuk dilaksanakan.
Difahamkan, sepanjang tempoh itu, dari 5,178 aduan milik KKR yang diterima dengan sebanyak 4,772 atau 92.16 peratus aduan diselesaikan oleh agensi berkenaan manakala baki 406 aduan sedang dalam proses tindakan.
Difahamkan juga, sebuah jawatankuasa bertindak disertai tiga kementerian iaitu KKR, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diwujudkan bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.
Alexander juga pernah menyatakan bahawa tidak semua jalan raya di Malaysia adalah di bawah kawal selia KKR atau Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. Tanggapan bahawa jalan itu JKR, JKR itu jalan perlu diubah memandangkan setiap jalan di negara ini mempunyai pemiliknya sendiri. Satu lagi, JKR bukanlah pemilik semua jalan-jalan yang ada di Malaysia.
Tahun lalu, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan persekutuan pada tahun ini.
Malah, pada ketika itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama kerajaan dengan setakat Ogos tahun lalu, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.
PERANAN RAKYAT
Justeru, isu berkaitan jalan berlubang tidak lagi boleh dipandang sebelah mata. Kita sebagai rakyat dan pengguna jalan raya perlu memainkan peranan dengan melaporkan aduan sekiranya terdapat jalan berlubang kerana apa jua yang bermain di fikiran anda, ia masih tentang keselamatan dan nyawa seseorang.
Kita tidak lagi boleh mengharapkan PBT membuat kerja-kerja rondaan atau pemantauan secara berskala. Kitalah yang perlu menjadi PBT itu. Maka, gunakan saluran yang ada untuk membuat aduan berhubung perkara ini. Semoga langkah kecil ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan mahupun kematian akibat jalan berlubang. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










