Gagal memahami niat, tanggungjawab punca pasangan muda tidak harmoni

Gagal memahami niat, tanggungjawab punca pasangan muda tidak harmoni

LIMA tahun pertama perkahwinan merupakan tempoh kritikal bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA tahun pertama perkahwinan merupakan tempoh kritikal bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga. Kajian yang saya jalankan terhadap 669 kes pembubaran perkahwinan di Selangor sepanjang 2015 hingga 2019 menunjukkan 37 peratus (252 kes) perceraian berlaku dalam tempoh lima tahun berkenaan.

Sepanjang tempoh tersebut, 19 peratus (130 kes) daripadanya berlaku dalam tempoh 1 hingga 3 tahun perkahwinan, 11 peratus (76 kes) berlaku dalam tempoh 4 hingga 5 tahun, manakala 7 peratus (46 kes) lagi difailkan dalam tempoh setahun perkahwinan.

Penemuan ini juga mengesahkan dapatan sama yang direkodkan oleh Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) bagi perceraian yang difailkan sepanjang 2005 hingga 2014.

Sungguhpun tiada penetapan skala khusus dalam pendefinasian istilah ‘pasangan muda’, namun artikel ini merujuk pandangan Mazhab Syafie yang berpendapat golongan muda (syabab) adalah individu yang bermula dari usia baligh hingga berusia 30 tahun (sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al- Nawawi).

Tambahan pula, Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan limitasi had umur belia hanyalah sehingga usia 30 tahun apabila Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 688) diwarta dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

Justeru, memandangkan had umur minimum perkahwinan di Malaysia ialah 16 tahun, maka ‘pasangan muda’ bagi maksud artikel ini merujuk kepada pasangan yang berusia antara 16 hingga 30 tahun serta berada dalam tempoh lima tahun perkahwinan.

Menurut pakar kajian perbezaan generasi, Dr. Alexis Abramson, tahun kelahiran sangat mempengaruhi tingkah laku, persepsi, nilai dan kelakuan setiap individu. Jika Gen X (lahir di antara 1966 hingga 1980) dikenali dengan sikap lebih kental, pandai menyelesaikan masalah dan mempunyai tanggungjawab kewangan yang tinggi (kerana diapit oleh generasi Baby Boomers dan milenial), golongan milenial (1981 hingga 1996) pula dikenali sebagai generasi yang pentingkan kesegeraan, berkeyakinan tinggi, mudah sentap dan tidak mahu bersusah-susah dalam kehidupan.

Gen Z (1997 hingga 2012) pula dikenali dengan ciri lebih ‘manja’ kerana terlalu bergantung kepada gajet dan media sosial. Menariknya, kedua-dua generasi milenial dan Z juga lebih berani menzahirkan ketidakpuasan hati dan mengambil risiko jika terdapat perkara yang tidak memihak kepada kepentingan mereka.

Walaupun generasi-generasi ini sering dikategorikan dengan stereotaip berbeza, namun sedar atau tidak, kita masih hidup dalam komuniti dan tahun yang sama ketika ini. Oleh itu, setiap generasi perlulah memainkan peranan secara kolektif dan saling membantu antara satu sama lain.

Kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap generasi, jika dimanfaatkan seoptimumnya akan melahirkan masyarakat yang lebih dinamik dan berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam membangunkan institusi kekeluargaan.

Niat pendakwah, Allahyarham Syeikh Dr. Fathi Yakan ketika mengulas mengenai matlamat perkahwinan menyatakan hendaklah setiap pernikahan didasarkan kerana Allah SWT semata-mata iaitu bagi membina rumah tangga yang mengamalkan ajaran Islam, melahirkan zuriat yang baik sehingga mampu memikul amanah, di samping merealisasikan usaha bagi memastikan hidayah Allah SWT berterusan serta tersebar ke seluruh alam.

Beliau juga menasihatkan agar institusi kekeluargaan ini menjadi perisai bagi memelihara kehormatan diri, seterusnya meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Justeru, bagi memastikan matlamat ini dicapai, maka setiap individu hendaklah memilih calon isteri/suami yang berakhlak dan beragama agar dapat mengelakkan daripada terjerumus untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah-Nya.

Tanggungjawab Jayda Kaleigh Fransen yang merupakan politikus berhaluan kanan dan aktivis anti-Muslim di Britain baru-baru ini mendedahkan antara punca ketertarikan wanita Barat terhadap lelaki Muslim adalah disebabkan sifat maskulin, identiti beragama, kebertanggungjawaban mereka untuk melindungi, memelihara serta menafkahi ahli keluarga.

Sebenarnya sikap tersebut bukanlah asing kerana ia bertitik tolak daripada ajaran Islam agar para suami memperlakukan isteri dan ahli keluarga dengan baik, menafkahi, menyediakan tempat tinggal serta menjalani kehidupan berlandaskan syariat.

Peranan suami menafkahi keluarga tersebut pula bertimbal balas dengan tanggungjawab isteri untuk menghormati, memelihara maruah suami serta membantu dalam urusan berumah tangga. Sungguhpun tanggungjawab tersebut kelihatan mudah, namun ‘roh’ untuk melaksanakannya diikat dengan sifat amanah, kepercayaan serta aspek ketakwaan.

Sebagaimana Teori Hierarki Maslow, terdapat lima keperluan yang menyumbang kepada kesejahteraan psikologi manusia iaitu keperluan asas, keselamatan, kasih sayang, pengharapan dan sempurna kendiri. Ketika kelima-lima keperluan tersebut tidak dipenuhi, maka wujudlah psikologi yang tidak sejahtera iaitu rasa sedih, kecewa, tertekan, murung, kecelaruan, bimbang dan trauma sehingga terjadilah perkara yang tidak diingini dalam sesebuah perkahwinan.

TIGA ELEMEN
Kerana itu, hasil kajian Dr. Norhayati Mohd. Noor dan pasukannya terhadap 350 responden pada 2019 mendapati tiga elemen signifikan dalam pengukuhan institusi kekeluargaan adalah komunikasi, sikap bertolak ansur dan kebertanggungjawaban terhadap kesejahteraan keluarga.

Menariknya, ketiga-tiga elemen tersebut bukanlah dapat ‘dicetak’ dalam waktu yang singkat, melainkan perlu dipupuk, disubur dan dibajai oleh setiap entiti. Malah, tidak dinafikan kadangkala elemen berkenaan memerlukan tempoh masa yang lebih panjang serta peluang berulang kali sebelum mengalami perubahan positif.

Justeru, pasangan muda yang terdiri daripada golongan milenial dan Gen Z perlu memahami tempo dan menginsafi kelemahan diri. Dalam usaha mengharungi cabaran lima tahun pertama perkahwinan, amatlah penting setiap pasangan menjalin keselarian fikiran, memperkukuh kesabaran serta mengelak dari mengambil keputusan terburu-buru demi memantapkan daya tahan keluarga.

Pada saat inilah kelebihan Gen X yang rata-ratanya merupakan ibu bapa, saudara lelaki atau saudara perempuan berperanan sebagai pakar rujuk untuk membimbing, memberi panduan kepada pasangan muda berkenaan agar menjadi lebih kuat, bersedia serta mampu menangani segala rintangan mendatang.

Sungguh, perkahwinan umpama bahtera di lautan samudera. Kompasnya menjadi radar, bukan menghadap mata angin berbeza. Terkadang taufan melanda, menutup sang kejora. Namun apabila fajar menyinar, ukirlah senyuman dan berbahagialah, wahai nakhoda dan kelasi kapal.-UTUSAN

DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×