Terdapat pelbagai pendapat mengenai status pendidikan dan institusi pendidikan terkini di Malaysia. Ada rakyat yang berbangga dan bergembira dengan pendidikan negara, ada yang meluahkan rasa marah, ada yang sedih dan banyak juga yang melihat dan mengulas dengan sinis.
Walau apa pun, dunia mengakui bahawa cerita Malaysia membangunkan pendidikan adalah suatu cerita kejayaan. Badan-badan dunia merekodkan bahawa Malaysia telah mencapai enrolmen 100 peratus bagi sekolah dasarnya.
Dunia meraikan dan mengakui Malaysia telah berjaya mencapai angka itu dalam tempoh kurang daripada 50 tahun selepas menjadi abdi kepada penjajah selama hampir lima abad. Kepantasan perubahan itu lebih nyata selepas 1970 dengan instrumen Dasar Ekonomi Baru.
Mungkin generasi semasa tidak merasa apa-apa signifikannya angka 100 peratus itu. Sedangkan, sewaktu usaha itu dilancarkan, cabarannya bukan calang-calang. Ribuan sekolah kilat didirikan saat negara berada dalam keadaan miskin serba serbi: miskin wang, miskin orang pandai, miskin kesihatan dan miskin segalanya. Yang ada hanya kekuatan azam dan tekad memerintah, will to govern.
Masih segar di ingatan saya, sewaktu saya belajar di atas tanah gondol dan telanjang di bawah bangunan beratap nipah dan tanpa dinding, bergurukan guru lulusan Darjah Enam sekolah rendah. Sampai ke sekolah menengah saya diajar pula oleh guru yang baru semalam menamatkan sekolah menengah Tingkatan Lima mereka. Suasana itu mencabar semua pihak: pihak pentadbir, guru, ibu bapa dan paling penting murid-murid.
Lebih mencabar daripada itu semua adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa membasmi buta huruf adalah lebih utama dan penting daripada yang lain-lain. Ibu bapa selama ini bekerja mencari nafkah dengan dibantu anak-anak sebaik mereka berumur sekitar tujuh tahun.
Yang Melayu membantu kerja di sawah sesuai keupayaan mereka bermain dengan padi, ibu bapa Tamil mendapat bantuan anak, paling kurang mengutip getah ‘sekerap’ di ladang, ibu bapa Cina mendapat bantuan anak di kedai kecil, di bagan nelayan atau di ladang tembakau. Tiba-tiba anak-anak mereka disuruh ke sekolah, dan mereka perlu meredakan diri mereka tunduk kepada kehendak negara.
Mereka kehilangan tenaga kerja tambahan yang penting bagi membantu kerjaya mereka zaman itu. Mereka semua perlu diyakinkan bahawa kehidupan masa depan anak-anak mereka lebih penting daripada kehidupan semasa mereka. Itu semua dilalui hanya dengan keazaman.
Isu pendidikan masa kini sangat asing kepada generasi sebelum atau pada awal kemerdekaan.
Zaman berbeza dan cara pendidikan diurus dan disampaikan serta alam kelilingnya sudah jauh berbeza. Mungkin kerana itu pendukung-pendukung kerajaan bercakap mengenai reformasi pendidikan. Ada keperluan merubah wajahnya, bukan struktur tulang dan dagingnya.
Namun bagaimana wajah model reformasi itu belum jelas kelihatan imejnya. Yang ada hanya bayangan. Bayangan itu berbeza dengan zaman baru merdeka dulu yang jelas tujuannya: membasmi buta huruf dan membasmi kemiskinan. Sasaran itu dengan mudah boleh diukur. Setakat ini reform itu masih kelihatan abstrak. Generasi lama sukar memahaminya.
Begitu juga, tiba-tiba pendidikan negara berhadapan dengan isu pendidikan untuk semua. Inklusiviti, kata mereka. Sangat tiba-tiba isu itu muncul setelah negara merdeka selama 67 tahun, sudah lebih setengah abad.
Bagaimana mahu melaksanakan inklusiviti juga tidak jelas dalam keadaan negara mempunyai pelbagai jenis sekolah? Ada sekolah Kebangsaan, ada Sekolah Kebangsaan Cina, Sekolah Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama, Sekolah Tahfiz, Sekolah Antarabangsa, Sekolah Swasta pada peringkat sekolah dasar. Pada peringkat Menengah pula ada Sekolah Berasrama Penuh ‘Klasik’, ada Sekolah Menengah Sains, ada Sekolah Menengah Teknik, ada Sekolah Menengah Agama Persekutuan, ada Sekolah Menengah Agama Negeri ada MRSM dan yang swasta juga bercambah. Bagaimana model inklusiviti? Isu ini juga kekal abstrak.
Itu semua isu pada peringkat dasar pemerintah. Pada peringkat sumberdaya pula riuh soal guru tidak tahan tekanan lalu mahu bersara awal. Akibatnya timbul isu ribuan kekosongan jawatan guru dan isu guru tidak cukup. Isu tekanan bukan hanya mengenai bebanan kerja tetapi terkait juga dengan guru-guru lama yang ‘buta digital’ dan terasa ketinggalan lalu mencari-cari pelbagai scapegoat yang kelihatan mulia.
Banyak lagi isu semasa yang boleh disenaraikan. Misalnya, kedudukan ranking pendidikan Malaysia pada peringkat dunia suatu isu lain yang juga mendapat perhatian. Namun rumusan yang ingin saya buat adalah tentang adanya perbezaan pendekatan dan keperluan pendidikan masa silam dengan kedudukan semasa.
Pada masa lalu pendidikan negara yang disediakan dalam serba serbi kekurangan tidak menjanjikan jargon-jargon kualiti. Namun matlamatnya jelas tertulis: membasmi buta huruf dan membasmi kemiskinan. Semua pihak tahu dan dapat mengukurnya.
Berbanding keadaan semasa, mungkin oleh kerana terlalu banyak orang pandai di dalam dan di luar sektor pendidikan kesatuan fikrah susah dicapai. Ahli falsafah tampil dengan idea-idea abstrak yang tidak boleh diukur dan orang di luar sektor pula menuntut bukti-bukti materialistik. Mereka pandai pada kotak masing-masing yang tidak syumul.
Apa pun, jawapan kepada kedua-dua zaman sama sahaja, iaitu keberhasilan atau outcome. Keberhasilan masa lalu sudah nyata di depan mata dan keberhasilan semasa sangat ditunggu.
Tan Sri Prof. Dr. Noordin Kardi ialah bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan USAS yang kini bekerja sebagai Ketua Eksekutif Jakarta Business School, Jakarta.










