Cara mudah tonjol patriotisme

Cara mudah tonjol patriotisme

CARA paling mudah dan murah menzahirkan semangat jiwa merdeka adalah dengan membeli dan memasang bendera di premis masing-masing. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Julai lalu menandakan bermulanya secara rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

Ironinya, ungkapan keramat yang sering kita dengar terutamanya di musim sambutan Hari Kebangsaan ialah, jangan tanya apa sumbangan negara kepada anda, tetapi tanyalah apa sumbangan anda kepada negara. Jujurnya sejauh mana kita menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara tercinta ini.

Dalam konteks ini, saya tertarik dengan seruan Perdana Menteri yang mahukan semua pihak termasuk sektor awam dan swasta, komuniti madani, rakyat, setiap kedai, warung, kaya miskin, kota mahupun desa mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda taat setia, pengorbanan dan mendukung semangat kemerdekaan yang diperoleh tanah air sejak 67 tahun lalu.

Hakikatnya masih ramai yang tidak ambil peduli atau memandang enteng keperluan untuk mengibarkan Jalur Gemilang kononnya dengan pelbagai alasan remeh seperti memasang bendera bukan satu-satunya cara menzahirkan semangat kemerdekaan.

Walaupun benar kenyataan tersebut tetapi soalan kita kepada individu seperti ini ialah apa lagi sumbangan kalian kepada negara? Bagaimana kalian menzahirkan semangat jiwa merdeka itu selama ini? Apa lagi cara yang paling mudah dan murah untuk menyemarakkan semangat patriotisme? Ternyata individu seperti ini lebih kepada memberikan alasan dan boleh digambarkan tidak ada rasa sayang dan cintakan negara.

Jadi besarlah harapan kita agar sahutlah seruan Anwar untuk mengibarkan bendera keramat ini di seluruh pelusuk negara sebagai tanda cinta dan sayangkan ibu pertiwi sekali gus menyemarakkan semangat jiwa merdeka dalam diri sendiri, ahli keluarga serta anggota masyarakat di sekeliling.

Harus diingat bendera adalah antara simbol dan lambang kedaulatan utama sesebuah negara yang diiktiraf sebagai telah mencapai status bebas dan merdeka daripada penjajahan. Jangan sesekali kita lupa betapa peritnya perjuangan generasi terdahulu yang sanggup mengorbankan apa saja demi menuntut kemerdekaan. Setiap warganegara Malaysia perlu sentiasa sedar dan insaf bahawa bukan mudah untuk mendapat peluang mengibarkan bendera sendiri di bumi bertuah ini setelah lebih 400 tahun dijajah kuasa asing.

Mana mungkin kita boleh lupa detik bersejarah tepat pukul 12 tengah malam, 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor apabila Bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan negara tercinta.

Jadi jangan sebegitu mudah kita alpa dan leka kerana merdeka sekali tidak bererti kita akan terus kekal bebas selamanya andai masing-masing tidak memainkan peranan untuk terus mempertahankannya melalui semangat jiwa merdeka yang kental. Maka inilah masa terbaik untuk kita dengan cara yang paling mudah dan murah menzahirkan semangat jiwa merdeka yakni cuma perlu beli bendera dan pasang di premis masing-masing.

PROTOKOL
Apapun dalam kita bersemangat untuk mengibarkan bendera perlu juga diberi penekanan terhadap protokol dan adab pemasangan Jalur Gemilang sebagai tanda penghormatan kepada simbol kedaulatan negara.

Misalnya jangan biarkan bendera yang uzur seperti koyak dan pudar warna terus tergantung. Hal ini perlu diberi perhatian serius kerana hasil pemerhatian saya mendapati situasi ini masih terus berlaku di banyak premis.

Jalur Gemilang yang mungkin dipasang beberapa tahun lalu terus dibiarkan begitu sahaja walaupun sudah jelas kelihatan semakin pudar warna dan koyak. Harus diingat bendera yang dipasang di luar premis terdedah kepada cuaca hujan dan panas sekali gus mudah merosakkannya. Maka, seeloknya pemilik premis sentiasa peka dan sensitif yakni sering memantau keadaan Jalur Gemilang yang dipasang agar boleh menggantikannya segera jika rosak.

Satu lagi situasi yang sering kelihatan ialah ada juga yang memasang secara separuh tiang tanpa menyedari perbuatan itu salah dan memberi konotasi yang tidak elok kerana lazimnya ia hanya berlaku bagi menghormati pemergian pembesar negara atau sebagai tanda berkabung atas peristiwa-peristiwa tertentu yang diputuskan oleh pihak kerajaan.

Ketertiban ketika menaikkan atau menurunkan bendera juga perlu dijaga, misalnya bendera jangan diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya dan tidak boleh dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselimpangkan ke bahu apabila sampai ke bawah.

Selain itu pastikan bendera tidak dipasang secara terbalik kerana ia umpama mempersenda dan tidak menghormati lambang kedaulatan negara. Perkara ini sering berlaku apabila pemilik premis meminta pekerja dari kalangan warga asing memasang bendera sedangkan mereka tidak mengetahui kedudukan sebenar dan protokol pemasangan Jalur Gemilang.

Satu lagi trend yang kita bimbang dalam musim sambutan Bulan Kebangsaan ialah budaya terlebih kreatif anggota masyarakat yang salah guna bendera untuk tujuan yang tidak sewajarnya seperti dijadikan pakaian, kain tudung serta sampin. Walaupun niat kita mungkin baik yakni ingin menzahirkan semangat patriotisme secara lebih kreatif tetapi jangan lupa tindakan seperti itu kurang sesuai dan boleh dilabel tidak menghormati serta merendahkan martabat Jalur Gemilang.

Selain itu anggota masyarakat juga perlu tahu cara untuk melupuskan bendera yang koyak dan pudar warna. Sebagai lambang kedaulatan negara bendera perlu dijaga, diurus dan diletakkan di kedudukan yang sewajarnya termasuklah melalui kaedah pelupusan yang berhemah. Secara prinsipnya, kaedah pelupusan yang terbaik ialah dimusnahkan dengan cara yang sopan seperti dibakar secara tertutup dan bukannya dibuang begitu sahaja dalam tong sampah.

Setiap rakyat Malaysia berhak mengibarkan Jalur Gemilang dan wajar melakukannya sebagai tanda menzahirkan semangat jiwa merdeka. Namun dalam keterujaan tersebut jangan sesekali melakukan sebarang tindakan yang boleh dilabel sebagai menghina, mempersenda atau tidak menghormati lambang kedaulatan negara.

Ayuh, marilah kita kibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti kita memiliki jiwa merdeka yang sejati.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×