DARI sudut perhitungan perjuangan, UMNO sudah mengumpul begitu banyak trofi kejayaan.
Memerdekakan Tanah Melayu, mewujudkan Persekutuan Malaysia, mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan menjamin kedaulatan Raja-Raja Melayu. Juga, menjulangkan hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta hak sahih kaum-kaum lain.
UMNO melahirkan Perlembagaan Persekutuan dan sekian banyak hak serta kuasa pemerintahan yang dikecapi pada hari ini. UMNO mencipta Dasar Ekonomi Baru (DEB) ke tahap yang ada hari ini sekalipun tahap capaian ekonomi Bumiputera masih tanda tanya – di atas atau di bawah 30% berbanding kumpulan aset ekonomi kaum-kaum.
UMNO memberi hak ilmu pelajaran kepada berjuta orang. Inilah yang mencerminkan keupayaan politik bangsa Melayu yang kini boleh dianggap luar biasa.
Keenam-enam orang presiden UMNO semenjak merdeka semuanya menjadi Perdana Menteri, sambil jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar dipegang oleh orang Melayu.
Ringkasnya, tampuk pemerintahan dengan Yang di-Pertuan Agong di pucuknya itu tampak jelas dan nyata sebagai perlambangan kuasa bangsa yang setiap Melayu harus berasa bangga.
Cuma persoalannya, adakah setiap orang Melayu merasakan sentimen kekitaan ini setelah 67 tahun merdeka dan 78 tahun umur UMNO?
KUASA DI TANGAN
Melihatkan kepada persekitaran amalan siasah tanah air pada masa ini, ramai orang Melayu tidak begitu terasa betapa pentingnya kuasa itu berada di tangan bangsa sendiri. Ada dalam kalangan mereka berkata mereka bukan menentang UMNO. Mereka hanya menentang pimpinan atasan tertentu. Orang UMNO yang berfikir harus tampil persoalkan adakah lantaran marahkan nyamuk maka kelambu dibakar?
Mujurlah UMNO masih mempunyai keupayaan bela diri dalaman yang setimpal dan berupaya menangkis rejaman musuhnya. Dalam kesukaran inilah UMNO jika mahu terus hidup atau tidak mati mesti bangkit dari sindrom longlai.
Yang sedihnya dikejar oleh parti-parti Melayu hari ini hanyalah kuasa, selepas digapai tentunya wang ringgit. Mereka tidak peduli lagi sejarah bangsa untuk panduan perjuangan. Ramai gagal mengenal kelemahan politik dan ekonomi serta mengatasi muhasabah diri.
Benar! Ada 18 parti yang berpayung di bawah kerajaan perpaduan, tetapi yang benar-benar berpengaruh itu berapa? Berapa jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) parti-parti berkenaan?
Perhatikan jumlah kerusi pilihan raya dimiliki setiap parti dalam kerajaan perpaduan.
Yang paling konsisten adalah DAP dengan 40 kerusi parlimen terbesar dan 90 kerusi DUN; PKR tangga kedua (31 dan 53) manakala ketiga, UMNO (26 dan 127). Lain-lain parti adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi parlimen dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi. Parti-parti lain, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang membentuk kerajaan cuma pemilikannya satu, dua kerusi.
MANA PARTI TERAS?
Di atas kertas, kelihatan belum kukuh kerajaan sedia ada. Namun parti mana yang menjadi terasnya?
Jadi, UMNO dalam mengharungi kemelut dan cabaran politik di hari-hari mendatang ini tidak ada pilihan. Fasal 3 Perlembagaan UMNO itu sudah betul. Bukan setakat UMNO sahaja perlu berusaha menghayati dan realisasikannya, tetapi juga kepada semua parti Melayu lain yang patut berbuat demikian. Fasal 3 itu di dalamnya sedia terkandung agenda Melayu yang sebenar.
Berikut Fasal 3 Perlembagaan UMNO:
3.1: Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
3.2: Mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.
3.3: Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.
3.4: Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
3.5: Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu.
3.6: Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Jika hendak perhitungkan soal peremajaan UMNO, ia telah berlaku tempoh hari melalui pembersihan orang lama dan yang menjadi gunting dalam lipatan. Juga menerusi siri Pilihan Raya Negeri yang lepas.
Sekarang pun lebih kurang satu pertiga daripada ketua-ketua bahagian UMNO terdiri muka baharu, orang muda. Maknanya proses pertukaran pemimpin telah berlaku. Cuma peranan perlu dipikul oleh parti adalah kilas imej negatif korup yang telah ditanam oleh musuh-musuh politiknya selama 10 tahun ini.
UMNO belum mati. Yang akan menguatkan kembali UMNO hari ini ialah khidmat, musyawarah dan kesungguhan mematuhi semangat Fasal 3 perlembagaannya.
Keenam-enam tiang seri perjuangan dalam fasal itu harus dipampangkan, diajarkan dan diamalkan. Jangan hanya faham Fasal 3 begitu-begitu sahaja – supaya bila berkuasa tidak lupa diri, lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan.
Pihak di luar sana akan berusaha menumbangkan aur dari tebing perjuangan UMNO. Walaupun tampak sukar mengambil alih kerajaan tetapi tindak tanduk mereka seperti peribahasa lama “kalau tak pecah, sumbing”.
Parti-parti Melayu tidak harus sumbing dan berpecah lagi. Tidak baik untuk Melayu dan tidak baik untuk negara.










