Yakin belia bolehmembina negara bangsa

Yakin belia boleh membina negara bangsa

BELIA sebagai entiti masyarakat yang mendukung aspirasi negara, harus dijadikan inspirasi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELIA tiang negara merupakan ungkapan keramat yang sering berlegar di ruang minda kita. Belia menjadi tulang belakang negara dalam mentransformasikan agenda negara. Mereka merupakan pemaju dan peneraju produktiviti negara.

Pelibatan golongan ini secara langsung dan tidak langsung menjadi batu asas pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik negara. Tetapi adakah belia kini setanding dengan arus pembangunan negara atau sekadar mengisi angka-angka dalam statistik penduduk negara?

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga Disember 2022, belia di negara ini mewakili 27.8 peratus (9.1 juta) daripada jumlah penduduk negara. Angka ini jelas menunjukkan betapa peri pentingnya tanggungjawab dan peranan mereka dalam proses pembangunan negara.

Tanpa mereka bagaikan kapal tanpa nahkoda. Kita tidak mahu membelakangkan golongan ini dalam masa kita membina negara bangsa ini.

Kita tidak boleh terlepas pandang atau lepas tangan terhadap golongan belia. Setiap pemimpin dari bawahan sehinggalah pucuk pimpinan negara memainkan peranan dalam mencorak dan membentuk acuan belia negara.

Hari Belia Negara disambut dan diraikan pada 15 Mei setiap tahun, sejak tahun 1964. Hari belia yang pertama dilancarkan Perdana Menteri pertama yang juga Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kesinambungan dan keprihatinan pemimpin negara sejak pelancaran sambutan itu terhadap golongan belia memberi impak positif kepada kesejahteraan selain mendukung negara di persada antarabangsa.

Sambutan Hari Belia Negara dengan tema Yakin Boleh, diadakan di Melaka harus dijadikan pemula titik tolak dalam menggerakkan pelbagai program berlapiskan belia.

Program-program yang berbentuk kerjaya, kemahiran yang menjurus ke arah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta program persediaan tenaga mahir. Peluang melanjutkan pelajaran dalam kesemua bidang STEM harus dibuka kepada semua belia negara.

Program ini tidak seharusnya berfokuskan kepada golongan yang ditakrifkan sebagai left out in education (ketinggalan dalam pendidikan), malahan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

TENAGA MAHIR
Saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi jaminan akan tiada permohonan dalam pengambilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditolak merupakan suatu langkah ekonomi jangka panjang. Langkah ini merupakan suatu transformasi pendidikan yang mampu menjana tenaga mahir dan separa mahir dalam kalangan belia di negara kita.

Pengenalan dan penawaran kursus-kursus yang berperingkat tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik, kenderaan elektrik (EV) dan kursus-kursus yang relevan dengan permintaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) di institusi teknikal dan seangkatannya mampu merancakkan lagi sektor-sektor ekonomi negara. Jika ini dapat realisasikan, maka jelas dalam sedekad akan datang kita dapat meranapkan statistik miskin tegar ke angka sifar dan mengurangkan kebergantungan kita terhadap buruh asing.

LUMBA-LUMBA
Kita sering merungut berkaitan masalah belia negara yang terlibat dengan aktiviti lumba haram. Angka kematian belia akibat lumba haram amat mendukacitakan dan memeritkan. Setiap hari statistik ini merangkak ke hadapan.

Daripada menuding jari kepada mereka, baik kita merangka strategi dalam melibatkan belia ini dalam industri permotoran. Jika mereka pakar dalam merekabentuk motorsikal yang mampu memenangi perlumbaan walaupun dikategorikan ‘haram’, maka sudah tentu kita boleh garap dan merobek ilmu mereka dalam mencipta motor berjenama Malaysia.

Panaroma ini sudah tentu akan dapat menarik lebih ramai belia yang dikatakan ‘gila lumba’ untuk berlumba mencipta secara kreatif dan kritis dalam langkah mengkomersialkan sektor pemotoran negara.

BELIA BERTANI
Pelibatan belia dalam sektor pertanian amat mendukacitakan. Keterjaminan makanan menjadi agenda utama negara. Kita memiliki sumber asli yang sesuai dan optimum. Namun kita kurang berjaya dalam merobek dan memanfaatkan peluang ini. Kini tiba detiknya untuk kita menarik lebih ramai belia merasai kenikmatan industri pertanian terutamanya dengan perkembangan alam AI.

Penggunaan kawalan jauh dalam teknik menganalisis tanah, pembenihan, pembajaan, penyiraman, penuaian dan pelbagai kaedah pertanian moden, mampu menghasilkan hasil tanaman yang berkualiti dan bertaraf eksport. Ini secara tidak langsung dapat memberi nafas baharu kepada pelbagai sektor hiliran negara dan menarik belia untuk bertani.

MERDEKA OH MERDEKA
Semangat patriotisme belia kita juga tidak kurang hebatnya. Setiap kali terasa bahang bulan kemerdekaan, belia memainkan peranan dalam meniupkan nafas-nafas kemerdekaan. Jiwa merdeka jelas terpahat di relung hati belia kita.

Kibaran bendera sehingga tangki air bertingkat, melayangkan jalur gemilang seluruh mukim, pekan dan bandar. Tidak kira di mana sambutan ambang kemerdekaan dan kemuncak disemadikan, di situ mereka akan berpusu, menjadi sebahagian daripada proses kemerdekaan.

Sistem pendidikan Malaysia sebenarnya berjaya membentuk jati diri belia negara kita, terima kasih kepada para pendidik yang menjentik erti sebuah kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Kini tiba masanya kita terus jalarkan pautan erat jari jemari anak-anak belia kita ke arah penyempurnaan dan mendekati mereka dari sudut insaniah.

Para pemimpin agama dari semua kaum memikul tanggungjawab dalam membentuk belia yang karamah insaniah. Mana yang terpesong kita silakan ke pangkal jalan tanpa meranapkan hati naluri belia, mana yang cemerlang kita terus jadikan taulan.

Belia sebagai entiti masyarakat yang mendukung aspirasi negara, harus dijadikan inspirasi. Taburkan budaya Yakin Boleh pada belia negara. Kecemerlangan belia pasti akan terus terukir di bumi berdaulat, Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Bahasa Inggeris, Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN