LARANGAN untuk sekolah kerajaan menerima sumbangan dana hasil daripada kegiatan yang melibatkan rokok, arak, perjudian dan lain-lain yang memudaratkan, bukan sahaja amat tepat.
Juga ia wajib disokong kuat oleh semua pihak. Ini kerana ia yang berupa kegiatan orang dewasa sebagai tabiat tidak baik, tidak sesekali sesuai dengan persekitaran sekolah yang rata-ratanya merupakan tempat pemupukan gaya hidup sihat di samping moraliti baik.
Sehubungan ini, institusi sekolah selain untuk mendidik, adalah juga tempat menyalur nilai murni dalam kalangan murid dan pelajar agar dapat terus dikekalkan sepanjang hidup mereka. Semua ini sudah tentu untuk membentuk siasah generasi muda yang sekali gus akan membantu masyarakat dan negara agar berjaya berfungsi dengan baik lagi lancar, khususnya dari segi kesusilaan.
Selain moraliti umum itu, arak adalah haram dalam ajaran agama Islam yang merupakan agama persekutuan. Dalam konteks kenegaraan ini, moraliti awam di Malaysia dikawal oleh Islam. Dengan ini, tingkah laku kita semua, lebih-lebih lagi yang di khalayak memang tertakluk kepada pematuhan terhadap ajaran Islam. Oleh itu, apa-apa yang ada kaitan dengan arak wajib dihindari dalam sebarang bentuk, termasuklah pertunjukan amal oleh sekolah.
Justeru, tidak boleh langsung ada apa-apa alasan lagi seperti sumbangan dana sebegini kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang sudah lama berlaku semenjak puluhan tahun dahulu, SJKC sangat memerlukan dana kerana tidak mendapat peruntukan yang mencukupi serta syarikat arak berkenaan telah lama beroperasi di negara ini dan secara sah lagi.
Seruan agar kerajaan harus berfikiran terbuka dan jangan terikut-ikut dengan bantahan kelompok tertentu adalah amat jahil sifatnya. Ini kerana, setelah kita semua hidup bersama-sama semenjak sekian lama tertubuhnya negara ini, etnik Cina didapati masih belum memahami budaya etnik Melayu, khususnya tentang aspirasi agama Islam yang dianuti mereka.
Selain tiada kompromi langsung dalam hal ini dalam konteks Islam sebagai agama terutama di negara ini, etnik Cina hendaklah segera berhenti daripada terus memberi dalil, malah dalih, termasuklah sumbangan begitu adalah tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan dan tiada kesalahan pun dari segi perundangan untuk meminum arak bagi etnik bukan Melayu-Islam.
Sesungguhnya, kesemua ini bukan sahaja ibarat perbuatan menegak benang basah, jauh lebih penting lagi ialah, ia sangat bersangkutan dengan tindakan asas untuk mengikuti resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Dalam hal ini, nampaknya etnik Cina mahu menghalalkan cara untuk matlamat memperoleh dana sebegitu, walaupun ia jelas haram dari segi ajaran agama Islam dalam konteks kesusilaan nasional yang dikawal agama persekutuan itu.
Bagi sesetengah etnik Cina, ia yang tidak pun haram kepada mereka tidak patut menjadi sebarang masalah kerana SJKC adalah institusi pendidikan Cina.
Penghujahan sebegini bukan sahaja amat salah. Ia juga tidak sesekali menghormati keberadaan pendidik dan murid Melayu-Islam di SJKC selain SJKC itu adalah institusi pendidikan kerajaan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Dengan ini, SJKC tertakluk kepada urus tadbir negara yang memang berlandaskan pemerintahan Melayu-Islam. Oleh itu, SJKC wajib akur kepada larangan menerima apa-apa jua sumbangan daripada entiti yang kegiatannya bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sehubungan ini, penglibatan pendidik dan murid Melayu-Islam dalam sebarang kegiatan begitu harus dipastikan tidak sesekali berlaku melalui apa-apa jua bentuk penganjuran.
Lebih teruk lagi, dalam polemik yang wujud ialah peringatan daripada kepimpinan Cina tertentu bahawa isu derma kepada SJKC oleh syarikat arak tiada kaitan dengan etnik Melayu-Islam. Ini kerana ia hanya melihatkan etnik Cina untuk mengumpul dana bagi pendidikan aliran Cina yang tidak boleh diganggu gugat.
Bukan sahaja ia angkuh sekali, juga ia memperlihat betapa jahilnya kepemimpinan itu, apatah lagi yang dipimpin mereka dalam mengetahui budaya etnik lain, lebih-lebih lagi yang majoriti dan dominan di negara ini seperti Melayu-Islam.
Sebenarnya, soal agama Islam sepatutnya tidak timbul lagi dari apa-apa jua segi.
Ini kerana, ia sebahagian Perjanjian Etnik 1955 yang dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial itu. Sehubungan ini, dengan pemberian kerakyatan oleh etnik Melayu, etnik Cina ikut bersetuju untuk menerima Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kekuasaan Raja Melayu.
Dengan adanya bantahan keras lagi agresif tentang larangan terbabit, ia boleh ditafsirkan bahawa etnik Cina tidak mahu melangsaikan bahagian mereka untuk ikut menjayakan syiar Islam dalam menerima syarat itu seadanya dengan ikhlas.
Antaranya dengan cara akur kepada larangan tersebut. Ini penting kerana mereka menetap di negara Melayu-Islam yang memerlukan setiap seorang itu ikut akur kepada kehendak pada ajaran agama Islam sebagai agama negara ini, pada moraliti awam mereka.
Apabila adanya warganegara yang tidak memahami warisan budaya etnik lain yang merupakan penduduk asal, majoriti lagi dominan lagi, sebenarnya ada banyak yang tidak kena dengan proses pembentukan negara bangsa kita. Oleh itu, kita sangat-sangat memerlukan proses pembentukan semula untuk memperbetul apa-apa yang tidak betul selama ini.
Antara yang penting ialah etnik bukan Melayu harus lebih berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu. Ini sangat penting agar mereka dapat berfungsi dengan lebih baik di bumi Melayu-Islam, tanpa banyak kerenah yang bukan-bukan. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










