UiTM junjung mandat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

UiTM junjung mandat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

ISU kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan institusi berkenaan sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di atas ketegasan mengekalkan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pengajian tinggi khusus untuk orang Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Ketegasan ini diutarakan sebagai jawapan kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang untuk membenarkan bukan bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976 atau sebaliknya.

UiTM merupakan sebuah universiti keramat yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976 (Akta 173]). Huraian Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini merangkumi kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat penetapan kuota bagi kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, yang merupakan asas kepada agenda bumiputera bagi pengambilan pelajar UiTM.

Menteri juga menegaskan pengekalan ini juga diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang antara kaum terutama dalam aspek sosioekonomi di samping kadar miskin mutlak dalam kalangan bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

Kewujudan UiTM itu sendiri sebenarnya menjunjung mandat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Seluruh rakyat Malaysia perlu hadam dengan sifat ketertinggian atau sifat keluhuran Perlembagaan yang menjadi rujukan utama perundangan. Ia bukan sahaja asas kepada perundangan, tetapi juga menjadi asas kepada pembinaan negara, hala tuju dan ideologi negara.

Maka kewujudan UiTM berasaskan Perkara 153 merupakan mandat, hala tuju dan ideologi negara yang perlu dijunjung oleh semua pihak, selaras dengan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Sekiranya diteliti, Perkara 153 meletakkan kewajipan ke atas Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain sebagai warga negara Malaysia. Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri dikhususkan untuk UiTM, manakala kaum lain dijamin dengan belasan lagi universiti awam dengan pilihan bidang pengajian yang pelbagai.

Kepentingan Perkara 153 perlu dinilai dari perspektif sejarah kerana raja-raja Melayu dalam Perjanjian Negeri 1948 memberi komitmen kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, kemajuan ekonomi, kebajikan sosial dan penyertaan dalam perkhidmatan kerajaan. Ketika Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 digubal bagi maksud pembentukan sebuah persekutuan, perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai bangsa asal telah diberi perhatian yang mendalam.

Perlu diingat, melalui kuat kuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tersebut, raja-raja Melayu juga memperkenankan bangsa dan kaum asing diterima masuk sebagai warganegara. Jelas di sini, kedudukan istimewa orang Melayu diletak di bawah tanggungjawab khas Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan, yang juga berfungsi untuk memelihara kepentingan sah kaum lain.

Dengan ini terbukti bahawa Perkara 153 ialah rentetan daripada komitmen raja-raja Melayu di bawah Perjanjian Negeri 1948 sebelum bangsa dan kaum asing diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Kewajaran peruntukan keistimewaan ini wajib dinilai dan difahami dari sudut sejarah Tanah Melayu, Sabah dan juga Sarawak.

Seperti yang dijelaskan oleh Zambry, hakikat hari ini menunjukkan ekonomi dan kekayaan Malaysia masih dikuasai kaum bukan Melayu dan bukan anak-anak negeri. Realiti pahit ini adalah bukti kukuh bahawa Perkara 153 bukanlah satu dasar yang menghalang kaum bukan Melayu dan anak negeri untuk meraih kekayaan, jauh sekali bersifat diskriminasi yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

Paling penting, fokus perlu diberikan kepada kaedah pelaksanaan Perkara 153 yang perlu sentiasa diperhati dan dinilai supaya hak keistimewaan ini ditunaikan sepenuhnya mengikut peruntukan Perlembagaan yang ditetapkan. Manakala kaum lain tidak dinafikan perlindungan pada sisi undang-undang dan hak terhadap keperluan asasi.

Perlu juga ditegaskan bahawa Perkara 153 merupakan satu prinsip Perlembagaan yang membenarkan pelaksanaan dasar keseimbangan dan keadilan antara kaum diwujudkan. Keadilan yang dimaksudkan ialah menunaikan hak keistimewaan yang telah diperuntukkan dengan sewajarnya dan pada masa yang sama menjamin hak kaum lain seadanya.

Malah peruntukan itu perlu dikekalkan untuk memastikan pada masa hadapan, kaum majoriti tidak berasa hak mereka dinafikan kerana kewujudannya terbukti tidak menafikan peluang mana-mana kaum untuk menikmati kemakmuran negara ini.

POLEMIK
Isu kemasukan ke UiTM sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

Cadangan ‘dangkal’ seperti ini perlu dinoktahkan segera demi menjunjung ketertinggian Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak perlu memahami, menghormati serta menjunjung peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan teras kepada keharmonian negara. Mana-mana pihak yang cuba membangkitkan polemik ini perlu diambil tindakan tegas agar menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN