Tingkat kebolehpasaran graduan masa depan

Tingkat kebolehpasaran graduan masa depan

WALAUPUN kadar kebolehpasaran graduan universiti awam meningkat 93 peratus pada 2023, namun ketidakpadanan pekerjaan dengan kelulusan akademik perlu diberi perhatian sewajarnya. – GAMBAR UTeM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia masih kekal konsisten dalam landasan bagi mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju. Seiring itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam salah satu ucapannya mengatakan, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dipertingkatkan lagi, bagi menampung kekurangan 30,000 jurutera di negara ini.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam amanat sulungnya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menggariskan lima dimensi atau fokus utama dan 20 landasan hala tuju bagi menyediakan bakat terbaik negara dengan menumpukan kepada aspek nilai serta kemenjadian graduan masa depan.

Buktinya, baru-baru ini, telah termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menyelaras bersama tiga syarikat teknologi terkemuka dunia, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd, Stellantis Gurun (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Inari Technology Sdn. Bhd., bagi meletakkan Malaysia tersenarai dalam 30 ekonomi terbesar di dunia berkaitan pembangunan graduan berkemahiran tinggi.
KPT menjadikan Jun sebagai Bulan Kebolehpasaran Graduan Dan Kerjaya Universiti Awam setiap tahun, yang julung kali diadakan pada 24 Jun 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Lebih 20 karnival kerjaya dianjurkan di seluruh Malaysia, yang menarik pengunjung dan pencari pekerjaan seramai 60,000 orang hadir ke karnival kerjaya, yang menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan. Ini tidak termasuk karnival kerjaya yang diadakan sepanjang tahun oleh universiti-universiti awam.

Demi merancakkan lagi prakarsa ini, lima strategi utama boleh diberikan penekanan dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Pertama, kolaborasi strategik Quintuple antara KPT, Kementerian Pendidikan, komuniti, pelajar dan kementerian lain dalam usaha menggembleng dan memupuk minat para pelajar dan masyarakat khususnya dalam bidang STEM.

Ini bagi mengelakkan kekurangan minat dalam STEM yang mungkin boleh menyumbang kepada kekurangan pelajar dalam program yang mempunyai permintaan tinggi daripada pihak industri khususnya di bidang kejuruteraan dan teknologi di peringkat pengajian tinggi.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), trend penurunan minat masyarakat negara ini terhadap aliran STEM dalam golongan muda kian membimbangkan. Antara punca kurangnya minat kerana STEM sukar dikuasai dan proses pembelajarannya memerlukan ketekunan yang mendalam.

Sedangkan negara ini memerlukan lebih ramai jurutera bagi menampung keperluan industri dalam persiapan menuju negara maju. Melalui kerjasama strategik Quintuple ini, ia dijangka memberi impak signifikan kepada peningkatan minat di bidang STEM sekaligus dapat menyumbang kepada keperluan industri dan daya saing negara agar setanding dengan negara-negara maju lain seperti Jepun dan Jerman.

Kedua, merancakkan inisiatif untuk mengurangkan ketidakpadanan pekerjaan dengan kelulusan akademik. KPT proaktif menggariskan empat strategi utama iaitu, semakan berterusan kandungan dan kualiti pengajian, mempergiat kerjasama erat dengan industri, kerjasama rentas kementerian dan agensi, memantapkan platform yang berupaya memadankan industri dengan graduan.

Walaupun kadar kebolehpasaran graduan universiti awam meningkat daripada 92.8 peratus pada 2022 kepada 93 peratus pada 2023, namun ketidakpadanan pekerjaan dengan kelulusan akademik perlu diberi perhatian sewajarnya. Inisiatif berimpak seperti upskilling, reskilling dan multiskilling, termasuk program-program latihan dan pensijilan profesional, memberi pendedahan latihan industri secukupnya melalui kaedah pembelajaran berasaskan pekerjaan seperti program pengajian mod 2u2i, program teaching factory, yang dapat meningkatkan ketersediaan serta nilai graduan di industri, perlu diperbanyak dan diperhebatkan lagi bagi menjadikan graduan lebih berkemahiran serta berproduktiviti tinggi.

Ketiga, melahirkan lebih ramai graduan berkualiti dan kompeten yang mampu memperoleh gaji premium dan progresif yang lumayan pada kadar lebih RM4,000 sebulan. Salah satu bidang utama yang menjanjikan gaji premium lumayan adalah melalui bidang TVET. Universiti-universiti yang berasaskan TVET seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang menawarkan bidang TVET perlu diperkasakan lagi peranannya dalam melahirkan lebih ramai lagi graduan TVET yang menjadi rebutan industri masa kini.

Di pihak kerajaan pula, telah menunjukkan komitmen tinggi melalui peruntukan keseluruhan Belanjawan 2024 untuk TVET berjumlah RM6.8 bilion. Fokus juga turut diperluaskan lagi dalam bidang kemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI).

Menurut Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, AI dijangka memberi ‘tsunami’ kepada pasaran buruh, yang berkemungkinan impaknya kepada 60 peratus pekerjaan dalam ekonomi maju dan 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Keempat, memperhebatkan program-program berimpak tinggi yang boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan seperti persidangan antarabangsa dan kebangsaan, kebolehpasaran graduan, karnival kerjaya, forum-forum yang membincangkan isu pasaran kerja graduan masa depan, dialog dan kolaborasi strategik antara universiti dengan industri. Inisiatif lain adalah melalui usaha pihak KPT dalam mewujudkan platform digital iaitu, Graduate Employability Management (GEM), bagi memudahkan graduan memohon latihan amali dan pekerjaan serta membantu pihak industri mengenalpasti graduan yang bersesuaian hendaklah digunakan secara optimum.

Kelima, meluaskan kerjasama strategik antara industri dengan universiti dalam program akademik di universiti. Contohnya, melalui lantikan panel industri bagi projek rekabentuk bersepadu dan projek tahun akhir pelajar, yang tajuk atau projeknya dicadangkan oleh pihak industri untuk diteroka penyelesaiannya. Kelebihannya, pelajar berkemungkinan besar berpeluang untuk ditawarkan pekerjaan di industri berkenaan. Tempoh latihan industri perlu dipanjangkan terutamanya kepada program yang masanya singkat di industri bagi memberi pendedahan dan pengalaman pekerjaan yang secukupnya kepada para pelajar. Sebagai contoh, di Jerman, projek tahun akhirnya dijalankan oleh pelajar di industri yang akhirnya projek berkenaan dapat menyelesaikan permasalahan industri berkenaan.

Tuntasnya, kita menyambut baik usaha terpuji pihak KPT dalam melipatgandakan usaha dan libat urus dengan industri bagi memastikan graduan sentiasa kompeten dan mudah diterima bekerja. Mustahaknya, bagai dikata oleh pujangga Inggeris, if opportunity doesn’t knock, build a door. Hendak seribu daya, mahu seribu cara! – UTUSAN

PROFESOR Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi Majlis Kebolehpasaran Graduan Dan Kerjaya Universiti Awam (MyGRAD).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN