Semak dulu, baru derma

Semak dulu, baru derma

RAMAI pihak mengambil kesempatan terhadap sifat dermawan dan pemurah orang Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah. Jika ada yang memerlukan bantuan, ramai yang menghulurkan sumbangan baik dalam bentuk wang ringgit mahu pun masa dan tenaga. Cuma yang dikesalkan, ada pihak yang mengambil kesempatan atas sifat dermawan dan pemurah orang Malaysia.

Atas sebab itu, kita menyokong cadangan kerajaan untuk meneliti bagi menetapkan garis panduan bagi pihak yang ingin membuat kutipan derma pada 16 Julai lalu. Ia ekoran isu penyelewengan derma awan melibatkan pempengaruh baru-baru ini.

Dalam kes terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Suspek disyaki menyeleweng dana derma awam terbabit dalam aktiviti itu sejak 2020 dan dipercayai sudah mengutip derma dianggarkan mencecah RM3 juta.

Susulan siasatan berkenaan, kira-kira 20 akaun perbankan berkait individu tersebut berjumlah lebih RM740,000 turut dibekukan SPRM. Sitaan dan pembekuan akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Banyak atau sikit bukan isu utama. Isu utama adalah salah guna dan pecah amanah. Hasrat orang ramai adalah mahu membantu pihak yang terlibat dalam kesempitan atau kesusahan hidup. Hakikatnya, wang itu bukan disalurkan kepada golongan tersebut sebaliknya diguna atau ‘dijoli’ oleh orang yang tidak bertanggungjawab sebagai pengutip dana.

Bak kata pepatah, golongan begini ibadat menangguk di air keruh. Golongan begini lupa setiap yang didermakan atau yang diterima itu akan disoal oleh Allah SWT di mahkamah Allah kelak. Mereka lupa kepada firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (al-Zalzalah: 7-8)

Penyelewengan yang berlaku ini diharap tidak menjejaskan sifat baik dan pemurah orang Malaysia. Jangan berhenti menderma sebab masih banyak kes-kes yang betul (genuine). Tetapi kes-kes terpencil terutama melibatkan pempengaruh ini mencacatkan usaha murni yang dilakukan oleh pihak lain sama ada orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memang ikhlas dan terbukti banyak membantu mereka yang memerlukan.

Atas sebab demikian, selain perlunya kepada peraturan yang lebih ketat oleh kerajaan ke atas pihak-pihak yang mahu menganjurkan kutipan dana atau derma, masyarakat juga perlu lebih kritis. Amalkan tabayyun (selidik) dan jangan naif.

Buat semakan untuk pastikan kesahihan tabung atau dana-dana yang dianjurkan itu. Ini supaya setiap sen sumbangan sampai kepada golongan yang sepatutnya. Bukan dibelanjakan oleh pihak yang menganjurkan tabung tersebut.

Islam memang menggalakkan umatnya bersedekah. Sebab itu, kita disuruh berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki supaya boleh menunaikan zakat selain buat kebajikan dengan bersedekah.

Agama Islam adalah agama yang berempati. Melalui sedekah kita dapat sama-sama merasai dan memahami kepayahan dan kesulitan yang dialami oleh seseorang. Antara galakan bersedekah adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. (al-Baqarah: 261)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud : “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim)

Walaupun secara kasar nampak kita yang keluar duit apabila bersedekah, yakinlah Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih berharga. Cuma kita perlu luaskan skop tentang rezeki. Sebabnya ia bukan hanya dalam bentuk wang ringgit. Sebaliknya kesihatan yang baik, anak-anak yang sejahtera, ada masa untuk ke masjid dan surau juga adalah rezeki.

Bersedekah juga dapat menghapus dosa. Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api. (Riwayat at-Tirmidzi)

Satu lagi ganjaran yang boleh memberi motivasi untuk kita terus bersedekah adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Setiap amal kebaikan yang dilakukan pasti Allah akan beri ganjaran. Dalam hal bersedekah, walaupun ditakdirkan sedekah yang kita buat diseleweng atau tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya, kita tetap dapat pahala, insya-Allah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 274).

Ini kerana setiap yang kita lakukan itu diberi ganjaran atas apa yang diniatkan. Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat…(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, jika sekiranya dia berniat untuk menderma wang tersebut ke jalan Allah SWT, maka dia tentu mendapat pahala di sisi Allah SWT walaupun tidak sampai kepada penerimanya yang berhak.

Namun, jika kita mengetahui ada tabung-tabung yang terbukti menyeleweng dan menggunakan derma yang dikutip tersebut untuk tujuan lain, maka tidak patut kita menderma ke dalam tabung tersebut, sebaliknya dermalah pihak-pihak yang lebih dipercayai. Semak dulu, baru derma.

TERUS BUAT KEBAIKAN
Teruslah buat kebaikan sebanyak-banyaknya meskipun ia amalan yang dilihat kecil oleh sesetengah orang. Amalan baik yang mungkin kelihatan kecil, biasanya sering diabaikan sedangkan ia juga mendatangkan ganjaran pahala.

Hayatilah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya menunjukkan keceriaan wajah ketika bertemu dengan sahabatmu.” (Riwayat Muslim)-UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN