KEBELAKANGAN ini, muncul dakwaan bahawa pemimpin Kerajaan Perpaduan membuat sogokan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), termasuk di Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap dengan membuat tawaran ‘gula-gula’ dalam bentuk peruntukan pembangunan.
Satu lagi dakwaan ialah bahawa pemimpin Kerajaan Perpaduan meneruskan amalan penyalahgunaan aset dan jentera kerajaan sewaktu berkempen.
Tidak dinafikan, penggunaan aset dan jentera kerajaan untuk membantu kempen pilihan raya pernah menjadi amalan biasa sejak zaman berzaman. Namun, adalah tidak adil untuk menuduh Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan amalan ini tanpa bukti kukuh. Begitu juga dengan tawaran ‘gula-gula’ pilihan raya.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perubahan ketara dalam landskap politik negara membawa kepada peningkatan kesedaran politik rakyat yang lebih peka terhadap penyalahgunaan kuasa dan sumber kerajaan. Sehubungan itu, kedua-dua tuduhan yang dibuat kepada pemimpin Kerajaan Perpaduan tersebut perlu dilihat secara objektif dan fakta sebenar perlu diketengahkan bagi mengelakkan kekeliruan.
Pertamanya, tuduhan tidak sepatutnya dibuat terbuka dalam media tetapi ia sepatutnya dilakukan dalam bentuk laporan rasmi kepada agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Isu penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri khususnya diperbesar-besarkan tanpa mengambil kira keselamatan dan efisiensi logistik. Adalah penting untuk memahami bahawa penggunaan aset tersebut adalah untuk tujuan rasmi dan bukan untuk kempen politik. Setiap anggota kerajaan ada tanggungjawab untuk melaksanakan tugas mereka pada setiap masa, termasuk ketika pilihan raya. Jika berlaku kesalahan buatlah laporan rasmi.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman (Perikatan Nasional, PN) contohnya tidak membuat laporan rasmi kepada pihak berwajib sebaliknya bertanya di Parlimen pada November 2023 sama ada kerajaan akan berhenti menggunakan aset dan jentera kerajaan ketika kempen pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika menjawab berkata semua pihak digesa membuat laporan berhubung kesalahan semasa pilihan raya termasuk salah guna jentera kerajaan.
Apa yang berlaku dalam PRK Kuala Kubu Baharu ialah Pengerusi SPR waktu itu, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata SPR tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada mana-mana pihak berkaitan sogokan kepada pengundi mahupun salah guna aset dan jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen walaupun tuduhan berlegar dalam media sosial.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga mendakwa kerajaan menyalahgunakan aset kerajaan untuk berkempen dan PN akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada PRK. Petisyen boleh difailkan oleh mana-mana pihak dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRK diwartakan tetapi selepas tempoh itu, tiada pun petisyen dikemukakan.
Perdana Menteri sendiri pun sudah menegaskan semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, 9 Julai lalu mengenai keputusan Jemaah Menteri supaya mana-mana menteri, penjawat awam mahupun agensi kerajaan untuk tidak menggunakan jentera kerajaan sebaik selepas hari penamaan calon.
Beliau malah memberi jaminan bahawa tindakan disiplin akan diambil sekiranya terdapat bukti menteri atau agensi kerajaan menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya diadakan. “Kalau ada pelanggaran ini tentunya Jemaah Menteri harus mengambil tindakan disiplin kerana melanggar keputusan Jemaah Menteri,” katanya.
Dakwaan tawaran ‘gula-gula’ dalam bentuk peruntukan pembangunan adalah sogokan pula tidak benar. Keputusan kes Teoh Teik Huat lawan Lim Kean Siew & Anor pada 1981 bahawa janji-janji politik Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan sewaktu berkempen tidak diklasifikasikan sebagai rasuah.
Antara alasan yang diberikan oleh hakim ialah kerana Tengku Razaleigh bukan calon yang bertanding, tiada unsur paksaan dalam mengundi mana-mana calon, peruntukan yang dijanjikan adalah untuk rakyat keseluruhannya dan bukannya untuk kepentingan individu tertentu dan ia bukan dari wang peribadinya tetapi adalah peruntukan Kerajaan Pusat.
Dalam kes lebih baharu, iaitu kes Wong Hua Seh (Perayu) dan Ding Kuong Hiing (Responden), pada 2009, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa janji projek-projek pembangunan pada musim pilihan raya bukanlah satu kesalahan.
Hakim menegaskan bahawa jika janji-janji untuk membawa pembangunan ke kawasan pilihan raya dikira satu rasuah, maka seluruh proses pilihan raya akan menjadi tidak bermakna kerana bagaimana lagi seseorang calon boleh merayu pengundi-pengundi untuk mengundinya. Sesuatu janji pilihan raya hanya dianggap sebagai rasuah jika wujud elemen timbal balas.
TIMBAL BALAS
Elemen timbal-balas ini hanya wujud jika ada janji daripada calon pilihan raya untuk membuat sesuatu dan jika ada janji balas daripada pengundi-pengundi untuk mengundi calon tersebut sebagai tukaran kepada janji itu. Jika ini tidak wujud maka rasuah tidak berlaku.
Pengundi sekarang lebih bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh taktik politik lama. Kerajaan Perpaduan juga sedang bergerak ke arah politik yang lebih matang dan beretika. Kerajaan Perpaduan kini dilihat semakin memperkukuhkan dasar-dasar yang pro-rakyat dan ini yang sebenarnya akan menjadi pertimbangan utama pengundi pada jangka masa panjangnya.
Serentak itu, rakyat juga perlu memainkan peranan. Bagi memastikan setiap penggunaan aset dan jentera kerajaan dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab maka setiap rakyat perlu membuat laporan rasmi kepada agensi penguatkuasaan jika berlaku apa-apa penyalahgunaan.-UTUSAN
PENULIS ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selambau dan bekas ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah.










