MALAYSIA sudah dikenali sebagai negara ke-12 teratas di dunia yang kaya dengan kepelbagaian biologi.
Bagi memastikan alam semula jadi di Malaysia terkawal, Dasar Kepelbagaian Biologi diperkenalkan pada 1998, diikuti pada 2016 hingga 2025 setelah disemak selepas memperkenalkan Sasaran Kepelbagaian Biologi Aichi 2010 hingga 2020.
Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022 – 2030 terus diperkasakan lagi bagi menghadapi cabaran baharu yang semakin mencabar dan selari dengan rangka kerja kepelbagaian biologi global Montreal-Kunming.
Malaysia yang sedang melangkah ke arah negara maju mesti meningkatkan komitmen dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi termasuk aspek pembangunan kapasiti. Pemindahan teknologi dan mobilisasi sumber mesti selari dengan Kerangka Kepelbagaian Biologi Global Pasca 2020 yang menggantikan Sasaran Kepelbagaian Biologi Aichi.
Malaysia yang komited dalam memulihara dan menggalakkan penggunaan sumber biologi secara mampan akan memastikan perkongsian faedah sumber biologi secara adil dan saksama daripada sumber genetik seperti matlamat utama Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 5 Jun 1992 untuk membangunkan strategi nasional dalam pemuliharaan mampan kepelbagaian biologi negara.
Tekanan terhadap kepelbagaian biologi negara terus berlaku apabila kehilangan habitat akibat pemencilan hutan kerana penebangan hutan dan pembangunan baharu, spesies invasif, pencemaran, pemburuan haram dan perubahan iklim. Cabaran ini perlu diselesaikan melalui beberapa kaedah termasuk kesedaran awam. Pendekatan pendidikan berkaitan sains ekosistem perlu lebih berkesan dan dipromosikan secara berterusan.
Peruntukan kewangan berkaitan daya tahan dan membuat keputusan tentang alam sekitar diperlukan. Aktiviti penyelidikan dan Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) untuk habitat tertentu serta sokongan komuniti tempatan mesti lebih aktif.
Penyelidikan yang bersepadu meliputi persekitaran alam sekitar, ekonomi, sosial dan cabaran khusus misalnya akibat daripada perubahan iklim dan ketidakseimbangan ekonomi perlu menjadi pendekatan baharu.
Antara pendekatan lain ialah jaringan perolehan makanan awam, memahami tempat yang terkesan terhadap perubahan iklim termasuk kejadian hakisan pantai, kenaikan aras laut dan gelombang ribut serta perkara-perkara yang mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi.
Masalah sosial susulan daripada kerosakan alam sekitar seperti kesihatan dan kesejahteraan hidup manusia mesti menjadi keutamaan.
Bagi menjayakan program pendidikan, maka penyelidikan dan kesedaran awam berkaitan kepelbagaian biologi perlu melibatkan pihak akademik, pembuat dasar dan pihak yang berkepentingan bagi menambah baik kesihatan dan kesejahteraan komuniti tempatan.
Malaysia mempunyai peraturan dan undang-undang berkaitan alam sekitar apabila sesuatu kawasan itu hendak dibangunkan atau dilindungi. Mungkin semua program atau plan pembangunan yang melibatkan alam sekeliling perlu lebih telus menerangkan bagaimana kerajaan akan melaksanakan. Negara perlu bertindak segera melindungi alam sekitar dalam masa yang terhad ini.
MAJLIS BIODIVERSITI NEGARA
Malaysia mempunyai Majlis Biodiversiti Negara (MBN) bagi memastikan keadaan kepelbagaian biologi negara terjaga. Majlis ini mesti terus diperkasakan dengan dasar, strategi dan tindakan berkaitan kepelbagaian biologi yang kukuh.
Usaha kerajaan pusat dan negeri menubuhkan pasukan untuk pemuliharaan Harimau Malaya, Majlis Biodiversiti Pahang, Pusat Biodiversiti Sarawak dan Pusat Biodiversiti Sabah adalah antara laluan kerjasama bagi mencapai program pemuliharaan biodiversiti kebangsaan.
Antara komitmen kerajaan memperkukuhkan MBN ialah mengehadkan kawasan kepada maksimum 6.5 juta hektar di seluruh negara untuk tanaman komoditi dan memastikan lebih 50 peratus hutan dipelihara.
Plan Induk Rangkaian Ekologi bagi menghubung, mengekalkan, memelihara serta memulihara kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Tanah Melayu dan Insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (EFT) juga penting bagi memperkasakan kerajaan negeri memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan.
Penubuhan Pusat Biodiversti Malaysia (MBC) juga mungkin dapat melengkapkan pengurusan kepelbagaian biologi yang kompleks yang melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri, keselarian pembangunan dan pemuliharaan, pencemaran alam sekeliling dan penglibatan penduduk tempatan.
Begitu juga dengan muzium sejarah semula jadi peringkat negeri atau persekutuan juga boleh membantu dalam menjadi rujukan dunia dan tarikan pelancong antarabangsa.
Penyertaan Orang Asli dan komuniti setempat melalui program yang dirancang perlu diperkasakan ekoran kebetulan kebanyakan mereka tinggal di kawasan hutan simpan.
KEROPOK RACUN
Kes keropok beracun di Kulim yang menyebabkan dua orang kanak-kanak meninggal dunia mungkin boleh menjadi pengajaran dalam pengurusan hidupan liar. Keropok didakwa di campur racun tikus adalah bagi menghalau hidupan liar yang mengancam tanaman. Punca kes itu berkaitan dengan konflik hidupan liar dan manusia yang belum ada formula dan tindakan yang jelas.
Kisah Harimau Malaya dilanggar dan Gajah Asia yang termakan racun juga menjadi kebimbangan kelestarian dan pemuliharaan spesies ini dalam hutan semula jadi yang sudah diambang kepupusan menunjukkam krisis ekologi yang berterusan memberikan lebih konflik antara manusia dan hidupan liar.
Pemantauan dan penjagaan dengan menggunakan teknologi baharu amat diperlukan. Kerjasama semua agensi sangat diperlukan dalam berkongsi maklumat, tenaga manusia dan kemudahan teknologi. Kurang kerjasama antara agensi dan penyelidikan antara sebab pihak bertanggungjawab membuat keputusan yang tidak tepat dalam pengurusan hidupan liar.
Janji kerajaan kepada dunia, pada 2010 untuk menggandakan populasi Harimau Malaya menjelang 2022 masih belum berjaya.
Tahun ini sempena Hari Harimau Antarabangsa pada 29 Julai, semua pihak daripada individu, pertubuhan, pihak korporat dan agensi kerajaan mesti bersatu menyumbang kepada perlindungan dan pemuliharaan Harimau Malaya.
Sejauh mana laluan Tren ASEAN Express yang baharu diperkenalkan akan menjadi cabaran baharu kepada penyeludupan hidupan liar perlu dikaji segera. Daripada kes-kes penyeludupan hidupan liar yang ditangkap pihak berkuasa, Malaysia sudah pun lama menjadi laluan penyeludupan hidupan liar.
Pembangunan kapasiti sumber manusia dalam bidang hidupan liar adalah kritikal. Peruntukan kewangan yang cukup melalui kaedah tertentu melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta dan orang awam dapat membantu penyelidikan, pendidikan dan pemantauan sumber alam semula jadi.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).










