Populasi Harimau Malaya sekarang memang di tahap yang kritikal, tetapi yang lebih kritikal lagi sebenarnya ialah program pemuliharaan Harimau Malaya yang perlu disemak segera dan ditambahbaik. Memandangkan populasi Harimau Malaya dikatakan hanya tinggal 150 ekor sahaja, masa menjadi semakin suntuk untuk memastikan populasinya terus berada di habitat liar.
Pada 21 hingga 24 November 2010, ketua-ketua negara Bangladesh, Bhutan, Kemboja, China, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Russia, Thailand dan Vietnam yang bersidang di Saint Petersburg, Russia bersama bersetuju untuk memulihara harimau di habitat liar. Mereka menyedari bahawa harimau merupakan petunjuk kesihatan ekosistem yang penting.
Kegagalan memulihara harimau bukan sahaja dunia akan kehilangan harimau tetapi juga kepelbagaian biologi seluruhnya. Masing-masing negara bersetuju untuk menggandakan populasi harimau di negara berkenaan menjelang 2022.
Dalam usaha memulihara harimau, semua negara diseru untuk jadikan tanggungjawab utama negara, perlunya meningkatkan usaha kerjasama dan koordinasi dalam kalangan negara ahli serta sokongan kewangan dan teknikal daripada komuniti antarabangsa. Perhatian kepada harimau mesti selari dengan perjanjian antarabangsa tentang pemuliharaan kepelbagaian biologi dan perlindungan spesies yang jarang ditemui dan terancam.
Dalam perjanjian di Saint Petersburg, Russia menunjukkan ada kehendak politik peringkat tertinggi untuk memastikan populasi harimau di habitat liar diberikan keutamaan. Malaysia sudah pun menunjukkan tindakan positif dengan komitmen politik melibatkan kepimpinan tertinggi negara, menyediakan hala tuju jelas, peruntukan kewangan dan menyediakan tempat untuk program pemuliharaan.
Namun begitu, langkah yang diambil masih belum menampakkan hasil yang meyakinkan, memandangkan kadar pengurangan populasi melebihi kadar penambahan bilangan harimau yang diharapkan di habitat liar. Setakat ini, belum ada kajian secara teknikal yang agresif termasuk kajian pembiakan harimau dan ekologi harimau di habitat liar. Perhatian kepada harimau umumnya lebih kepada pemantauan, perlindungan dan undang-undang menghukum pihak yang terlibat dalam pemburuan haram harimau dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Harimau Malaya penting kepada Malaysia bukan sahaja kerana spesies yang endemik tetapi juga merupakan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara. Bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya, kerajaan telah merancang tindakan-tindakan strategik 2020 hingga 2030 menerusi pendekatan menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya serta meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi harimau Malaya.
Dengan masalah lama yang sedang dihadapi seperti kehilangan habitat, konflik dengan manusia dan kemalangan jalan raya, program lama pemuliharaan Harimau Malaya mesti disemak semula dengan segera mengambil kira kegagalan atau ketidakcekapan pengalaman lepas. Kemalangan jalan raya melibatkan harimau terus berlaku. Pada 2023 dan 2024 sahaja, sebanyak lima ekor Harimau Malaya dilaporkan mati dilanggar kenderaan dan sembilan ekor ditangkap di kawasan-kawasan konflik. Pendekatan yang bersepadu mesti dilaksanakan dan semua agensi berkaitan mesti terlibat.
Pemantauan harimau liar dan perlindungannya melibatkan pasukan dari berbagai agensi dan komuniti boleh diteruskan. Paling kurang penglibatan renjer yang cukup, cekap dan amanah mengikut keperluan di kawasan sasaran populasi harimau agar dapat memberikan amaran kepada aktiviti pemburuan haram dan penerokaan habitat harimau.
Pemulihan koridor-koridor hidupan liar di kawasan tengah Semenanjung Malaysia yang menjadi kawasan rayau Harimau Malaya mesti terus dipulihara untuk kawasan pembiakan dan mencari makanan. Kawasan ini mestilah tidak mempunyai konflik dengan manusia dan mempunyai makanan seperti rusa dan babi hutan yang cukup.
Baru-baru ini, kerajaan persekutuan mengulangi ikrar komited dengan pemuliharaan harimau melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) agar Harimau Malaya tidak pupus. Pemantauan kelahiran harimau di habitat liar dan penyesuaian harimau dalam kurungan ke habitat asal terus dipantau. Penambahan Renjer Komuniti yang terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, komuniti Orang Asli dan komuniti setempat melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti bagi membanteras pencerobohan hutan dan pemburuan haram hidupan liar di kawasan habitat utama Harimau Malaya juga diteruskan.
Pewartaan kawasan perlindungan daratan baharu dan penubuhan bahagian jenayah hidupan liar di bawah Polis Diraja Malaysia adalah suatu komitmen baharu kerajaan.
Komitmen kerajaan juga melalui inisiatif seperti melaksanakan Projek Global Wildlife Programme bersama United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia, melaksanakan Program Pengurusan dan Perlindungan Harimau Malaya dan Hidupan Liar Terancam Lain di Landskap Taman Negara-Banjaran Titiwangsa serta di luar landskap Taman Negara-Banjaran Titiwangsa, dan mengukuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan di bawah Jabatan Perhilitan sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya. Kawasan sensitif Harimau Malaya seperti Taman Negara, Kompleks Hutan Belum-Temengor dan Taman Negara Johor Endau-Rompin memerlukan keutamaan.
Walaupun Malaysia menunjukkan komitmen tinggi dalam pemuliharaan Harimau Malaya, respon kepada persetujuan Persidangan Harimau 2010 agak lambat. Kempen Selamatkan Harimau Malaya hanya dilancarkan pada 2019 dengan memfokuskan kepada konservasi ex-situ, program kesedaran awam, tanggungjawab sosial korporat dan penajaan. Sepatutnya kempen yang agresif dibuat serta merta selepas persidangan Saint Peterburg dan berterusan selari dengan tindakan lain.
Program CEPA (Commucation, Education and Public Awareness) terutamanya kepada pelajar sekolah dan universiti boleh segera dijalankan agar mesej berkaitan pemuliharaan Harimau Malaya jelas dan dihayati rakyat Malaysia. Penglibatan pihak swasta boleh merancakkan lagi program CEPA. Program pendidikan dan kesedaran awam tidak pernah terlambat dan mesti berterusan. Sempena Sambutan Hari Harimau Antarabangsa pada 29 Julai ini, kempen dan strategi pemuliharaan Harimau Malaya boleh di tambah baik lagi. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).










