“SEKARANG masanya untuk memulakan proses dengan memperkenalkan skim gaji minimum dan menyeru syarikat multinasional untuk membayar gaji yang lebih baik. Kerajaan juga mesti menghentikan eksploitasi buruh oleh majikan.”
Itu tuntutan Tan Sri Zainal Rampak kepada kerajaan sewaktu allahyarham memegang jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi penggal ketiga pada 1991, selepas menyandang jawatan tersebut sejak 1986.
Tuntutan itu selari dengan Perlembagaan MTUC Perkara 3(6)(c) yang menyatakan bahawa gaji minimum perlu digubal di bawah undang-undang dengan waktu bekerja 40 jam maksimum.
GAJI MINIMUM
Tuntutan untuk menetapkan gaji minimum bagi pekerja ketika itu bagaimanapun tidak diambil kira walaupun berulang kali dikemukakan.
MTUC dalam Mesyuarat Majlis Am pada 26 Ogos 1996 pertama kali mencadangkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja agar menetapkan gaji minimum RM600 sebulan ketika menjalankan rundingan dengan majikan sebelum memeterai perjanjian bersama.
“Meskipun ekonomi negara terus menerus mencatatkan pertumbuhan purata tahun dengan kadar 8 hingga 8.5 peratus untuk beberapa tahun sehingga 1996, tidak bermakna kemampanan ekonomi ini akan berterusan selama-lamanya. Pakar ekonomi membayangkan bahawa arus ekonomi negara mulai perlahan pada 1999,” kata Zainal.
Katanya, salah satu pilihan pekerja untuk mengurangkan atau meringankan kesan dari kelembapan ekonomi adalah menggabungkan diri dalam kesatuan sekerja yang dapat menawarkan perlindungan dan upah perlu ditingkatkan sejajar dengan kenaikan kos sara hidup demi membolehkan pekerja terus menikmati dan menjalankan kehidupan sesuai dengan konsep keluarga bahagia. Pekerja dalam sesebuah negara yang pesat membangun perlu memiliki kekuatan kuasa membeli dan hidup selesa.
“MTUC percaya bahawa gaji minimum yang dicadangkan mengambil kira asas petunjuk bagi semua pekerja dalam semua sektor sebagai titik permulaan menuju tuntutan ke arah gaji minimum. MTUC memberikan sokongan penuh terhadap Dasar Gaji Minimum Kebangsaan,” katanya.
Cadangan menetapkan RM600 sebulan gaji minimum dalam Akta Kerja 1955 pada mulanya ditolak, dengan alasan kadar upah pekerja sewajarnya ditentukan oleh pasaran. Namun, ia terus diperjuangkan, malah kesatuan itu mahu kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM900 sebulan pada 1998.
Gesaan demi gesaan akhirnya membawa MTUC kepada pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. Zainal yang mengetuai pertemuan pada 7 Ogos 1998, membawa beberapa usul, antaranya gaji minimum RM900 sebulan.
Menurut catatan K. George dalam majalah Aliran pada 2004, beliau terkejut dengan reaksi Dr. Mahathir dalam pertemuan itu. Perdana Menteri ketika itu merasakan gaji minimum RM900 tidak mencukupi untuk kelangsungan hidup isi rumah dalam tempoh sebulan. Beliau sebaliknya mencadangkan kadar RM1,200 sebulan. Perkara itu disahkan sendiri oleh Zainal tiga bulan selepas pertemuan tersebut.
Bagaimanapun skim tersebut tidak dapat dilaksanakan ekoran kegawatan ekonomi. katanya.
Disebabkan itu, Zainal mencadangkan gaji minimum dikurangkan kepada RM900 sebulan atas desakan majikan kerana kadar RM1,200 terlalu tinggi.
Kira-kira 14 tahun kemudian, kerajaan akhirnya memperkenalkan Perintah Gaji Minimum pada 2012 dengan kadar RM900 sebulan. Lapan tahun kemudian, kadar itu akhirnya dinaikkan kepada RM1,200 sebulan melalui Perintah Gaji Minimum 2020, seperti yang diperjuangkan Zainal dan MTUC selama ini. Dua tahun kemudian, Perintah Gaji Minimum 2022 menetapkan supaya pekerja dibayar minimum RM1,500 sebulan.
Walaupun mengambil masa lebih 30 tahun untuk mendapatkan kadar gaji minimum yang sewajarnya, perjuangan Zainal bersama MTUC adalah satu perjuangan yang bermakna dan akan sentiasa dikenang serta dihargai oleh golongan.
KWSP
Zainal turut memperjuangkan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Beliau menyeru agar penyimpan boleh mengeluarkan baki simpanan untuk membeli rumah sekali gus mengelakkan mereka yang berpendapatan rendah terpaksa meminjam wang dari institusi kewangan yang mengenakan faedah tinggi selain mengelak dari menyewa rumah bertahun-tahun lamanya.
Beliau juga menggesa kerajaan supaya bertindak tegas ke atas majikan yang gagal mengemukakan potongan caruman pekerja kepada KWSP. Beliau mencadangkan KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan faedah sosial yang komprehensif meliputi faedah pengangguran, persaraan serta penambahan wang yang mencukupi dalam pembayaran wajib bagi kemalangan perusahaan dan wang saraan hilang upaya kekal malah meluaskan skop kebajikan kepada petani, nelayan serta mereka yang bekerja sendiri.
KRISIS EKONOMI
Semasa krisis ekonomi melanda negara, MTUC di bawah kepimpinan Zainal menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 26 Mei 1998 dan mencadangkan penubuhan skim penamatan dan pemberhentian pekerja kebangsaan di bawah Perkeso.
Keuntungan dari skim tersebut boleh digunakan sebagai bayaran faedah pemberhentian kerja atau ganti rugi kepada pekerja daripada syarikat yang muflis, gulung tikar, ‘cabut lari’ dan sebagainya.
MTUC turut mencadangkan supaya majikan mengutamakan pembangunan tenaga kerja, mengawal kenaikan harga barang dan pihaknya akan memboikot kenaikan harga barang asas.
Pada 1999, MTUC sekali lagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dengan cadangan skim gaji bulanan bagi sektor pertanian, memberi peringatan terhadap majikan yang menafikan perjanjian dengan kesatuan pekerja, serta penubuhan Tabung Pemberhentian Nasional.
PENGHARGAAN
Sebagai menghargai sumbangan beliau dalam memperjuangkan dan membela nasib serta kebajikan pekerja, Zainal dianugerahkan gelaran Bapa Pekerja Malaysia oleh MTUC pada Hari Pekerja 1 Mei 1997.
Setahun kemudian, beliau mengangkat sumpah sebagai senator Dewan Negara. Beliau menyifatkan pelantikan itu satu penghormatan besar kepada kesatuan pekerja.
Pelantikan itu memberi peluang kepadanya untuk membangkitkan kepentingan pekerja dalam Parlimen.
“Saya akan menyatakan pendapat saya tanpa takut dan akan terus melahirkan pendapat yang membina dan bebas sama ada di luar atau dalam Parlimen,” katanya.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Selayang, Selangor dipercayai sakit tua dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.-UTUSAN
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










