Isu kos masih belenggu PKS

Isu kos masih belenggu PKS

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

HARI ini, lebih sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro di negara ini merangkumi 97 peratus pertubuhan perniagaan, menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih empat juta pekerja dan menyumbang lebih 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di peringkat dunia, sektor PKS meliputi 90 peratus perniagaan, lebih 70 peratus pekerjaan dan 50 peratus KDNK dunia, sekali gus berperanan sebagai tulang belakang ekonomi kepada kebanyakan negara.

Disebabkan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut Hari PMKS Sedunia pada bulan Jun setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang sumbangan besar PMKS kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Namun, PBB menyifatkan, PKS di kebanyakan negara terus berdepan pelbagai cabaran terutamanya isu kos sara hidup, pencarian sumber baharu, selain isu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Tahun ini, selain isu kenaikan kos yang perlu ditanggung, PKS di negara ini dilaporkan berdepan isu kekurangan tenaga pekerja, cukai dan kenaikan gaji.

Ikuti temubual Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), DATUK WILLIAM NG yang berkongsi pandangannya bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN minggu lalu.

UTUSAN: Bagaimana perkembangan PKS di Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lalu, adakah lebih baik atau masih perlu penambahbaikan?
WILLIAM: Kita nampak ada penambahbaikan dari segi perniagaan bagi kebanyakan PKS tahun ini berbanding tahun lepas. Sektor-sektor tertentu, termasuk syarikat pengeksport berkembang dengan baik kerana permintaan sedunia semakin pulih.

Namun demikian, isu kos terus membelenggu kebanyakan PKS. Selain kenaikan kadar cukai perkhidmatan, kos bahan mentah, logistik, sewa dan gaji turut naik.

Adakah PKS terkesan dengan penyasaran subsidi diesel?
Dengan rasionalisasi diesel baru-baru ini turut dilaksanakan, keyakinan pengguna turut terkesan dan peniaga tidak dapat menaikkan harga mereka kerana keadaan ekonomi tempatan dan kos sara hidup yang masih tidak menentu.

Selain itu, isu pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) turut menjadi halangan kepada sesetengah PKS, terutamanya yang terlibat dalam rantaian bekalan sedunia.

Adakah inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu PKS mencukupi atau masih boleh ditambah baik?
Kami faham dan berterima kasih kepada kerajaan yang nampaknya cukup prihatin kepada sektor PKS, tetapi isu-isu seperti kenaikan kos, gangguan digital dan kekangan tenaga kerja masih memberi kesan negatif kepada PKS.

Apakah perkara-perkara yang diperlukan oleh PKS ketika ini?
Kami berharap dalam belanjawan yang akan datang, kerajaan dapat memastikan tidak ada cukai atau kos paksa baharu akan diperkenalkan termasuk sebarang kenaikan tarif elektrik, cukai karbon, mahupun kenaikan gaji minimum.

Kami turut berharap kerajaan dapat menangguhkan peraturan 80/20 untuk buruh asing sehingga sekurang-kurangnya tahun 2026, ataupun sehingga kenaikan kos sedia ada dapat diserap sepenuhnya oleh pasaran.

Apa harapan Samenta sempena Hari PMKS tahun ini?
Samenta akan terus membantu PKS untuk mendigitalkan operasi mereka, demi mengharungi cabaran kos dan teknologi tetapi usaha-usaha ini akan mengambil masa dan kami memerlukan lebih bantuan serta kesabaran pihak kerajaan.

Sempena Hari PMKS Sedunia, kami berharap kerajaan dapat mengambil pendekatan ‘apa yang baik untuk perniagaan adalah baik untuk negara’ dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN