Cerpen Tamil dan realiti kaum India

Cerpen Tamil dan realiti kaum India

KOLEKSI Cerpen-cerpen Malaysia antara cerpen terawal yang diterjemah dan dibukukan yang memberi peluang kepada pembaca untuk menikmati dan menghayati suara hati masyarakat pelbagai kaum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sehingga kini di Malaysia, terdapat lebih ramai penulis menghasilkan karya bahasa Tamil berbanding kaum India yang menulis karya sastera kebangsaan.

Pengkaji karya Tamil tempatan mengesahkan bahawa cerpen dan novel ini tetap berjiwa Malaysia.

Namun begitu, kekangan bahasa menyebabkan kandungan karya Tamil tidak dapat dinikmati masyarakat pelbagai kaum. Pada pandangan saya, perkara ini agak menyedihkan kerana sesungguhnya banyak karya Tamil bermutu mendokumentasi budaya, pemikiran dan pengalaman kaum India di negara ini.

Antara cerpen terawal yang diterjemah dan dibukukan dapat dibaca dalam Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (1977) terbitan Universiti Malaya. Antologi setebal 446 halaman ini memuatkan 13 cerpen oleh pengarang Melayu seperti Datuk Abdullah Hussain, Ali Majod, Arena Wati (Dr. Muhammad Dahlan Abdul Baing), Azizi Haji Abdullah, Dr. Fatimah Busu, Keris Mas (Dr. Kamaluddin Muhamad), Khadijah Hashim dan Datuk Dr. Shahnon Ahmad.

Turut dimuatkan terjemahan tujuh cerpen bahasa Cina, empat cerpen Tamil dan tiga cerpen Inggeris oleh pengarang tempatan. Maka, antologi ini memberi peluang kepada pembaca untuk menikmati dan menghayati suara hati masyarakat pelbagai kaum.

Saya mahu meneliti secara khusus empat cerpen Tamil yang diterjemah oleh P. Palaniappan. Cerpen Garisan Selari ditulis oleh Samy Moorthy yang menggunakan nama pena Devaki Manalan. Versi asal cerpen ini terbit pada 1975 dalam antologi berjudul Ner Kodukal.

Cerpen ini merupakan satu dokumentasi penting tentang perubahan pemikiran kaum India di Malaysia pada 1970-an. Ia berkisar tentang watak Sivaram, pemuda berumur 20 tahun yang ditinggalkan bapa semasa berumur sebulan.

Kini, lelaki itu yang sudah berkahwin dengan wanita lain sudah meninggal dunia. Lalu, Sivaram dipanggil untuk menyempurnakan upacara terakhir mengikut ritual Hindu. Pemuda itu pula bertegas tidak mahu melakukannya.

Ada dua perkara khusus yang menarik perhatian saya. Pertama, watak Sivaram dikritik sebagai anak muda yang lahir semata-mata untuk menghapuskan adat resam yang masih ada sedikit (halaman 334).

Di pihak Sivaram pula, dia tersengih melihat sikap masyarakat India yang tiba-tiba menyalahkannya sedangkan mereka hanya membisu sewaktu bapanya dahulu meninggalkan isteri dan bayi berumur satu bulan.

Kedua, digambarkan bahawa bapa Sivaram berkahwin dengan ibunya mengikut adat budaya Hindu iaitu mengikat taali pada leher. Kemudian, lelaki itu berkahwin daftar dengan seorang gadis di syarikat tempat dia bekerja.

Saya menghuraikan di ruangan ini pada 6 Julai lalu tentang Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang merangkumi proses pendaftaran perkahwinan sivil bagi orang bukan Islam dan dikuat kuasa pada 1 Mac 1982.

Amat menarik bagaimana penulis sudah mengetengahkan perihal pendaftaran perkahwinan dalam cerpen yang ditulis pada 1975. Hal ini menunjukkan keprihatinan penulis tentang hal-hal semasa.

Cerpen Datuk Kannappan oleh R. Karthigesu asalnya termuat dalam antologi Puthiya Thodakkangal (1974) dan bercerita tentang watak bernama Kannappan, seorang usahawan dan politikus. Menteri Besar baharu sahaja melantiknya menganggotai Majlis Harapan yang bertujuan mengatasi kemiskinan dalam kalangan masyarakat.

Sebagai seorang ahli politik yang licik, Kannappan sanggup bercadang memberi biasiswa Perbadanan Kebajikan Suleiman kepada anak seorang tauke semata-mata agar dia boleh membeli saham dimiliki tauke Cina itu dalam Kilang Penapisan Gula Lee Seng.

Pendiriannya berubah lagi apabila mendapat satu lagi peluang untuk memperoleh keuntungan politik di hadapan Menteri Besar dengan berpura-pura membantu pelajar miskin keturunan Tamil. Cerpen ini amat sinis mengkritik ahli politik kaum India di Malaysia.

Cerpen Orang Tua Muthusamy oleh S. Vadiveloo diterjemah daripada antologi Iranda Ulagam (1970). Penulis Tamil memang gemar mendokumentasi penderitaan dialami di bawah penjajah British di ladang getah dan penyeksaan di bawah tentera Jepun.

Watak Muthusamy yang berumur 55 tahun menjadi pengawal di kem dikawal tentera Jepun di Malaya. Maknanya, cerita berlaku sekitar 1945. Dia dan anak lelaki berumur 18 tahun pernah dibawa sebagai buruh paksa untuk membina landasan kereta api di Siam.

Selepas tiga bulan di sana, Muthusamy menghidap penyakit malaria. Dia dan sekumpulan buruh lain dihantar pulang ke Malaya. Hampir setahun kemudian, Muthusamy mendapat berita bahawa anak lelakinya juga akan pulang.

Cerpen ini mendokumentasi pengalaman orang Tamil di Malaya semasa penjajahan Jepun. Memang ada banyak cerpen dan novel oleh penulis Melayu tentang layanan tentera Jepun terhadap orang Melayu. Cerpen ini pula menceritakan penderitaan dialami kaum India.

M. Perumal yang menggunakan nama samaran M. Anbuchelvan pula menulis cerpen Lintah Darat dan termuat dalam antologi Pavun Parisu Kataikal (1974). Karya ini mendokumentasi pengalaman orang Tamil di ladang getah pada masa dahulu.

Watak Alagiri seorang kuli biasa yang bercita-cita menghantar anaknya, Tangaiah ke sekolah Inggeris di pekan. Kerani besar (ketua kerani) di ladang itu bernama Mathews dan dia berusaha menggagalkan niat Alagiri yang dianggap melampaui kemampuan seorang kuli.

Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka, watak Mathews mewakili komuniti Malayali yang lebih berpelajaran dan memegang jawatan penting berbanding komuniti Tamil di ladang getah pada masa dahulu. Gambaran orang Malayali dalam cerpen Tamil telah dihurai di ruangan ini pada 24 Jun 2023.

KHAZANAH
Saya mendapati cerpen dan novel Tamil tempatan merupakan khazanah dan dokumentasi berguna yang merakam realiti hidup, sejarah dan budaya kaum India di negara ini sejak dahulu.

Sayangnya, sebagaimana dihuraikan di ruangan ini pada 29 Jun lalu, usaha terjemahan cerpen Tamil masih amat lesu. Keadaan ini sebenarnya merugikan kerana khalayak pelbagai kaum tidak berpeluang menikmati realiti hidup orang Tamil yang disajikan secara penuh kreatif.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×