PENGGUNAAN aplikasi media sosial dunia menunjukkan peningkatan peratusan setiap saat aktiviti dalam talian sama ada melayari, memuat naik dan memuat turun perkongsian. Aktiviti di media sosial ini terus sahaja meningkat kepada 4.76 billion iaitu meliputi 59 peratus daripada penduduk dunia dan menyumbang kepada perbelanjaan iklan media sosial telah mencecah AS$268.70 bilion pada 2023.
Adakah kita benar-benar memahami risiko terhadap keputusan kita menjalani sebarang aktiviti di media sosial? Apakah kita membaca terma dan peraturan serta memahami penggunaan dan menguruskan akaun media sosial yang kita miliki itu?
Atau sejauh manakah kita memahami tanggungjawab setiap diri dari kita apabila berhubung, berkomunikasi mahupun berinteraksi dalam media sosial?
Bulan Keselamatan Negara disambut bagi menyemai kesedaran keselamatan negara, membaja penghayatan dan memanifestasi kecintaan kepada watan. Signifikan bulan Julai dipilih apabila penubuhan rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah pada 7 Julai 1971 selaras dengan pemansuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran). Buli siber ini sebagai satu risiko ancaman keselamatan pada masa kini, bersesuaian dengan teras kelapan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, Keselamatan Rakyat.
Buli siber lebih menakutkan berbanding buli fizikal kerana ia tidak mempunyai batasan dan boleh berlaku setiap hari tanpa mengira waktu. Beberapa hari lepas, ramai yang mempertikaikan mengenai seorang pembuli siber, P. Shalini yang didenda RM100 selepas menjadi salah satu punca kematian mendiang Rajeswary Appahu atau dikenali dengan nama Esha.
Denda RM100 itu dipersoal jika dibandingkan dengan nyawa seseorang. Buli siber dengan mengganggu emosi dan memberi tekanan kepada seseorang harus dipandang serius. Ancaman terhadap mental pula akan menyebabkan risiko membunuh diri, simptom masalah psikosomatik termasuk sakit kepala, muntah, hilang selera makan, keletihan, masalah kulit, ketegangan perasaan dan sebagainya (Waters, 2011).
Buli siber adalah salah di sisi undang-undang. Perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet. Pengguna media sosial atau netizen yang membuat sesuatu komen secara melampau perlu diambil tindakan. Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Pelbagai spekulasi yang timbul di media sosial dengan menghina, mengutuk mencaci mangsa mahupun suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan termasuk menyebabkan berlakunya tekanan fikiran dan mengancam keselamatan individu lain. Pembuli siber boleh diambil tindakan berlunaskan undang-undang yang dikuatkuasakan antaranya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
Berdasarkan penyelidikan oleh MKN juga, kesan buli siber kepada mangsa dapat dibahagikan kepada kesan emosi, fizikal dan mental. Antara kesannya termasuklah depresi, kemurungan, perbuatan melukakan dan mencederakan diri sendiri sehingga akhirnya jika tidak dibendung akan mengakibatkan bunuh diri.
Kesan fizikal kepada mangsa termasuklah masalah gastrousus seperti sakit perut, muntah dan ulser perut, gangguan pada pola makan dan tidur. Hal ini menyebabkan mangsa akan sentiasa merasa penat dan kelelahan. Kebiasaannya, pelaku yang tidak dikenali di ruang siber menghantar kandungan mesej yang bertujuan melukakan atau bertujuan menghina dan boleh menjatuhkan maruah mangsa.
Pelaku juga merasa bebas untuk memperkatakan apa sahaja perkataan yang tidak boleh diterima dalam interaksi interpersonal biasa (Suriana dan Khadijah Alavi, 2020).
Dari sumber laman web Majlis Keselamatan Negara, buli siber memberikan kesan berterusan kerana penggunaan teknologi membolehkan komunikasi berlangsung selama 24 jam. Hal ini menyebabkan pembulian ini boleh berlaku tanpa henti dan mengakibatkan kesukaran kepada mangsa buli untuk mendapatkan perlindungan.
Kesan kekal yang disebabkan maklumat yang dikongsi melalui sistem elektronik atau internet ini kebiasaannya bersifat kekal dan terbuka. Oleh yang demikian, sebarang perkongsian negatif dalam laman ini akan sentiasa menghantui mangsa buli. Hal ini mendatangkan trauma yang berpanjangan buat mangsa buli dan melupakan kejadian buli ini akan menjadi lebih sukar.
Kesan sukar untuk dikenalpasti boleh berlaku kerana buli siber sukar untuk dikenalpasti kerana buli ini tidak berlaku di depan mata dan biasanya mangsa buli sukar untuk berterus-terang tentang kejadian buli yang berlaku kerana merasa terhina akan stigma sosial. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pelaksanaan dasar diperkenal 1 Ogos depan dibuat selaras keputusan Jemaah Menteri dalam usaha memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Seramai lapan juta pengguna media sosial wajib berlesen. Undang-undang itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari depan itu turut terpakai bagi perkhidmatan pesanan internet.
Mari kita melihat semula kepentingan adab dan etika dalam menggunakan media sosial, itu yang menyebabkan gejala buli siber. Dengan lonjakan media sosial, salah satu kesan ialah hilangnya nilai empati sebab jiwa sebagai manusia sudah berkurangan. Pengguna media sosial agar bijak dalam berkongsi sebarang maklumat, video atau gambar berbentuk peribadi ke media sosial bagi mengelakkan ia menjadi bahan pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Hentikan buli.
Semoga pada bulan Julai tahun ini sebagai bulan keselamatan yang menyedarkan masyarakat untuk sentiasa bersedia ancaman keselamatan yang boleh menggugat keharmonian negara. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Majlis Profesor Negara dan Institut MASA manakala Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










