BRICS ialah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan untuk memupuk hubungan ekonomi dan dialog politik yang lebih mendalam dalam kalangan negara anggota.
Ia dihasratkan sebagai blok alternatif sebagai saingan kepada dominasi institusi pimpinan Barat seperti G8, IMF dan Bank Dunia.
Perubahan landskap geopolitik kini menyuntik nafas baharu kepada peranan BRICS dalam menyekat cengkaman Barat dalam sistem global dan momentum Global South yang diketuai China turut menjadi faktor penyuntik yang menyemarakkan hasrat dan kapasiti peningkatan kuasa China dan Russia mengekang usaha Barat untuk menyekat pengaruh mereka.
BRICS terus berkembang pada Januari tahun ini termasuk Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
MASA DEPAN DOLAR
Kajian terbaharu GeoEconomics Center di bawah Atlantic Council pada Jun 2024 dalam kajian Dollar Dominance Monitor menyatakan bahawa dolar A.S. kekal sebagai mata wang rizab utama dunia, dan euro mahupun BRICS tidak dapat mengurangkan kebergantungan global terhadap dolar.
Dolar terus mendominasi pegangan rizab asing, invois perdagangan dan urus niaga mata wang secara global dan peranannya sebagai mata wang rizab global utama kekal kukuh dan selamat dalam jangka masa terdekat dan sederhana. Mengikut laporan tersebut, penguasaan dolar dan peranan besar dolar AS dalam ekonomi dunia telah diperkukuh baru-baru ini berdasarkan kepada ekonomi AS yang teguh, dasar monetari yang lebih ketat dan risiko geopolitik yang meningkat.
Sekatan Barat ke atas Russia yang dikenakan oleh G7 selepas pencerobohan Moscow ke atas Ukraine telah mempercepatkan usaha negara-negara BRICS untuk membangunkan kesatuan mata wang, tetapi kumpulan itu tidak dapat mencapai kemajuan dalam usaha de-dolarisasinya. Rundingan mengenai sistem pembayaran intra-BRICS masih dalam peringkat permulaan, tetapi perjanjian dua hala dan pelbagai hala dalam kumpulan ini boleh menjadi asas untuk platform pertukaran mata wang dari semasa ke semasa.
CABARAN BRICS
Brazil, Russia dan Afrika Selatan adalah pengeksport komoditi manakala India dan China adalah pengimport, mencerminkan aliran berbeza. Matlamat bersama yang menjadi penyatuan adalah untuk menangkis naratif Barat dan menentukan susunan ekonomi dan geopolitik untuk mengurangkan cengkaman Barat.
Brazil, India dan Afrika Selatan adalah negara demokrasi manakala Russia dan China tidak bersifat sedemikian. India dan China mempunyai perbezaan dan persaingan geopolitik mereka sendiri, dengan pertembungan di sempadan dan persaingan kuasa sistemik selama beberapa dekad.
Pergerakan dan pengaruh Global South yang semakin meningkat, dalam menyediakan sinergi baharu, kerelevanan dan kepentingan negara membangun dan kuasa bukan Barat, juga telah memaksa negara lain termasuk Malaysia untuk mencari pengumpulan sumber yang disatukan untuk menyaingi sistem yang diterajui Barat.
Dengan perubahan realiti geopolitik dan perubahan di Timur Tengah dan Asia Barat dan di Indo Pasifik, tumpuan telah beralih kepada memperkasakan blok bukan Barat dan dalam memastikan hak dan kerelevanan kuasa pertengahan dan kuasa membangun.
NEW DEVELOPMENT BANK (NDB)
Salah satu kejayaan terhad yang membuahkan hasil ialah New Development Bank (NDB) yang berpangkalan di Shanghai atau dikenali sebagai bank BRICS yang berperanan untuk pinjaman modal bagi membiayai projek infrastruktur.
Salah satu perkara terhad yang dipersetujui oleh ahli BRICS sedia ada ialah lebih banyak perlu dilakukan ke atas pembiayaan projek sesama ahli, yang memerlukan suntikan modal yang direka dan dibentuk mengikut norma tempatan dan bukan mengikut acuan sistem modal dan pinjaman Barat.
Peranannya sebahagian besarnya terhad kepada menyemarakkan usaha terhadap dolar AS. Penglibatan ahli baharu Riyadh dan Tehran mungkin dapat meningkatkan harapan untuk memanfaatkan modal petroleum kedua-dua kuasa untuk menyelamatkan NDB, tetapi ia tetap terjerat dengan kekangan sistemik lama.
NDB mempunyai beberapa kejayaan dalam denominasi pinjaman jangka panjang dalam mata wang tempatan, tetapi ini kekal sebagai matlamat yang jauh untuk menyaingi atau menggantikan dolar dalam jangka panjang. BRICS sebahagian besarnya kekal sebagai pakatan ekonomi dan kewangan yang agak longgar yang berusaha memenuhi keperluan bersama untuk mengelakkan risiko dan kejatuhan perangkap dolar pada masa hadapan dan pegangan ekonomi yang telah lama dipegang oleh Barat.
PERSAINGAN KUASA BLOC RIVALRY
Faktor penglibatan Malaysia dalam BRICS adalah untuk memperkasa jalinan persahabatan ekonomi membangun dan kritikal akan datang dan dalam menyatukan akses pasaran dan perdagangan yang lebih besar dan kapasiti bersama untuk membentuk platform perdagangan, mata wang, rantaian bekalan, pasaran dan kapasiti teknologi yang boleh dipercayai dalam kalangan kuasa baharu dan memperkukuh pengaruh dan suara dalam kumpulan Global South.
Memandangkan dolar telah menjejaskan prestasi ringgit dan seterusnya mencipta impak berangkai dalam peralihan ekonomi, penyertaan dalam BRICS bertujuan untuk mengukuhkan pilihan sandaran dan sebagai arena baharu bagi Malaysia untuk mengukuhkan kapasitinya sebagai middle power, untuk bebas daripada kepompong sistem kewangan dan ekonomi Barat.
Dengan menyertai blok itu, ia juga akan menjelaskan peranan dan objektif untuk memperkukuh hubungan dengan Global South dan menggilap keupayaan dan potensi blok alternatif dalam saingan dengan blok Barat, dalam jaminan gabungan kuasa baharu yang lebih komprehensif.
Beberapa kemungkinan penyelarasan tindak balas dasar oleh kuasa lain sebagai tindak balas polisi terhadap Malaysia dalam menyertai blok tersebut dan juga impak masa depan juga harus dikaji.
Perbezaan dan perjalanan yang masih panjang dalam menyaingi sistem perdagangan dan kewangan yang diterajui sistem semasa juga memberi halangan kepada potensi BRICS. Cabaran mendesak akan datang ialah ketegangan perangkap kuasa yang kian meruncing dan juga ancaman perubahan iklim dan kelestarian pembangunan sekata.
Pembentukan pakatan baharu berasaskan garis geopolitik, ideologi atau ekonomi membawa sedikit atau tiada pulangan jangka panjang, dan peranan institusi serantau dan global memerlukan sinergi meluas yang melibatkan semua kuasa besar dan kuasa membangun untuk berkongsi kepakaran, modal, sumber dan jaminan suntikan sokongan untuk mencegah konflik dan menangani ancaman bersama bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat. – UTUSAN
COLLINS Chong Yew Keat ialah penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya










