‘BANDAR mati, pekan orang pencen. Paling seronok pun kalau datang Ipoh mungkin hanya untuk makan-makan terutama nasi kandar’.
Itu mungkin antara tanggapan orang luar terhadap bandar raya Ipoh sebelum ini namun ia kini semakin berubah atas usaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ketika menjadi Datuk Bandar pada 2020, beliau bertekad mengubah imej bandar raya ini namun ketika itu berdepan cabaran akibat wabak Covid-19.
Katanya, tidak banyak yang dapat dilakukan terutamanya dari segi menarik pelancong kerana sekatan perjalanan antara negeri disebabkan Covid-19.
“Sebelum ini orang kenal Ipoh sebagai sebuah bandar yang suram, bandaraya yang mati.
“Jadi, apa yang saya buat ialah ubah daripada sebuah bandar yang kelihatan mati kepada sebuah bandar yang hebat ataupun dalam industri kata vibrant city. Jadi itu asas kita. Itu yang saya mahu buat selain menjadi tumpuan pelancong.
“Saya nak jadikan Ipoh sebuah bandar yang penuh warna, energetic, atau hidup dan berdaya saing,” katanya.
Rumaizi berkata, perkara lain yang menjadi fokus MBI ialah meningkatkan infrastrukturnya.
“Namun bukan saya nak mengubah infrastruktur sangat. Sebab kalau kita bercakap tentang infrastruktur, ia akan mengambil masa yang panjang. Tapi lebih penting ialah mengubah pemikiran manusia.
“Sebab apabila saya datang dulu pemikiran orang yang duduk di Ipoh pun sudah tahu, Ipoh bandar pencen. Jadi, tak perlu buat apa-apa sangat. Jadi kita sekarang nak ubah mereka kepada sebuah bandar yang berdaya saing,” katanya.
Mengenai bidang perkhidmatan perbandaran kepada warganya, Rumaizi berkata, MBI berbangga kerana menjadi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada warganya.
“Perkhidmatan MBI bagi saya kalau nak kata excellent, tidak, tapi boleh kata standardnya sangat bagus. Perlu dipertingkatkan lagi supaya mencapai tahap cemerlang.
“Masih ada ruang untuk kita pertingkatkan. Kita tahu aduan datang dan pergi, tapi apa yang lebih penting organisasi ini perlu dipertingkatkan.
“Dari segi penarafan sejak dua tahun lepas, kita menduduki No. 2 dalam Malaysia daripada star rating Perkhidmatan PBT Terbaik.
“Kalau tak salah saya yang terbaik ialah Petaling Jaya, No. 2 di Malaysia adalah bandar Ipoh.
“Cuma saya fikir, saya lihat masih banyak lagi yang perlu kita pertingkatkan terutamanya dalam urusan-urusan rutin.
“Sebagai contoh kutipan sampah, longkang dan macam-macam rutin. Tapi bagi saya, kita akan ke arah penambahbaikan,” katanya.
Mengenai aduan awam terhadap perkhidmatan perbandaran MBI, Rumaizi berkata, berdasarkan laporan yang diterima dalam tempoh lima tahun, aduan mencatat penurunan.
“Dari segi aduan mengenai perkhidmatan MBI memang mencatat penurunan. Masa mula-mula saya berkhidmat dahulu, kita dapat aduan sehingga 20,000 sebulan.
“Tapi sekarang ini aduan sudah turun lebih daripada separuh, 10,000 sebulan. Saya kata signifikan 50 peratus penurunan,” katanya.
Katanya, antara aduan yang kerap diterima ialah berkaitan dengan jalan raya di bandar ini khususnya aduan jalan raya yang berlubang.
“Aduan lain ialah kutipan sampah dan berkaitan infrastruktur-infrastruktur lain seperti pokok tidak ditebang.
“Tapi dari semasa ke semasa MBI akan cuba mempertingkatkan perkhidmatan supaya Ipoh menjadi bandar raya yang selesa untuk semua warganya,” katanya. – UTUSAN










