KE arah pembentukan masyarakat Madani, sektor pendidikan telah mengharungi perubahan ketara melibatkan sekolah tahfiz yang kini dipilih bukan sahaja sebagai tempat belajar dan menghafaz al-Quran, malah untuk menyediakan pelajar-pelajar ini dengan pelbagai kemahiran yang ditawarkan melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antaranya kimpalan, penghawa dingin, celik media digital, automotif, pembuatan perabot, reka bentuk dalaman, reka bentuk fesyen dan elektrik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu mengumumkan sebanyak RM17 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program ini dengan optimis meletakkan aspirasi jangka panjang bahawa agenda pendidikan baharu ini dapat menyediakan graduan tahfiz dengan pelbagai kebolehan selaras dengan keperluan industri semasa.
Harapan yang besar terhadap usaha negara ini jelas apabila sejumlah besar kewangan diperuntukkan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2018. Ini juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memartabatkan institusi pendidikan berteraskan al-Quran dan pelajar yang mempunyai kerohanian tinggi untuk bersama-sama menggerakkan agenda negara ke arah mencapai negara industri (IR 4.0).
Seiring dengan kemajuan teknologi, kecanggihan penggunaannya juga digunakan oleh sekolah agama atau institusi tahfiz dalam menstruktur program yang ditawarkan agar selari dengan keperluan negara semasa – penggabungan mata pelajaran Sains dan Pengajian Islam telah melengkapkan pelajar dengan kemahiran ilmu duniawi dan kefahaman ilmu akhirat.
Persepsi kerajaan terhadap golongan huffaz (golongan yang menghafal Al-Quran) dan institusi pondok kini juga berbeza – kehadiran para huffaz bukan sahaja penting dalam bidang dakwah Islamiah, tetapi juga harus menjadi sebahagian daripada agenda nasional dan pencapaiannya.
Ini adalah nilai tambah yang boleh ditawarkan oleh golongan huffaz untuk kemajuan negara yang memerlukan bukan sahaja tenaga pekerja tetapi juga modal insan yang baik dalam melakukannya.
Secara jelasnya, di Malaysia, kita dapat melihat ada dua kategori sekolah tahfiz. Pertama, yang diuruskan oleh kerajaan di mana sekolah jenis ini menerapkan dan memberi penekanan bukan sahaja kepada mata pelajaran berkaitan Islamic Studies, tetapi juga mata pelajaran Sains misalnya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah IMTIYAZ Terengganu, dan Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).
Dari satu sisi yang lain, sekolah tahfiz atau sekolah pondok juga berkembang dengan begitu banyak kerana permintaan yang terlalu tinggi dalam kalangan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama, tetapi sekolah jenis ini diuruskan secara persendirian (private), maka timbullah pelbagai bentuk keterbatasan antaranya ketidakseragaman struktur kurikulum, kewangan, infrastruktur dan pengiktirafan sijil akademik oleh pihak kerajaan dan agensinya. Maka, persoalannya ialah, program berasaskan TVET ini direka untuk golongan huffaz yang mana?
Maka, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan dan autoriti yang berkenaan untuk memberikan perhatian kepada institusi tahfiz ini sama ada yang berdaftar mahupun tidak berdaftar, sama ada diuruskan oleh kerajaan negeri atau secara persendirian supaya golongan huffaz tidak ketinggalan dalam penglibatan mereka daripada agenda arus perdana negara.
Ini merupakan satu langkah yang drastik yang diambil oleh kerajaan dan memerlukan komitmen dari banyak pihak. Sememangnya, pendekatan ini adalah sesuatu yang amat baik dan diharapkan berkesan untuk tempoh jangka panjang negara, namun terdapat beberapa kebimbangan yang perlu dipertimbangkan.
Pertama, kerajaan dan agensi berkaitan hendaklah lebih proaktif mendekati pihak sekolah tahfiz, mendidik pihak pengurusan sekolah dan mewujudkan kesedaran tentang dasar ini.
Kedua, walaupun pihak kerajaan telah menggubal dasar dan menyediakan dana untuk merealisasikan agenda ini, sistem sekolah tahfiz itu sendiri mesti bersedia untuk menyemak semula orientasi pendidikan dan struktur pembelajaran mereka dengan sewajarnya agar seiring dengan objektif yang hendak dicapai.
Ketiga, penglibatan secara langsung ibu bapa pelajar tahfiz juga amat penting untuk melihat potensi yang boleh dicungkil dari dalam diri anak-anak mereka dan akhirnya, kemahuan yang kuat mesti datang daripada pelajar itu sendiri yang ingin menyumbang kepada kemakmuran negara dengan mempelajari kemahiran tambahan yang kemudiannya akan menjadikan mereka sebagai aset yang begitu kuat untuk negara. – UTUSAN
DR. Nadiah Abdul Aziz ialah Penolong Profesor Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Kuala Lumpur.










