MUKADIMAH
INTEGRITI dalam kalangan pegawai dan anggota kerajaan masih menjadi tanda tanya terutama dalam kes rasuah, meskipun anggota penguatkuasa sepatutnya bertugas melindungi kepentingan awam.
Sedangkan hal berkaitan integriti dan tatakelola baik sering ditekan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam banyak ucapannya.
Dalam temu bual Utusan Malaysia bersama Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), JAIS ABDUL KARIM mengatakan sekiranya tiada reformasi menyeluruh maka, sisi kelemahan kerajaan dalam sistem pengawasan negara akan terus menjadi topik hangat.
UTUSAN: Adakah isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM_ ketika ini berada pada tahap memuaskan?
JAIS: Tidak, isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota JKDM masih lagi kritikal dan menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pelanggan mereka dan masyarakat negara ini secara amnya.
Contoh terkini adalah sindiket flying containers (kontena terbang) yang menunjukkan bahawa integriti sebahagian pegawai masih dipersoalkan dan terdapat banyak lagi aduan atau kes yang dalam siasatan.
Apakah cadangan untuk mengelak integriti JKDM terus dipertikaikan?
Cadangan MCW termasuklah memperketat prosedur pengawasan dan audit dalaman, meningkatkan penggunaan teknologi untuk memantau aktiviti harian, menyediakan latihan berterusan mengenai etika dan integriti serta mengenakan hukuman yang tegas terhadap mereka yang didapati bersalah.
Adakah tempoh penugasan bagi suatu jawatan kritikal dan penempatan di lokasi tertentu perlu disingkatkan untuk mengurangkan isu integriti?
Ya, menyingkatkan tempoh penugasan di jawatan kritikal dan lokasi tertentu boleh membantu mengurangkan ruang dan peluang untuk berlakunya salah laku dan rasuah dengan mengurangkan pengaruh dan hubungan yang mungkin terbentuk.
Apakah tindakan wajar bagi mengatasi isu ini?
Tindakan wajar lain termasuklah melaksanakan audit berkala, memperkenalkan sistem pengawasan berteknologi tinggi, mengadakan program pendidikan dan kesedaran mengenai integriti serta mengenakan hukuman tegas seperti pemecatan dan pendakwaan terhadap pelaku kesalahan.
Bagaimana persepsi MCW mengenai kaitan rasuah dalam kalangan penguatkuasa?
MCW berpendapat bahawa terdapat hubungan erat antara rasuah dan penguatkuasa disebabkan oleh kuasa dan tanggungjawab besar yang dimiliki oleh mereka. Kes rasuah melibatkan penguatkuasa menunjukkan kelemahan dalam sistem pengawasan negara dan perlunya reformasi integriti dilaksanakan segera.
Adakah tindakan tegas mampu menjernihkan balik imej anggota dan pegawai?
Ya, tindakan tegas yang konsisten dan adil terhadap pelaku kesalahan mampu memperbaiki imej JKDM dengan menunjukkan komitmen untuk menegakkan integriti dan memulihkan kepercayaan awam terhadap agensi ini.
Tindakan terhadap pegawai Imigresen tepat
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh baru-baru ini komited untuk mengenakan tindakan pecat, turun pangkat atau tahan kenaikan gaji jika pegawai atau anggota terbabit salah laku integriti. Sejauh mana keberkesanannya dalam membantu menghentikan isu integriti?
MCW melihat tindakan punitif seperti pemecatan, penurunan pangkat atau penahanan kenaikan gaji sebagai langkah yang efektif untuk menghentikan isu integriti. Tindakan ini dapat memberi mesej yang tegas bahawa salah laku tidak akan ditoleransi dan akan diambil tindakan tegas.
Adakah tindakan sedemikian lebih baik berbanding mendakwa pelaku di mahkamah?
Kedua-dua pendekatan mempunyai kelebihan masing-masing. Tindakan dalaman seperti pemecatan atau penurunan pangkat boleh diambil dengan lebih cepat dan memberikan kesan segera manakala pendakwaan di mahkamah adalah penting untuk memberi kesan jangka panjang dan memastikan pelaku mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka.
Gabungan kedua-dua pendekatan tindakan punitif itu adalah yang terbaik untuk menangani isu integriti secara menyeluruh.-UTUSAN










