“Kami berharap kerajaan campur tangan bagi urusan kutipan dan agihan dan sekiranya dilaksanakan oleh pertubuhan tertentu royalti mungkin tidak sampai kepada kami kerana wang mungkin digunakan urusan pentadbiran, bayar agen, kakitangan dan sewa pejabat, “ ujar penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah berkongsi rakaman suara kepada saya menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana royalti tidak dibayar kepada mereka hingga terpaksa menuntut di mahkamah.
Itu senario terkini isu artis kita terutama penyanyi yang banyak bergantung kepada hasil nyanyian untuk menampung kehidupan menerusi pembayaran royalti.
Banyak atau tidak jumlah royalti yang diterima , jumlah itulah yang digunakan untuk menyara hidup mereka.

Isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama malah seolah-olah menemui jalan buntu memandangkan ada pertikaian kerana ia melibatkan banyak pihak.
Rungutan yang sama dibangkitkan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk Malek Ridzuan yang mengakui banyak usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi membantu artis yang layak mendapat royalti mereka tetapi tidak ada maklumbalas kerajaan.
Beliau turut bimbang jika royalti terus disalurkan kepada agensi atau badan tertentu tetapi akhirnya ia tidak diterima artis.
Justeru, bagi mendapat penjelasan lanjut, saya menemui Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang banyak terbabit dalam isu royalti artis ini. Beliau bukan calang -calang tokoh dalam industri hiburan.
Freddie merupakan pengasas Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Malaysia (MACP), pengasas Anugerah Industri Muzik (AIM), pengasas Akademi Fantasia dan seorang pencipta, pemuzik, penyanyi dan penerbit.
Kini beliau adalah Pengerusi Muzik Malaysia yang merupakan gabungan 15 persatuan muzik seluruh negara.
Isu yang berbangkit adalah kutipan dimonopoli oleh syarikat besar dan antarabangsa daripada Public Perfomance Malaysia (PPM) yang telah mengenepikan hak artis rakaman dan penggiat seni Sabah dan Sarawak.
Freddie berkata, nasib artis ini tidak dipeduli sedangkan kutipan mereka dipelihara. Selepas penutupan Performers Rights and Interests Berhad (PRISM) dan Music Rights Malaysia (MRM) artis hanya boleh bergantung kepada Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) tetapi kutipan tersebut merosot teruk berbanding masa dilakukan oleh MRM. MACP pula berjaya mengutip RM80 juta, PPM berjaya mengutip RM 40 juta manakala RPM antara RM 3 dan RM 4 juta sahaja.
Lebih mendukacitakan MRS di Sabah dan MRSB di Sarawak sukar membuat kutipan kerana pengguna muzik sudah bayar tiga badan daripada Semenanjung itu. Artis dipecah belahkan kepada dua badan. Satu ialah RPM dan satu lagi PRISM yang telah pun ditutup. Bagaimanapun PRISM yang telah ditutup belum ada badan lain yang dapat menggantikannya dan kebanyakan ahli PRISM belum berdaftar dengan RPM.
“Kami difahamkan baki PRISM sebanyak berjuta-juta ringgit masih lagi dipegang Jabatan Insolvensi dan belum
lagi diagihkan menyebabkan beberapa artis khususnya yang menjadi ahli PRISM belum mendapat royalti mereka,” ujarnya. Kesimpulannya pengguna keliru dengan begitu banyak badan yang dilesenkan kerajaan
Justeru mereka berharap supaya kerajaan selaraskan hal kutipan ini dengan melantik satu badan kutipan sahaja.
Maka, Karyawan ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya kelima lima badan iaitu MACP PPM, RPM MRS dan MRSB digabungkan menjadi satu badan baharu seperti wujudkan MRM sebelum ini dan boleh dinamakan sebagai MRM 2.0
MRM 2.0 ini diharap dapat melaksanakan kerja kerja mendaftar semua karya dan ahli lima badan tersebut dalam satu pangkalan data dan mengutip royalti daripada semua pengguna seluruh negara.
Badan tersebut boleh melaksanakan kerja kerja works recognition menggunakan teknologi dan mengenal pasti siapakah komposer penulis lirik, publisher, syarikat rakaman penyanyi dan pemuzik bagi semua karya karya dan ahli kelima lima badan berkenaan.
Maka dicadangkan Lembaga Pengarah MRM 2.0 yang boleh dianggotai dua orang komposer, dua penulis lirik, dua publisher, dua ahli syarikat rakaman, dua artis (penyanyi dan pemuzik) manakala dua atau tiga lagi ahli berkecuali dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Apabila ini dapat dilaksanakan, penubuhan MRM 2.0 tidak lagi memerlukan formula 2:1:1 manakala semua pengagihan berdasarkan penggunaan iaitu lagu yang digunakan yang layak diberi royalti.
Ini bermakna sekiranya sebuah lagu yang tidak keluar langsung dalam mana-mana laporan penggunaan semua pihak berkenaan yang membayar royalti tidak akan mendapat apa-apa royalti atau satu kadar minimum berbentuk token sahaja.
Masalah kedua dapat diatasi adalah kos dapat dikurangkan kerana hanya ada satu badan sahaja yang membuat semua kerja dan ni mengurungkan kos kerana tidak memerlukan pejabat, kakitangan dan lain-lain alat komputer untuk membuat pengagihan.
Isu yang lebih penting adalah pengguna tidak lagi perlu berhadapan lima badan atau lebih yang mengenakan caj tidak masuk akal.
Syor tersebut telah pun diserahkan kepada kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang berjanji akan menelitinya. Isu membabitkan royalti artis dalam bidang nyanyian ini banyak membelenggu golongan tersebut.
Daripada wang terus tersimpan di Jabatan Insolvensi lebih baik wang berkenaan yang dikatakan mencecah jutaan ringgit diserahkan terus kepada artis yang layak bagi membayar nilai keringat mereka. Jangan peristiwa sebelum 1987 berulang kerana karya muzik dan seni tidak dibayar royalti
Pada ketika itu dua badan mengutip royalti iaitu MACP dan PPM diberi tanggungjawab mengutip royalti yang pada ketika itu mencecah lebih kurang RM 10 juta masing-masing selepas beberapa tahun operasi.
Freddie yang juga bekas Pengerusi MACP dilantik pada 1989 mahu isu ini diselesaikan segera.










