Mahu tingkatkan standard Batu Tiga

Mahu tingkatkan standard Batu Tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAYA pertuturannya yang sopan dan tertib membuatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid mudah didekati penduduk.

Memiliki bentuk badan ideal dan rupa paras menawan, selain baharu berusia 38 tahun, menjadi kredit untuk beliau menyantuni rakyat dengan lebih rapat terutama golongan muda di Batu Tiga.

Meskipun baharu penggal pertama di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, namun, Timbalan Ketua Pemuda Amanah ini nampaknya sudah lama mempunyai visi dan matlamat jelas tentang apa yang diperlukan untuk membangunkan Batu Tiga.

Danial Al-Rashid juga sering turun padang, malah, memberi bantuan dalam apa jua bentuk yang menjadi rutin bulanannya melalui inisiatif kerajaan negeri Selangor, manakala beliau adalah pelaksananya.

Siapa sangka, perkara itu ditunaikan selaras janjinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos lalu, menerusi Tekad 5 iaitu memperkasa sistem penyampaian inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk penduduk Batu Tiga.

BIODATA
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Matematik Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Penggal DUN: 1
Jawatan dan pengalaman:
 Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) selepas kerajaan melihat keupayaan beliau mengemudi Jabatan Anak  Istimewa Selangor (ANIS) pada 2020-2023
 Pegawai Khas kepada Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud (2019-2023)
 Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (2018-2020)
 Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor
 Adjunct Associate

 Professor, Universiti
Taylor

 Felo Penyelidik Luar di
Institut Kajian Pilihanraya
dan Pemajuan Demokrasi
(IESAD), Unisel

Mingguan Malaysia berpeluang menyaksikan interaksi antara beliau dengan penduduk menerusi program ringkas di beberapa lokasi di Batu Tiga, ternyata, kehadirannya sebagai wakil rakyat amat disenangi semua orang.

“Sebenarnya, program sebegini adalah aktiviti yang kami anjurkan setiap bulan, cuma masanya tidak menentu. Ia termasuk di dalam 46 inisiatif kerajaan negeri dan kami realisasikannya.

“Sejak awal saya dipilih saya tidak rasa kekok kerana saya percaya, kelebihan saya sebagai orang tempatan selain membesar di sini memberi banyak kelebihan, contohnya mengenali penduduk dan selok-belok permasalahan di kawasan.

“Jadi, mudah untuk saya berurusan selain saya juga berpengalaman sebagai ahli majlis. Sebab itu mengapa Batu Tiga amat dekat di hati saya,” katanya baru-baru ini.

Program itu menyaksikan beliau bersarapan bersama komuniti dan penyerahan baucer Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bernilai RM150 di Seksyen 19, Shah Alam.

Beliau turut mengadakan program Lawatan Peduli – Kelab Warga Emas dan Kolej Tingkatan Enam Shah Alam (KTESA), Lawatan Serahan Bantuan Muassasah di Seksyen 24 dan lawatan projek Selangor Penyayang Surau An-Najahiyah dan berakhir selepas solat Zohor.

Saya ingat lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos tahun lalu, Danial Al-Rashid menawarkan lima tekad dalam tempoh lima tahun beliau memegang mandat wakil rakyat, iaitu mengukuhkan pembangunan keluarga dan masyarakat Batu Tiga melalui agama, ekonomi dan pendidikan serta memastikan pembangunan di Batu Tiga mengutamakan dan menjamin kepentingan penduduk.

Selain itu, beliau juga bertekad meningkatkan daya tahan bencana dan banjir serta menjaga kebajikan pekerja gig dan golongan bekerja sendiri meluaskan laluan kerjaya melalui latihan peningkatan kemahiran.

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun DUN Batu Tiga adalah kawasan pesat membangun, namun Danial Al-Rashid sedar masih terdapat loophole perlu ditangani terutama aspek infrarakyat seperti sistem perparitan, jalan raya, pengangkutan awam, perumahan dan lain-lain.

“Masalah infra akan tetap berulang walaupun kita sudah selesaikan di satu kawasan lain, berlaku lagi di kawasan berlainan.

“Oleh kerana Batu Tiga ini adalah bandar lama atau permulaan sebelum Shah Alam dibangunkan selain kuasa ekonomi kebanyakannya di sini, jadi saya mahu angkat standard Batu Tiga ini ke tahap lebih tinggi dengan memastikan infrarakyat diselenggara.

“Saya juga suka dengan masyarakat di sini kerana masih mengekalkan tradisi Melayu lama seperti aktiviti kumpulan marhaban, kompang dan silat walaupun kebanyakannya hanya diamalkan oleh orang lama,” katanya.

Sementara itu, pesara, Ibrahim Saad, 75, yang menerima bantuan Insentif Haji Muassasah RM1,000 menzahirkan penghargaan dan terima kasih atau sedikit bantuan yang dihulurkan Danial Al-Rashid.

“Saya selesa berurusan dengan beliau, mungkin kerana beliau adalah lelaki dan lebih muda. Jika sebelum ini wakil rakyat adalah wanita, jadi, cara berurusan dan penyampaian itu berbeza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN