Jangan ada birokrasi antara wakil dan rakyat - Abbas Salimmi

Jangan ada birokrasi antara wakil dan rakyat

ABBAS Salimmi (lima dari kanan) bersama beberapa wakil penduduk dalam program Ibadah Qurban dan Majlis Kenduri Rakyat N29 bersama Masyarakat Kampung Batu 12 dan Kampung Sri Aman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP rendah dirinya membuatkan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang sangat selesa ketika bersua muka dengan wakil rakyat, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau diakui mudah memberi kerjasama dan membantu rakyat jika berdepan masalah, selain akan mengekalkan hubungan yang baik dengan semua pihak.

Manakan tidak, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor ini hampir setiap minggu ada sahaja program bersama komuniti, membuatkan rakyat sukar ‘menolak’ atau tidak hadir dalam programnya.

Tidak hairanlah mengapa beliau menggunakan cogan kata “Melestarikan Komuniti” dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu, yang jelas ditonjolkan melalui tindakannya sejak mewakili suara rakyat di DUN Selangor.

Di bawah prinsip itu, tiga aspek beliau tekankan untuk memperkasa kehidupan masyarakat iaitu kesihatan, keselamatan dan pendidikan.

Jika tercapai sepenuhnya, Abbas Salimmi percaya, kehidupan masyarakat Seri Serdang sudah lebih daripada sempurna dalam keadaan kawasannya sudah membangun.

Bagaimanapun, di sebalik kelebihan itu, beliau akui berdepan cabaran tersendiri kerana tidak mudah ‘mengurus manusia’ seperti isu hak pemilikan tanah dan rumah di DUN Seri Serdang.

“Kawasan ini memang membangun dan banyak aktiviti komersial. Boleh katakan, sudah sempurna. Tetapi, saya mahu meningkatkan lagi kualiti kehidupan masyarakat di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia dalam program Ibadah Qurban dan Majlis Kenduri Rakyat Bersama masyarakat Kampung Batu 12 dan Kampung Sri Aman, baru-baru ini.

Melalui program itu, pihaknya mengorbankan seorang lembu dan dua ekor kambing, sempena sambutan Aidiladha dengan peruntukan kira-kira RM30,000 oleh kerajaan negeri Selangor.

Abbas Salimmi sendiri melakukan proses penyembelihan sambil dibantu dan disaksikan penduduk kampung, kemudian aktiviti rewang manakala program Kenduri Rakyat diadakan secara rasmi pada waktu malam.

Dalam pada itu, Abbas Salimmi sebenarnya mahu rakyat benar-benar memahami dan menyelami konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BIODATA
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR)
Penggal DUN: 1
Jawatan dan pengalaman:
 Bekas Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) [2018-2020]
 Ahli Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negeri Selangor [2019-kini]
 Ahli Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) (2023- kini)
 Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional
 Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Selangor
 Ketua AMANAH Kawasan Puchong

“Kita maklum gagasan ini untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

“Jadi, saya mahu rakyat fahami. Walaupun kita mungkin berbeza pendapat, tetapi kita boleh saling hormat-menghormati dan kukuhkan perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Insaniah Kampung Seri Aman, Amali Pumiman, 53, berkata, Abbas Salimmi mudah dihubungi dan sentiasa berada dekat dengan rakyat.

“Beliau jenis yang rendah diri. Tiada batas komunikasi antara rakyat dengan wakil rakyat. Selagi beliau boleh bantu, akan dilakukan sehabis baik. Jika wakil rakyat dahulu, agak payah kerana proses birokrasi. Sekarang lebih mudah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN