Istiqamah ibadat sekembali tunai haji

Istiqamah ibadat sekembali tunai haji

AMAT penting kita kekalkan momentum ibadat sebagaimana kita berada di tanah suci yang puratanya sekitar 44 hari. Sepatutnya, segala amalan di Mekah dan Madinah dapat kita bawa balik dan praktikkan di kampung halaman atau tempat tinggal kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 25 Jun lalu, kumpulan pertama 280 orang jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Alhamdulillah, semoga semua jemaah haji negara selamat kembali ke tanah air dalam keadaan sihat walafiat. Pulang dengan semangat baharu untuk terus istiqamah melaksanakan ibadat sebagaimana di Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Satu lagi yang menjadi harapan setiap jemaah haji adalah beroleh haji yang mabrur. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Haji mabrur tidak ada ganjaran selayak baginya melainkan syurga dan antara dua umrah itu menjadi sebab penghapus kepada (dosa kecil) antara keduanya. (Riwayat Ahmad)

Menurut Imam An-Nawawi, di antara tanda-tanda haji mabrur adalah setelah selesai mengerjakan haji dan kembali ke tempatnya, dia menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik berbanding sebelumnya, tidak mengulangi maksiat, zuhud dengan dunia dan mengusahakan akhirat.

Dengan kata lain, bertambah baik amalan akhiratnya dan perbuatan seharian tidak disertakan dengan dosa.

Mabrur dari segi bahasa mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah SWT. Haji mabrur adalah haji yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya.
Menurut pendapat sebilangan ulama, haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil mahupun besar.

Mereka sentiasa kuat imannya dan semakin meningkat amal ibadatnya. Cuma hakikatnya, bukan mudah untuk melayakkan kita menerima ganjaran tersebut kerana ia menuntut keikhlasan dan jihad sepanjang pelaksanaan manasik tersebut.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amat penting kita kekalkan momentum ibadat sebagaimana kita berada di tanah suci yang puratanya sekitar 44 hari. Sepatutnya, segala amalan di Mekah dan Madinah dapat kita bawa balik dan praktikkan di kampung halaman atau tempat tinggal kita.

Cabaran pertama adalah semasa dalam perjalanan pulang dari tanah suci. Amat malang jika ada jemaah haji yang meninggalkan solat fardu semasa dalam pesawat. Kelalaian itu sama ada sengaja atau tidak, tidak patut berlaku terutama selepas kita selesai berjuang melipat gandakan ibadat sepanjang menjadi tetamu Allah.

Sesetengah pesawat ada menyediakan ruang untuk solat dan memang boleh untuk berjemaah setakat tiga orang. Jadi, janganlah kita ‘diperdaya’ oleh syaitan sehingga terlupa atau dilalaikan daripada menunaikan solat fardu sepanjang tempoh lapan ke sembilan jam penerbangan itu.

Berikut adalah beberapa amalan yang patut diteruskan sekembali daripada menunaikan haji.

SOLAT JEMAAH
Sepanjang tempoh di tanah suci, kita menjalani latih-tubi yang cukup jitu untuk melaksanakan solat berjemaah. Ramai yang bergerak dari hotel seawal pukul 3 pagi ke Masjidil Haram sama ada untuk tawaf sunat, tahajud dan sebagainya.
Pendek kata, memang tidak pernah terlepas solat subuh berjemaah di masjid. Sepatutnya, hal yang sama kita lakukan di Malaysia. Walaupun mungkin tidak bangun satu jam atau dua jam awal untuk ke masjid, aturkan agar dapat qiamullail setiap malam di rumah.
Bangun kira-kira satu jam selepas waktu subuh dan bermunajatlah kepada Allah. Bagi kaum Adam jadikan motto, ‘tiada hari tanpa solat jemaah’.
Pengisian dengan solat sunat juga salah satu amalan yang patut dibuat berterusan. Jika sebelum ini liat mahu solat sunat rawatib, hajat, taubat, tasbih, duha dan tahajud, sebagai usaha penambahbaikan, banyakkanlah solat-solat sunat ini.
Sebabnya, ia dapat menampung kekurangan ibadat wajib yang dilakukan oleh seseorang.

BACA AL-QURAN
Amalan membaca al-Quran perlu dimasukkan dalam jadual seharian. Pastikan kita peruntukkan masa setidak-tidaknya membaca beberapa potong ayat al-Quran.
Jika masih ada kekurangan dalam pembacaan, disarankan mencari guru supaya bacaan bertambah baik. Perlu diingat bahawa al-Quran adalah kalimah Allah yang mesti berada dalam hati setiap masa.
Paling tidak, jangan tinggal baca surah al-Ikhlas tiga kali waktu pagi dan petang. Ganjaran membaca surah ini sekali adalah sepertiga al-Quran.
Ia sebagaimana imam al-Bukhari pernah meriwayatkan dari Abu Sa’id r.a, ia berkata, “Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya yang bermaksud: “Apakah salah seorang di antara kalian tidak mampu membaca sepertiga al-Quran dalam satu malam?” Maka, sahabat merasakan itu adalah sesuatu yang begitu berat untuk dilakukan sehinggalah mereka berkata, “Siapa di antara kami yang mampu melakukannya wahai Rasulullah? Maka beliau bersabda: “Allaahul Waahidul Somad (surah al-Ikhlas) itu sepertiga al-Quran.

BANYAKKAN ZIKRULLAH
Tujuan berzikir adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, meningkatkan kesedaran diri, keimanan dan menguatkan hati dan fikiran. Zikir boleh dilakukan dengan pelbagai macam doa atau kalimat-kalimat tertentu yang mengandung pujian atau permohonan kepada Allah SWT.

Antaranya Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), Allah Akbar (Allah Maha Besar) atau La ilaha illallah (Tiada Tuhan selain Allah).
Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ingatlah kepada-Ku niscaya Aku akan ingat (pula) kepadamu. (al-Baqarah: 152).

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. (al-Baqarah : 200)

Antara kelebihan zikir adalah menjauhkan diri daripada syaitan dan menghancurkan kekuatannya serta menarik keredaan Allah, menguatkan hati, wajah bercahaya dan melahirkan rasa cinta kepada Allah.

MEMBANYAKKAN DOA
Doa adalah senjata orang mukmin. Justeru, jangan kita abaikan amalan ini setiap masa terutama usai solat fardu. Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Kaya suka kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa memohon kepada-Nya. Makin banyak kita mohon kepada Allah, makin Allah suka.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (Ghafir: 60) – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN