Hapuskan amalan buruh paksa ke atas kanak-kanak

Hapuskan amalan buruh paksa ke atas kanak-kanak

MENURUT laporan daripada Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), terdapat kira-kira 152 juta kanak-kanak yang terlibat dalam buruh kanak-kanak di seluruh dunia. Kebanyakan mereka terlibat dalam sektor pertanian, pembinaan, dan pembuatan,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASULULLAH SAW bersabda bahawa “Hendaklah kamu muliakan anak-anak kamu, dan didiklah mereka dengan adab yang baik (terpuji)” sebagai pesanan buat umat manusia agar tidak sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa yang beramanah.

Tugas ibu bapa bukan sekadar memberi makan atau pakai semata-mata, tetapi lebih daripada itu. Tugas mendidik, mengajar, mengasuh, dan memberi hak sewajarnya kepada kanak-kanak adalah beban yang wajib disangga oleh setiap ibu bapa, malah perlu dipikul oleh masyarakat setempat bagi memastikan pembentukan generasi masa hadapan yang sejahtera.

Amat menyedihkan melihat situasi semasa apabila masih wujud segolongan besar kanak-kanak yang seperti malang tiada datang tunggal dek terpaksa membanting tulang dan mengerah keringat akibat paksaan dan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mana mungkin anak-anak ini dapat menuntut ilmu dan berfikir untuk memahami dunia sebaiknya andai tulang empat kerat mereka digunakan tanpa belas kasihan demi mengaut keuntungan besar.

Ironi sekali kerana walaupun Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia disambut pada setiap 12 Jun, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa terdapat 22 kanak-kanak yang diselamatkan daripada dieksploitasi sebagai buruh paksa menerusi Op Mega Pintas di Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu. Manakala pada tahun 2023, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menyelamatkan lima kanak-kanak warga asing yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan sebuah kilang memproses barang terpakai di Teluk Panglima Garang, Selangor.

Sudah jatuh ditimpa tangga, pelbagai dakwaan buruh paksa telah dilontarkan oleh organisasi antarabangsa terhadap Malaysia kebelakangan ini terutamanya yang melibatkan industri sarung tangan getah dan perladangan sawit. Kesannya, Malaysia disarankan untuk membuat penambahbaikan berterusan untuk pematuhan di bawah penilaian Laporan Pemerdagangan Orang yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2023. Sehubungan itu, garis panduan mencegah dan membasmi amalan buruh paksa di tempat pekerjaan telah dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bagi memenuhi komitmen antarabangsa untuk menghapuskan sebarang bentuk amalan buruh paksa di Malaysia menjelang 2030.

Undang-undang sedia ada yang mengawal buruh kanak-kanak di Malaysia melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kerja 1955, serta Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966. Asasnya, kanak-kanak tidak boleh dilibatkan dalam kerja yang berbahaya dan pendidikan diwajibkan bagi kanak-kanak sehingga usia 17 tahun. Had umur minimum untuk bekerja pula ialah 15 tahun. Dalam garis panduan JTKSM, pekerjaan yang dibenarkan untuk kanak-kanak adalah kerja ringan yang tidak memudaratkan kesihatan, mental dan keupayaan fizikal, atau tidak menjejaskan kehadiran dan pembelajarannya ke sekolah.

Secara global, buruh paksa kanak-kanak merupakan satu masalah yang kritikal terutamanya di negara-negara membangun seperti India, Bangladesh, dan beberapa negara di Afrika. Menurut laporan daripada Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), terdapat kira-kira 152 juta kanak-kanak yang terlibat dalam buruh kanak-kanak di seluruh dunia. Kebanyakan mereka terlibat dalam sektor pertanian, pembinaan, dan pembuatan,

Untuk menangani masalah buruh kanak-kanak di peringkat antarabangsa, beberapa undang-undang dan perjanjian telah diperkenalkan. Antaranya ialah Konvensyen ILO No. 138 mengenai Umur Minimum untuk Dibenarkan Bekerja dan Konvensyen ILO No. 182 mengenai Bentuk-bentuk Buruh Kanak-Kanak yang Paling Buruk. Konvensyen No. 138 menetapkan umur minimum untuk bekerja iaitu tidak kurang daripada umur tamat persekolahan wajib, dan tidak kurang daripada 15 tahun, manakala Konvensyen No. 182 menuntut penghapusan segera segala bentuk buruh kanak-kanak yang berbahaya dan eksploitatif. Selain itu, Malaysia komited kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memainkan peranan penting dalam melindungi hak kanak-kanak daripada eksploitasi ekonomi dan pekerjaan yang berbahaya, serta memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk pendidikan. Malaysia juga meratifikasi Deklarasi Pendidikan untuk Semua (EFA) yang menekankan pentingnya pendidikan berkualiti bagi semua kanak-kanak.

Pendidikan berkualiti tidak mampu digarap sekiranya kanak-kanak dihalang daripada mendapat akses kepada persekolahan, baik secara formal atau tidak formal. Paksaan terhadap golongan ini untuk bekerja di bawah tekanan tinggi dan suasana ekstrem hanya akan melemahkan tubuh badan kecil serta minda mereka yang rakus berkembang. Cukup zalim sekali manusia apabila sanggup menghancurkan kebahagian yang sempurna melalui penidakan hak pembelajaran yang baik.

Memang benar wujud cabaran dalam usaha menghapuskan buruh kanak-kanak seperti kemiskinan, kekurangan akses kepada pendidikan, dan kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang, namun semua pihak digesa pantang patah di tengah. Baik kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat antarabangsa perlu bersatu padu merangka seribu satu inisiatif seperti program-program bantuan kewangan dan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan. Tuntasnya, impian penulis adalah untuk melihat generasi anaknya dapat menikmati kehidupan bermaruah, dimuliakan dan akhirnya terdidik untuk sentiasa mendahagakan ilmu yang laksana pelita hidup. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Pengarah Komunikasi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN