Guna nama anak buat pinjaman punca anak muflis? - Utusan Malaysia

Guna nama anak buat pinjaman punca anak muflis?

Ramai yang nama mereka disenarai hitam dan tidak kurang juga mempunyai skor kredit yang tidak ‘cantik’ tidak boleh membuat pinjaman bank dan menggunakan nama anak untuk tujuan itu. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH muda tetapi sudah terjebak dengan pelbagai komitmen hutang? Akhirnya setiap kali dapat gaji, ditolak semua hutang, baki yang tinggal tidak sampai RM100. Orang sekarang selalu berkata, hidup ini memang ‘keras’. Tetapi boleh fikirkan juga, ada waktunya, diri sendiri yang mengundang keras itu.

Apabila bercakap tentang isu anak muda yang ramai muflis, banyak pihak terus mengaitkannya dengan gaya hidup. Golongan muda yang jatuh bankrap ini dilabel sebagai orang yang mengamalkan konsep hidup ‘biar papa asalkan bergaya’.

Bukan setakat itu, mereka juga dikatakan tidak pandai mengurus kewangan, berbelanja melulu tanpa tujuan walhal kalau kita perhatikan di sekeliling kita yang telah berusia lanjut pun ramai juga ‘sama naik’ berbelanja tanpa perasaan.

Kita juga diberitahu bahawa punca utama anak muda ini muflis kerana ‘sangkut’ dalam membayar pinjaman kenderaan, kad kredit atau pembiayaan rumah dan pada masa sama masih menanggung pinjaman pendidikan.

Bagaimanapun, pernah tak kita terfikir, terdapat dalam kes-kes tertentu muflis itu datangnya bukan daripada keinginan mereka yang meluap-luap berbelanja besar untuk nampak hebat dan bergaya.

Sesuatu yang agak pahit juga untuk kita telan adalah apabila mengetahui golongan ini terjebak dengan hutang keliling pinggang kerana ‘membalas jasa’ ibu bapa dengan akur akan kehendak orang tua mereka untuk mendapatkan pinjaman bank, membeli kenderaan dan juga rumah.

Ada dalam kalangan ibu bapa, apabila anak-anaknya sudah habis belajar universiti dan mendapat pekerjaan, mereka ini ‘mengambil peluang’ menggunakan nama anak untuk pinjaman peribadi, pinjaman bersama membeli rumah dan juga kenderaan.

Seorang penjual kereta bercerita kepada saya, ada anak muda yang baru bekerja, gaji tidak sampai RM2,000 tetapi bertanyakan kepadanya bolehkah dia membeli kereta Proton x70?

Apabila disyorkan beli kereta yang kecil dan agak murah bersesuaian dengan kelayakan gaji dan sebagai permulaan memasuki fasa pekerjaan, barulah buka cerita sebenarnya kereta itu bukan untuknya tetapi bapanya yang tidak lulus pinjaman bank kerana nama telah disenarai hitam.

“Ramai juga anak muda begini, mereka mahu beli kereta bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang tua mereka yang tidak boleh lagi membuat pinjaman bank atau sudah disenaraihitam dan tidak mempunyai skor kredit yang baik,” kata jurujual itu.

Yang menjadi masalahnya, apabila ibu bapa tidak dapat menjelaskan bayaran ansuran pinjaman bank, akhirnya si anak terpaksa melangsaikan sendiri dengan gaji yang tidak sampai RM2,000 itu.

Yang lebih berat, bukan setakat membayar pinjaman tersebut, mereka juga ada pinjaman pendidikan yang jauh lagi tempohnya untuk habis bayar.

Ini tentunya memberi beban kewangan yang teruk kepada si anak dan apabila tidak mampu melunaskan semua itu, mereka jadi muflis dalam usia yang terlalu muda.

Sepatutnya, dalam fasa baru meneroka alam pekerjaan, mereka ini harus dibiarkan ‘bernafas’ oleh ibu bapa dengan tidak membebankan anak-anak dengan macam-macam hutang bank untuk keluarga.

Tidak salah menumpang sedikit kesenangan apabila anak-anak sudah bekerja, tetapi yang tidak betulnya, anak yang juga ada kehidupan sendiri terpaksa menanggung hutang seumur hidup dengan pelbagai sekatan apabila diisytihar muflis.

Muflis dalam usia yang muda, akan menyusahkan. Ini kerana akaun bank dibekukan, tidak boleh membuka akaun bank baru, tidak boleh ada harta dan macam-macam lagi.

Apatah lagi apabila mereka punya keluarga sendiri nanti, pasti mahu membeli rumah dan kenderaan sendiri. Mereka mempunyai banyak lagi masa untuk menongkah kehidupan ini, bila sudah diisytihar muflis, ia menyukarkan banyak urusan.

Sebab itu, saya rasa ramai yang bersetuju kalau saya katakan, menjadikan anak-anak sebagai pelan persaraan ibu bapa nanti atau pelan untuk membeli rumah dan kenderaan keluarga, adalah satu langkah yang salah.

Tidak rasa sedihkah apabila melihat anak-anak menanggung segala beban itu? Dalam diam, mereka ini tidak bersuara, telan segala sengsara itu kerana mahu membalas jasa orang tua.

Sebab itu juga, apabila kita mahu membuat pinjaman peribadi dengan bank, atau seumpamanya, pastikan ia dilakukan kerana sebab-sebab penting. Ini kerana apabila tidak dapat membayar, disenarai hitam oleh bank, akhirnya anak-anak yang baru bekerja pula dijadikan ‘mangsa’ untuk membuat hutang baru.

Berdasarkan maklumat Jabatan Insolvensi Malaysia, seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memberi pelepasan kebankrapan kepada mereka yang diisytiharkan muflis dengan jumlah hutang berskala kecil di bawah RM50,000 yang memenuhi syarat bermula 1 Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, hampir 40,000 individu telah diberikan pelepasan daripada senarai bankrap menerusi Dasar Peluang Kedua setakat Februari tahun ini.

Berhutang seumur hidup tentulah bukan jalan hidup yang menyeronokkan. Sebab itu, ramai yang apabila sudah langsai membayar sesuatu pinjaman bank pasti mereka berasa amat lega dan aman hidup serta berazam tidak mahu berhutang lagi.

Ada yang berkata, tidak ‘meriah’ lah hidup tanpa hutang. Betul, ada yang kita perlu pinjam bank untuk beli rumah dan kenderaan. Tetapi jangan culas atau sengaja menangguhkan bayaran hingga menyukarkan kehidupan keluarga sendiri.

Bukan setakat hutang bank, ada yang hutang dengan orang sekeliling pun, liat hendak bayar tetapi elok sahaja bercuti ke sana sini dan menayangnya di media sosial. Ini perangai buruk orang kita apabila berhutang tetapi jadi lupa diri ketika berbelanja. Hidup ini tidaklah keras sangat, kalau kita sendiri yang tidak pasal-pasal mencari pasal.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN