100 tahun operasi: Dari Tambak Johor kepada RTS Link

100 tahun operasi: Dari Tambak Johor kepada RTS Link

Sindiket tertentu mengenakan bayaran RM20,000 untuk membawa masuk warga Bangladesh dari negara jiran menerusi Tambak Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini genap 100 tahun Tambak Johor selepas beroperasi pada 28 Jun 1924. Struktur tambak serpihan sepanjang 1.056 kilometer di muara Sungai Segget, Johor Bahru itu menjadi saksi pelbagai peristiwa penting dan warna-warni hubungan Malaysia-Singapura.
Tambak itu menjadi platform memperkukuhkan hubungan diplomatik, perdagangan, komoditi, budaya, bekalan utilities dan pastinya aktiviti merentas sempadan bagi rakyat kedua-dua negara. Tidak dinafikan, dalam tempoh satu abad itu kedua-dua kerajaan tidak sunyi dengan isu berkaitan Tambak Johor.

Suatu masa, Malaysia mahu meruntuhkan tambak itu untuk diganti jambatan separuh bengkok dan terowong bawah laut – itu pun memanaskan hubungan dua negara berjiran ini. Apa yang menarik, apapun status hubungan peringkat kerajaan namun ia tidak menjadi hal di peringkat rakyat dalam menjalani rutin menerusi Tambak Johor.

Ratusan ribu pekerja Malaysia dan rakyat Singapura merentas sempadan saban hari. Tambak Johor membolehkan penduduk Singapura tidak putus-putus datang mengisi petrol, mencuci kereta, makan, berlibur dan membeli barang kerana faktor nilai tukaran mata wangnya lebih tinggi. Mereka menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi yang dinikmati warga Johor Bahru khususnya.

Tambak Johor juga simbol hubungan istimewa. Ini membina simbiosis kerana faktor ikatan budaya, keluarga serta kerja rakyat kedua-dua negara. Tambak Johor juga tidak pernah ditutup (kecuali ketika pandemik Covid-19 dan rosak dibom tentera British bagi menghalang tentera Jepun mara ke Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada 1942).

Laluan retro itu juga sinonim dengan kesesakan dengan punca yang sukar dijangka atau boleh diramalkan. Walaupun matlamat mencapai tahap sifar sesak di Tambak Johor pada usia 100 tahun mungkin sukar namun langkah mengurangkannya tetap kritikal.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memberitahu, pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang beroperasi pada 2027 bakal menjadi penyumbang utama menyuraikan kesesakan di Tambak Johor.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor berkata, kaedah, pengalaman dan koordinasi pelbagai agensi telah diteliti untuk mengurangkan tempoh menyeberangi Tambak Johor.
Hasil penelitian itu, tiga tindakan telah dilaksanakan iaitu menyatukan kaunter Touch ‘n Go dan caj jalan bagi kemasukan dari Singapura. Kedua, mengaktifkan laluan kontra bagi mengurangkan masa beratur, serta ketiga; menambah bas perantara bagi membawa penumpang ke CIQ Singapura bagi mengurangkan kebanjiran penumpang yang menunggu bas di hentian bas CIQ Malaysia.

Mohamad Fazli turut memaklumkan kerajaan kedua-dua negara sedang meneliti beberapa cadangan termasuk mewujudkan perkhidmatan feri menghubungkan dua negara, terutamanya dari Johor Bahru-Singapura.
“Cadangan menambah kekerapan dan gerabak perkhidmatan KTMB Shuttle Tebrau juga sedang diteliti. Namun ikhtiar ini tertakluk kepada persetujuan Singapura yang berdepan beberapa kekangan, antaranya aspek berkaitan kapasiti imigresen,” katanya.
RTS Link adalah perkhidmatan tren ulang-alik di atas landasan empat kilometer antara Stesen Woodlands North dan Bukit Cagar.

Pengangkutan itu diyakini berupaya menangani sebahagian cabaran pergerakan rakyat kedua-dua negara kerana mampu membawa sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi kedua-dua hala sekali gus bakal meredakan kesesakan Tambak Johor.
Bagi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Tambak Johor kekal relevan dan signifikan dalam perkembangan kini bahkan masa akan datang. Beroperasinya RTS Link kelak tidak mengurangkan peranan Tambak Johor malah laluan itu akan merancakkan aktiviti lagi ekonomi di Johor Bahru apabila Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ) dilaksanakan.

“Pada 100 tahun dahulu, pembinaan Tambak Johor adalah game changer yang akan membawa perubahan kepada Johor Bahru termasuk ekonominya. Kini selepas 100 tahun, game changer 2.0 adalah RTS Link. Ertinya, era itu berubah daripada Tambak Johor kepada RTS Link,” kata Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Namun bagi beliau, kedua-duanya adalah nadi kepada aliran pergerakan tenaga kerja, pelancong dan perdagangan yang mempercepatkan urbanisasi serta modenisasi Johor Bahru dalam mencapai pembangunan sebagai ‘Lembah Klang Kedua’.
“Selain integrasi sistem pengangkutan awam, penyusunan semula aliran trafik dan memperkukuhkan konsep 20 Minute City, saya akui kedua-dua sistem pengangkutan itu menjadi antara komponen utama kejayaan Greater Johor Bahru kelak. “Tambak Johor adalah laluan penting pergerakan kenderaan barangan dan perkhidmatan ketika ini dan masa akan datang. RTS Link pula saluran untuk pergerakan manusia,” katanya.

Kecekapan dan kepantasan RTS Link akan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sekali gus meredakan kesesakan zon Tambak Johor serta di Pusat Bandaraya Johor Bahru. Ini akan menyumbang kepada penurunan kadar pelepasan karbon dioksida dan meningkatkan kualiti kehidupan warga bandaraya itu.

Kemasukan pelancong menerusi RTS Link pula akan menyumbang kepada kerancakan khasnya perniagaan dan perkhidmatan. Pertumbuhan ini akan mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk khususnya dalam lingkungan MBJB dan Greater Johor Bahru. Beliau melihat apabila RTS Link dan Tambak Johor beroperasi serentak, ia akan mencetuskan fenomena kehadiran lebih ramai pelancong berkualiti dengan pelbagai gaya dan budaya dari seluruh dunia.

Ini menuntut penduduk mahupun peniaga tempatan menukar set minda bahkan strategi perniagaan. Antaranya, meningkatkan kebersihan premis dan persekitaran selain bijak memilih produk yang sesuai serta cara perniagaan dijalankan. “Ringkasnya, standard sikap dan kehidupan kita perlu ditingkatkan mulai sekarang,” katanya sambil memberitahu MBJB turut memperketatkan standard, peraturan dan pemantauan semua premis perniagaan bagi menzahirkan persekitaran lebih berkualiti serta mencapai status bandaraya antarabangsa.

Idea melebarkan Tambak Johor atau membina Tambak Johor 2.0 tidak boleh dinafikan kerana akan menambah laluan bagi semua kenderaan. Ikhtiar ini juga praktikal supaya imej kesesakan berjam-jam tidak menjadi fiasco serta trademark Tambak Johor untuk 100 tahun lagi.
Justeru, selepas seabad beroperasi, semua pihak terlibat wajar bergabung bagi melakar pelan pembangunan jangka panjang yang komprehensif bagi kawal tadbir, operasi dan kawalan keselamatan sempadan di zon Tambak Johor untuk 100 tahun lagi.
Ini bagi memastikan setiap ikhtiar penambahbaikan dan peningkatan kecekapan pengurusan mampu memenuhi keperluan serta seimbang dengan prestasi pengurusan serupa di CIQ Woodlands. – UTUSAN

PENULIS adalah pengamal dan perunding media, komunikasi, penulisan serta penerbitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN