KESUSAHAN MOTIVASI UNTUK CEMERLANG
MUHAMMAD Irfan Azhar,18, memperoleh keputusan cemerlang semua 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam keadaan serba kekurangan bukan penghalang bagi anak tukang rumah dengan pendapatan RM1,500 sebulan itu mengecapi kejayaan.
Kejayaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad itu sekali gus mengharumkan nama sekolah berkenaan yang terletak di pinggir bandar.
Antara kata-kata Muhammad Irfan semasa saya dan jurugambar membuat liputan kisah kejayaannya itu ‘kesusahan hidup bukan melemahkan semangatnya sebaliknya memberi motivasi untuk dia terus berusaha berjaya dalam pendidikan sekali gus ingin membantu mengubah nasib keluarga pada masa depan’.
Manakala bapa kepada Muhammad Irfan, Azhar Sabu, 49, pula meluahkan dengan penuh sayu bercampur kegembiraan kepada saya bahawa keringat peluhnya setiap hari berbaloi apabila melihat anak berjaya dalam pendidikan.
Bagaimana susah sekali pun mencari pendapatan, dia tetap akan berusaha keras demi pendidikan anak-anak.
OKU CEMERLANG
Utusan Malaysia juga membuat liputan satu lagi kisah menarik yang cukup memberi inspirasi kepada masyarakat mengenai kejayaan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) mengalami masalah penglihatan yang memperoleh 8A dalam SPM.
Disebalik keadaan Maryam Zaheerah Abdullah, 18, tidak seperti pelajar-pelajar lain, bapa pula mengalami masalah kesihatan apabila lumpuh sejak dia kecil dan ibu hanya menoreh getah bagi menampung kehidupan mereka namun langsung tidak melemahkan semangat remaja itu mengecapi kejayaan yang dianggap luar biasa.
Maryam Zaheerah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah yang juga merupakan sekolah luar bandar.

KEHILANGAN AYAH BUKAN HALANGAN
Satu lagi kisah yang dilaporkan Utusan Malaysia juga cukup menyayat hati mengenai kekuatan semangat Ernie Natasya Emizal, 18 yang kehilangan ayah tercinta pada malam sebelum menduduki peperiksaan namun berjaya bangkit memperoleh 8A dalam SPM sekali gus menjadi hadiah paling bermakna khas untuk arwah bapanya.
Ernie Natasya merupakan bekas pelajar SMK Guar Nangka yang juga merupakan sekolah luar bandar yang mana kebanyakkan pelajar merupakan anak penoreh getah, pesawah serta golongan B40 namun terus menunjukkan peningkatan saban tahun apabila pada tahun lalu, sekolah berkenaan merekodkan 100 peratus calon layak mendapatkan sijil.

KEPUTUSAN TERBAIK
Tiga kisah tersebut cukup memberi inspirasi apabila kesusahan atau kehidupan serba kekurangan sebenarnya bukan penghalang untuk seseorang mengecapi kejayaan.
Lebih istimewa lagi mengenai pencapaian keseluruhan SPM di negeri ini bagi tahun lalu apabila jurang pencapaian calon sekolah bandar dan luar bandar menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 0.08 mata nilai Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu 0.84 pada 2023 berbanding 0.92 pada tahun sebelumnya.
Pencapaian calon di luar bandar juga turut menurun sebanyak 0.14 mata GPS iaitu 5.37 pada 2023 berbanding 5.51 pada 2022 sekali gus menunjukkan peningkatan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar sebanyak 0.08 mata GPS.
Yang lebih penting adalah usaha pelajar itu sendiri yang tidak mengenal erti putus asa selain sokongan keluarga dan guru-guru bagi melihat anak-anak sekolah ‘luar bandar’ juga mampu mengecapi kejayaan cemerlang meskipun serba kekurangan.
Dalam pada itu, prestasi SPM 2023 di Perlis juga sangat baik dengan calon mendapat semua A meningkat apabila merekodkan 50 calon memperoleh semua A berbanding 2022 (47 calon), 2021 (39 calon), 2020 (34 calon) dan 2019 sebanyak 43 calon.
Perlis juga merekodkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik pada tahun 2023 iaitu sebanyak 4.74 berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.82 manakala peratus lulus pula mencecah 95.05 peratus berbanding 2022 (93.33 peratus), 2021 (88.35 peratus), 2020 (88.41 peratus) dan 2019 (85.39 peratus).
Sama ada memperoleh keputusan cemerlang atau tidak, mereka perlu bersedia mendepani kehidupan lebih mencabar selepas ini dan percaya rezeki Allah SWT itu cukup luas.-UTUSAN










