KITA sering merungut, semakin meningkat dewasa, semakin kita tidak boleh bergembira seperti dahulu, sedangkan semasa kecil, kita sering bercita-cita ingin menjadi dewasa dan lari daripada kepompong sekolah. Sekolah, pelajaran dan guru-guru dianggap ‘anasir jahat’ yang mengganggu gugat kehidupan harian.
Jika difikirkan semula rakan-rakanlah punca untuk menarik minat seseorang kanak-kanak untuk terus ke sekolah. Jika ada yang benar-benar pergi ke sekolah untuk menuntut ilmu, hanya segelintir sahaja.
Boleh dikatakan kanak-kanak yang berusia dua hingga 12 tahun, lebih berjurus untuk bermain sahaja. Mereka ingin bebas daripada belenggu, tanpa terikat pada sesuatu keadaan merunsingkan. Kebebasan adalah kesukaan mutlak kanak-kanak.
Saya tidak pernah ke tadika. Ibu dan bapa saya mengajar mengenali abjad ABC sejak saya berumur tiga tahun lagi, begitu juga dengan abjad-abjad dalam bahasa Tamil yang berbunyi A , Aa, E, Ee. Beberapa perkataan Inggeris dan Tamil turut diajar sebelum menjejak kaki ke sekolah.
Hari pertama di sekolah adalah hari yang mendebarkan dan menakutkan saya. Saya tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain selain adik-beradik. Kehidupan saya sedikit berubah apabila dimasukkan ke sekolah kebangsaan (bekas sekolah Inggeris) pada tahun 1975.
Kebanyakan pelajar kelas di darjah satu itu terdiri daripada pelajar berbangsa Melayu, Cina dan India. Pelajar kaum India amat kurang. Saya hanya fasih bercakap dalam bahasa ibunda saya, iaitu bahasa Tamil. Pelajar perempuan yang duduk di sebelah saya ialah seorang Melayu. Guru kelas saya pula seorang guru perempuan Cina.
Saya menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi. Untuk ke tandas pun saya tangguhkan hingga waktu rehat dan tamat sekolah. Saya tidak tahu ayat apa yang perlu digunakan untuk minta kebenaran ke tandas. Tidak pula saya ceritakan perkara ini di rumah.
Saya mengambil keputusan untuk berkawan dengan pelajar kaum India sahaja seperti Rajaram dan Chandran. Ibu pula lebih suka saya meluaskan pergaulan bersama pelajar Melayu dan Cina. Cadangan itu amat menyusahkan saya ketika itu.
Walaupun pada peringkat awal, saya menghadapi kesukaran untuk bergaul. Lama-kelamaan saya sendiri hairan bagaimana saya sudah boleh bertutur sedikit sebanyak dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Yang paling pelik, saya tidak tahu bagaimana saya memahami maksud setiap perkataan yang dituturkan oleh mereka. Ia masih menjadi tanda tanya hingga sekarang.
Alam kanak-kanak bersama rakan-rakan pelbagai kaum di Sekolah Rendah Kebangsaan Sulaiman, Bentong bertambah baik dengan adanya aktiviti-aktiviti kokurikulum seperti pengakap dan pancaragam. Banyak perkara yang kami alami bersama-sama, baik yang indah dan yang melecehkan, malah kelakar pun ada.
Menghadiri aktiviti kokurikulum adalah suatu escapism. Ia memesongkan minda sebentar daripada pembelajaran akademik.
Nasi lemak di kantin yang berharga 10 sen, bau tandas, padang sekolah, bangunan kayu, setiap lorong menuju ke kelas Muzik dan P.O.L, gelak ketawa, tumbuk-menumbuk, memanggil nama bapa, bermain guli di bawah kelas yang berpasir, semua ini adalah pengalaman ketika zaman kanak-kanak dari tahun 1975 hingga 1980.
Pemikiran saya ketika itu hanya satu sahaja. Saya perlu puas. Biar kerja sekolah yang dibuat tidak betul. Yang penting kerja sudah disiapkan walaupun dibuat secara tergesa-gesa, pada waktu pagi di kelas.
Ketika berusia 11 tahun, saya ke pawagam sendirian tanpa pengetahuan ibu bapa. Sebelum ini, kami sekeluarga akan ke pawagam untuk menonton filem Tamil sahaja. Saya pula berjinak-jinak mengumpul wang poket yang diberi oleh bapa, digunakan untuk menonton wayang gambar Melayu, Inggeris dan kadang-kadang filem Cina.
Saya bercakap bohong dengan mengatakan ke kelas kokurikulum tetapi ‘melencong’ pula ke pawagam yang terletak tidak jauh dari rumah. Cuma perlu berhati-hati dengan asap rokok yang dihisap oleh penonton dalam pawagam.
Bau rokok akan melekat pada pakaian. Untuk menghindarkan daripada pengetahuan mereka di rumah, saya cepat-cepat akan mandi setelah balik rumah. Hingga kini saya hairan, bagaimana saya boleh melakukan perkara seperti itu pada usia kecil itu.
PERBEZAAN
Alam kanak-kanak ketika itu sangat berbeza dengan sekarang. Pada zaman yang tidak mempunyai apa-apa gajet itu, kami perbanyakkan masa bersama alam. Apa yang ada di sekeliling kita itu dijadikan mainan. Kayu boleh dijadikan senapang. Terung pipit boleh dijadikan peluru. Kertas boleh dijadikan kapal atau kapal terbang. Labah-labah boleh dijadikan pemain gusti. Selipar, kad bercantum-cantum dan tin Milo boleh dijadikan boling. Rakan-rakan boleh dijadikan sebagai pencuri dan polis.
Ya, sungguh meriah ketika itu walaupun apabila lewat pulang ke rumah, ibu akan sedia menunggu bersama rotan nipis yang panjang. Pada hari itu seluruh badan akan bergaris-garis dan lebam-lebam. Air mata akan bercucuran. Pelbagai perasaan akan menyelinap di dalam hati.
Paling menggerunkan di alam persekolahan adalah peperiksaan dan markah yang akan diterima kemudian. Sudahlah mengulangkaji mata pelajaran suatu perkara yang membebankan. Hendak duduk peperiksaan satu hal lagi. Kemudian markah pula perlu bagus.
Menerima kad laporan sebelum berakhirnya sesuatu penggal persekolahan dengan markah-markah yang tidak seberapa; lebih-lebih lagi dalam mata pelajaran matematik memang akan menjadikan saya trauma.
Kad laporan perlu ditunjukkan kepada ibu bapa dan perlu ditandatangani oleh mereka berdua. Markah-markah yang berwarna merah akan menjadi tumpuan mereka. Kadang-kadang boleh terlepas dan kadang-kadang dimarahi atau dirotan. Dengan perasaan berbaur itulah kad laporan berpindah tangan semula ke meja guru.
Banyak lagi pengalaman yang dialami semasa kanak-kanak. Ia boleh ditulis di bawah pelbagai tajuk. Ia boleh dijadikan rujukan kepada diri sendiri mahupun mereka yang meminati nostalgia.
Generasi sekarang boleh jadikan ia sebagai panduan untuk mengenal baik dan buruk yang dialami oleh generasi terdahulu. Dan ia akan menjadi bahan sejarah yang amat penting di suatu masa kelak. – UTUSAN
PENULIS ialah penulis karya kreatif dan bukan kreatif bahasa Malaysia dan bahasa Tamil sejak 1987.










