“KERAJAAN-KERAJAAN lain cakap macam-macam, hidup sana hidup sini, tetapi gaji penjawat awam tetap tidak naik, tetapi kerajaan madani mulai 1 Disember depan akan membelanjakan lebih daripada RM10 bilion untuk memberi kenaikan terbaik dalam sejarah kepada penjawat awam.”
Itulah yang diucapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat yang menyentuh penjawat awam pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
“Paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam di negara ini adalah 13 peratus. Pada tahun ini saya akan mengumumkan kenaikan itu lebih tinggi daripada 13 peratus. Ini adalah kenaikan paling baik dalam sejarah negara, saya akan umumkan kerana kita akan meneliti dari segi kewangan.
“Kita akan meneliti bagaimana kita boleh menampung kenaikan gaji ini tetapi pada masa sama hutang mesti kurang dan defisit mesti rendah, ini memerlukan kepakaran luar biasa, susah macam mana pun saya lega kerana kita tunaikan amanah kepada rakyat,” kata Perdana Menteri lagi.
Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu ini akan memulakan satu kriteria pengukuran baharu iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap mesti lebih daripada RM2,000.
Ini kerana pendapatan menyeluruh minimum penjawat awam sebanyak RM1,795 pada masa ini tidak munasabah untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan seharian secara yang sepatutnya dalam suasana kenaikan kos sara hidup sekarang.
Pengenalan SSPA baharu ini, melihat semua aspek secara menyeluruh. Tahun lalu, arahan beliau supaya setiap jabatan dan setiap profesion dijumpai supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa tidak dirunding selepas ia diumumkan.
Sudah sewajarnya Perdana Menteri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz kerana bekerja bertungkus-lumus membantu.
Tidak dilupakan terima kasih Perdana Menteri kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), khasnya Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat, yang sentiasa memberikan maklum balas penjawat awam kepada pengenalan SSPA baharu ini.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata ini tidak terpakai kepada mereka yang rekod kerjanya tidak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak memberikan tumpuan yang baik yang mana mereka akan dipantau supaya tidak diberikan ganjaran sebagaimana yang dijanjikan.
Pengumuman ini selaras dengan kenyataan Mohd. Zuki dalam majlis amanat pada 13 Februari lalu bahawa kerajaan yang ada hari ini paling berani kerana soal gaji penjawat awam ini bukan perkara baharu dan sudah lama dibincangkan tetapi tidak ada kerajaan yang berani melaksanakannya.
Ketidakberanian ini berkait dengan kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa kepakaran luar biasa diperlukan supaya kenaikan gaji ini boleh ditampung dalam cara hutang mesti kurang dan defisit mesti rendah. Semua ini tentu sahaja memerlukan kekuatan kehendak politik.
Sebaliknya berlainan dengan Perdana Menteri yang mempunyai tekad kuat untuk melihat wujudnya transformasi dalam perkhidmatan awam bagi membolehkan wujudnya tatakelola yang baik sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian sistem perkhidmatan awam.
PENINGKATAN KEDUDUKAN
Perdana Menteri menyebut dalam ucapannya semalam mengenai peningkatan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (World Competitiveness Ranking, WCR) yang dikeluarkan International Institute for Management Development (IMD) pada 2023.
WCR mengukur daya saing berasaskan beberapa kriteria. Aspek utama yang dinilai ialah kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur. Dalam semua aspek ini kita menunjukkan peningkatan.
Dalam aspek kecekapan kerajaan, kedudukan global Malaysia meningkat dari 38 pada 2022 ke 29 pada 2023. Dalam aspek kecekapan perniagaan, ia meningkat dari 38 pada 2022 ke 32 pada 2023. Dalam aspek Infrastruktur, ia juga meningkat dari 37 pada 2022 ke 35 pada 2023.
Perdana Menteri mengatribulasikan peningkatan dalam kecekapan kerajaan kepada pimpinan penjawat awam dan menyatakan keyakinan beliau bahawa kita boleh naik ke tahap 20 teratas di dunia jika penjawat awam tidak dilaga-lagakan dan tidak diambil pandangan negatif.
Pengenalan SSPA baharu ini adalah usaha berani kerajaan untuk meningkatkan kecekapan kerajaan selari dengan pelbagai inisiatif lain yang telah dilaksanakan melalui kerangka dasar baharu Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari 2023.
Ia juga sejajar dengan aspirasi G.R.E.A.T. Civil Service yang diperkenalkan oleh Mohd. Zuki yang bermaksud tadbir urus terbaik, bertanggungjawab, ihsan, kebertanggungjawaban dan fokus pada matlamat.
Ini ditambah pula dengan nilai H.E.M.A.T. penjawat awam yang diperkenalkan oleh Wan Ahmad Dahlan yang menghendaki penjawat awam membelanjakan dana awam secara berjimat-cermat dan tidak boros serta menjalankan tugas dengan pengamatan dan penelitian secara mendalam.
Melalui pengenalan SSPA baharu ini adalah diyakini bahawa penjawat awam di Malaysia akan mampu memberikan satu lonjakan baharu yang seterusnya akan menyaksikan meningkatnya kecekapan penyampaian sistem perkhidmatan awam ke tahap 20 teratas di dunia.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










